Jumaat, 9 Oktober 20269 Okt 2026
Kronikel Dunia

Burakumin – Kasta Jepun Tersembunyi Yang Tidak Boleh Disentuh

Jepun
mempunyai reputasi sebagai sebuah masyarakat yang homogen (bangsa sama) dan
hidup secara harmoni untuk bertahun-tahun lamanya. Jika ada sekalipun orang
asing, perbezaan bahasa amat jarang dan jika kita amati dari luar, perbezaan
kelas dilihat tidak pernah berlaku. Tetapi seperti mana sesetengah negara
seperti India dan Nepal, isu kasta juga turut membelenggu negara Matahari
Terbit itu membabitkan satu komuniti yang dipanggil burakumin.

Siapa
burakumin ini? Burakumin merujuk kepada kelompok minoriti yang melakukan
pekerjaan yang dianggap tidak suci menurut kepercayaan Buddha atau Shinto
seperti pelacur, peminta sedekah, bekas banduan (terpakai juga kepada bekas
ahli yakuza), ahli akrobat dan tukang sapu. Ada juga yang termasuk dalam
kategori ini jika mereka melakukan perkara keji yang dahsyat seperti sumbang
mahram atau mengadakan hubungan seksual dengan haiwan. Tetapi mereka yang
digelar eta ini sudah mendapat label tersebut bila mereka lahir lagi.
Keluarga-keluarga mereka melakukan pekerjaan-pekerjaan yang kotor sehingga
dianggap jijik di mata masyarakat seperti menyembelih binatang, menguruskan
pengebumian atau sebagai algojo hukuman mati.

Bagaimana
sistem kasta ini boleh wujud? Jika anda hendak mencari pesalah, salahkan
Toyotomi Hideyoshi yang memperkenalkan sistem masyarakat yang tegar di mana ia
terbahagi kepada empat kelas: samurai, petani, artisan dan pedagang. Individu
yang melakukan pekerjaan-pekerjaan yang jijik tidak termasuk dalam kategori
empat kelas ini dan menjadi kelompok eta yang pertama. Orang eta tidak boleh
berkahwin dengan mana-mana anggota empat kelas masyarakat ini dan mereka akan
berusaha menjaga hak mereka seperti hak mengutip bangkai haiwan ternakan atau
hak meminta sedekah di sesetengah bahagian tertentu di bandar. Walaupun
dipandang hina oleh masyarakat, itu tidak menghalang sesetengah pemimpin eta
menjadi kaya-raya terutama semasa era Keshogunan Tokugawa. Ini kerana mereka
memonopoli pekerjaan yang dianggap kotor ketika itu.

Tetapi
semua itu berubah selepas Keshogunan Tokugawa disingkirkan dan kuasa maharaja
dikembalikan semula semasa era Pemulihan Meiji. Kerajaan baru yang dipilih
memutuskan untuk memusnahkan sistem lama Hideyoshi dan memberi peluang kesamarataan
kepada semua anggota masyarakat tanpa mengira masa silam mereka. Walaupun
kelompok eta diberi status sama seperti bekas anggota empat kelas masyarakat
sebelumnya, diskriminasi dan tentangan orang ramai masih tegar terhadap mereka
ketika itu. Ini menyebabkan kerajaan mengelaskan kelompok eta dengan nama yang
baru: burakumin.

Tokyo
berusaha menaiktaraf taraf kehidupan kelompok burakumin termasuk memberi dana
projek asimilasi membabitkan projek perumahan dan kos sara hidup tetapi
diskriminasi membabitkan mereka terus berlaku sehingga ke hari ini. Pada tahun
1970-an, satu kumpulan hak asasi burakumin mendedahkan 330 dokumen tulisan
tangan yang mendedahkan senarai nama burakumin dan lokasi komuniti yang dijual
secara rahsia terhadap majikan melalui pesanan pos. Senarai ini digunakan oleh
banyak firma Jepun termasuk firma-firma besar untuk menapis pencari kerja yang
berpotensi dan bebas dari latar belakang burakumin. Pendedahan ini mendorong
kerajaan menggubal satu undang-undang baru pada dekad sama yang mengharamkan
perbuatan diskriminasi itu. Hari ini, terdapat lebih tiga juta burakumin di
Jepun.

Ironinya,
sesetengah pekerjaan yang dianggap tabu dan sepatutnya dijauhi turut
menghasilkan produk-produk berkualiti yang menjadi kegemaran bukan saja
masyarakat Jepun tetapi juga penduduk dunia amnya. Bagi yang bekerja di pasar
daging Shibaura di Tokyo, semua tahu inilah lokasi terbaik untuk mendapatkan
daging lembu wagyu yang disediakan dengan penuh teliti dan harganya boleh bikin
bebola mata sesiapa saja terkeluar. Proses penghasilan daging wagyu memerlukan
kemahiran dan kesabaran yang tinggi dan pekerjaan ini memerlukan masa sedekad
bagi sesiapa yang mahu mempelajarinya. Tetapi bila ditanya pekerjaan sebenar
mereka, kebanyakan pekerja enggan mendedahkan pekerjaan sebenar mereka. Bagi
penyembelih Yuki Miyazaki, dia berbuat demikian kerana mahu melindungi ahli
keluarganya terutama anak-anak dari mengalami diskriminasi sama seperti mereka.

Bagi
Presiden Kesatuan Rumah Sembelihan Shimabaura Yutaka Tochigi, semasa meninggalkan
pekerjaan lamanya sebagai pengaturcara komputer untuk bekerja di Shimabaura
demi menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga, tindakan tersebut nyata
kurang disenangi keluarganya. Tochigi berkata, “Bapa saya memberitahu saya
sepatutnya bekerja mengepam tangki septik. Saya sedar apa yang dia maksudkan
ialah saya lakukan pekerjaan burakumin.” Walaupun tidak datang dari keluarga
berketurunan burakumin, dia masih ingat layanan dingin yang diberikan keluarga
iparnya bila dia mendedahkan pekerjaan sebenarnya.

Selain
isu layanan dingin keluarga, mana-mana individu yang melakukan pekerjaan
burakumin atau datang dari latar belakang kelompok itu turut berhadapan
kesukaran mendapatkan pasangan hidup. Satu kajian yang dijalankan Kerajaan
Metropolitan Tokyo pada tahun 2014 mendapati 26.6% responden menolak idea
anak-anak mereka yang berkahwin dengan individu berlatarbelakangkan burakumin
termasuk 4.3% menganggap senario tersebut langsung tidak boleh diterima. Satu
lagi kajian pada tahun 2012 membabitkan wilayah Aichi pula mendedahkan 48.5%
responden memprotes perkahwinan dengan burakumin tetapi ada yang sedia
bersetuju jika itu yang dihajati oleh anak-anak mereka.

Kelompok
burakumin turut dihantui masalah penyiaran lokasi mereka oleh pengamal-pengamal
media yang tidak bertanggungjawab. Satu kes menarik pada Mac dan April 2016
mendedahkan sebuah syarikat penerbitan diarah oleh mahkamah Yokohama
menghentikan penerbitan dan penjualan buku yang mendedahkan maklumat kelompok
buraku. Syarikat yang berpangkalan di Kawasaki itu turut diarah oleh mahkamah
sama untuk memadamkan maklumat burakumin dari laman sesawang mereka. Menurut
wartawan bebas Nobuhiko Kadooka, penyiaran maklumat sebegini dianggap melanggar
privasi golongan burakumin dan menyukarkan usaha mereka menyembunyikan latar
belakang mereka.

Tetapi
hari ini, isu diskriminasi membabitkan burakumin sudah mula berkurangan tetapi
itu bukan bermakna Jepun perlu duduk diam begitu sahaja. Pada tahun 2006, satu
laporan hak asasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan isu diskriminasi
membabitkan burakumin sudah berakar umbi sejak sekian lama dan mendesak pihak
kerajaan menggubal satu undang-undang baru bagi menangani isu ini. Selain itu,
media dan masyarakat juga dilihat harus menanggung kesalahan sama kerana
mengambil sikap memandang sebelah mata dan enggan mengambil langkah konstruktif
untuk memulihkan apa yang dianggap salah satu babak hitam sejarah negara
Matahari Terbit itu.

Atas
sebab itulah pada tahun 2016, satu undang-undang baru membabitkan burakumin
digubal di Diet. Undang-undang ini merupakan gagasan bersama tiga parti politik
iaitu Parti Liberal Demokratik Jepun (LDJ), Parti Demokrat Jepun (DPJ) dan
Komeito. Menerusi undang-undang itu, ia mengakui diskriminasi terhadap golongan
itu benar-benar wujud dan mengisytiharkan bahawa ia harus menjadi tanggungjawab
kerajaan untuk menghentikannya. Undang-undang ini mewajibkan kerajaan pusat dan
pihak berkuasa tempatan mewujudkan sistem perundingan, menambahbaik sistem
pendidikan dan melancarkan siasatan terhadap aduan diskriminasi jika
diperlukan. Tetapi undang-undang ini tidak mengharamkan sebarang bentuk
diskriminasi terhadap burakumin dan tiada sebarang hukuman diwujudkan bagi
pesalah ini. Ini bermakna kegagalan menguatkuasa undang-undang tersebut tidak akan
dikenakan denda atau hukuman penjara.

Tetapi
tidak semua yang berpuas hati dengan penggubalan undang-undang ini. Walaupun
pada dasarnya ia merupakan satu pencapaian, wujud kebimbangan ia akan
menimbulkan semula prejudis terhadap kelompok ini. Menurut Pengerusi
Konfederasi Gerakan Hak Asasi Manusia dalam Komuniti Kebangsaan Seishi Tanba,
undang-undang ini akan mewujudkan persepsi diskriminasi membabitkan burakumin
masih wujud dan ini secara tidak langsung boleh mengundang gangguan terhadap
privasi dan ketenangan penduduk yang menetap di lokasi burakumin. Sementara
Parti Komunis Jepun (JCP) pula menentang undang-undang tersebut kerana
merasakan ia akan menambah lagi jurang antara kelompok burakumin dengan
kelompok bukan burakumin. Malah bagi sesetengah penduduk, mereka merasakan
undang-undang itu memberi banyak ruang kepada kerajaan tempatan untuk tidak
melaksanakan undang-undang berkenaan.

RUJUKAN:

1.
BBC. (2015). Japan’s hidden caste of untouchables. https://www.bbc.com/news/world-asia-34615972

2.
Priestley, Ian. (2009). Breaking the silence on burakumin. The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/community/2009/01/20/issues/breaking-the-silence-on-burakumin-2/

3.
Szczepanski, Kallie. (2018). Japan’s Untouchables: The Burakumin.
ThoughtCo.com. https://www.thoughtco.com/who-are-the-burakumin-195318

4.
Williams, Rhian. (2015). Burakumin: Descendants of caste considered ‘tainted’
face new discrimination in Japan. The Independent. https://www.independent.co.uk/news/world/asia/burakumin-descendants-of-caste-considered-tainted-face-new-discrimination-in-japan-a6791141.html

5.
Osaki, Tomohiro. (2016). New law to fight bias against ‘burakumin’ seen falling
short. The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/news/2016/12/19/reference/new-toothless-law-fight-bias-burakumin-seen-falling-short/

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet