Selepas 8 tahun, siri Game of Thrones akhirnya melabuhkan tirai. Secara peribadi, aku suka ending dia. ‘Bittersweet’, macam hint yang GRR Martin (penulis cerita asal) bagi selama ni.

AWAS: BTS (Bangsa Takut Spoiler) jangan baca.

Part ‘bitter’ of course ialah kematian Dany di tangan Jon. Antara cinta (love) terhadap Dany dan tanggungjawab (duty) terhadap maslahat umum (menghalang Dany daripada terus menakluk dan ‘purge’ musuh dia), Jon memilih duty over love. Macam kata-kata Brutus selepas menikam Julius Caesar, ‘I love Caesar, but I love Rome more’. 

Part ‘sweet’ ialah melihat adik-beradik Stark (Bran, Sansa dan Arya) masing-masing menjadi raja, raja perempuan dan pendekar. Walaupun awal kehidupan mereka begitu pahit, kehilangan ayah, ibu dan abang sulung akibat muslihat manusia durjana, tapi mereka mengubah nasib mereka melalui tangan sendiri.

Jon kehilangan cinta, tapi dia masih ada persahabatan Free Folks dan kembali menyertai Night’s Watch di sempadan utara yang merupakan ‘true calling’ dia. 

Walaupun ramai kecoh pasal perkembangan episod lepas, kononnya plot Dany jadi ‘jahat’ dah lari dari ‘character development’ Dany, tapi itulah jalan cerita yang paling logik. 

Dany tak akan mampu memerintah Westeros selepas menewaskan Cersei. Dany dan House Targaryen dia tak pernah dialu-alukan di Westeros, Dany tak ada keabsahan untuk memerintah. Misi Dany untuk klaim balik Iron Throne dari mula dah ditakdirkan akan berakhir dengan tragedi. 

Jadi ending terbaik ialah penghancuran Iron Throne yang dicipta oleh Aegon the Conqueror moyang Dany, dan Westeros menggantikan sistem monarki warisan dengan sistem ‘syura’. Dan disebabkan Targaryen (Dany) dibunuh oleh Targaryen (Jon atau nama sebenar Aegon) sendiri, jadi tiada lagi kitaran dendam yang tiada kesudahan.

Ramai duk maki D&D (producer dan penulis skrip), tapi itu memang ending yang GRR Martin mahukan. Cuma dalam novel Martin, Jon bukan Aegon Targaryen, jadi tak pasti macam mana Martin nak olah cerita dia dalam 2 novel yang baki.

Orang rasa sukar nak menerima Dany, salah satu watak yang paling popular dalam siri bertukar jadi ‘monster’ dalam sekelip mata. Tapi kalau korang baca sejarah, itulah realiti yang sentiasa berulang. Kalau guna ayat yang klise, ‘power corrupts’. Dany dirosakkan oleh kuasa dan dendam dia.

Sepanjang siri, kita dah biasa tengok watak-watak jahat abuse kuasa. Jadi apa yang tinggal ialah melihat watak baik pulak yang tersungkur dalam ujian kuasa. Baru lengkap penceritaan GOT tentang kuasa. 

Siapa calon watak baik yang paling sesuai untuk memikul ‘character arc’ ni kalau bukan Dany?

Dany bukan watak jahat (villain), dia juga bukan ‘Mad Queen’. Dia tak mad. Dia sedar apa kesan tindakannya menghancurkan King’s Landing dengan api naga. Tapi dia rasa apa yang dia buat tu betul. Mangsa-mangsa dia ‘padan muka’ sebab tidak bangkit melawan Cersei dari awal lagi. 

Orang-orang seperti Cersei, kejam dan zalim macam mana pun ada had dia sebab mereka fight untuk melindungi orang yang mereka cinta. Matlamat mereka terbatas. Yang jauh lebih bahaya ialah orang yang berjuang atas idea yang abstrak yang tak ada batas.

Kata-kata kunci Dany seperti ‘liberation’, ‘destiny’, ‘tyranny’, ‘build a new world’ semua adalah idea-idea abstrak. Dia percaya dia sendiri adalah manusia terpilih, lambang kebaikan dan keadilan. Pemimpin jenis macam ni paling cepat rosak.

Sebab saat bila kau rasa diri betul, orang lain tak berhak bangkang kau, kau dah tak jauh berbeza dengan Iblis. Beribu rakyat King’s Landing yang mati di tangan Dany dianggap sebagai ‘collateral damage’ semata-mata. Matlamat menghalalkan cara. 

Lihat pada sejarah, diktator yang menyebabkan kematian berjuta-juta manusia bukanlah orang yang boleh dikategorikan sebagai orang jahat, malah kebanyakan mereka ialah orang yang memiliki idealisme yang tinggi dan mulia. 

Ini yang berlaku kepada hampir semua ‘revolusioner’ dalam sejarah dunia. Bermula dengan slogan nak menamatkan opresi, tapi mereka pula menjadi opresi bentuk baharu. Hitler juga percaya bahawa apa yang dia buat adalah untuk memberi keadilan kepada Bangsa Jerman, dan siapa yang melawan dia adalah melawan destini. 

Maximilien Robespierre, pemimpin Revolusi Perancis pada akhir abad ke-18, diberi gelaran ‘Incorruptible’ disebabkan kesempurnaan moral dia. Tapi dialah dalang di sebalik Reign of Terror 1793-1794. Seperti Dany, dia melihat semua orang di sekeliling dia sebagai bakal pengkhianat. Kau tak pernah kritik rejim lama, maka kau orang rejim lama. Eh macam pernah dengar.

Atas alasan nak membersihkan negara daripada pengkhianat revolusi dan membina rejim baharu, berpuluh ribu manusia mati di tangan dia. Itulah bahaya apabila manusia berpolitik mendahulukan idea yang abstrak daripada realiti yang kompleks.

Realiti dunia adalah jauh lebih kompleks daripada ‘hitam-putih’. Fans Dany jadi sukar nak terima ‘plot twist’ dalam 2 episod terakhir sebab mereka terlalu yakin Dany mewakili kebaikan. Mereka sorak melihat askar-askar Lannister dibakar oleh Dany dalam Episod 4 Musim 7 seolah-olah ‘hero’ membelasah ‘villain’. Tapi kalau kita lihat dari perspektif askar Lannister: mereka hanya menjalankan duti mereka untuk mempertahankan negara, dan sebaliknya Dany ialah penceroboh. One man’s hero is another man’s villain. 

Dengan menggambarkan pertarungan untuk merajai takhta Iron Throne sebagai pertarungan kuasa (power struggle) antara pelbagai kelompok yang masing-masing berkepentingan, bukan sebagai naratif ‘hero vs. villain’ atau ‘baik vs. jahat’, GOT mencabar ‘moral conviction’ kita. Kita dari kecil diajar untuk merasa teruja dengan kisah-kisah pemimpin politik dan penakluk yang ternama. Tapi sejauh mana kita faham ‘harga’ disebalik pencapaian mereka?

Dalam pertarungan kuasa tak ada soal ‘baik’ atau ‘jahat’. Kejahilan tentang kuasa menyebabkan kejatuhan watak-watak baik seperti Ned Stark. Obsesi dengan kuasa juga menyebabkan kejatuhan watak-watak jahat seperti Tywin dan Cersei Lannister, dan juga watak-watak yang kita yakin sebagai ‘hero’.

Walaupun siri telah tamat, tapi pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam GOT boleh dimanfaatkan sebagai wisdom untuk memahami ‘realpolitik’:

‘Power resides where men believe it resides. It’s a trick. A shadow on the wall.’ (Varys)

Valar dohaeris.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.