Apabila dunia berbicara tentang pelitup muka, ramai yang mungkin tidak tahu bahawa pelitup muka moden yang menjadi sebahagian daripada kehidupan kita hari ini diinspirasikan oleh seorang anak jati Pulau Pinang.
 
Dr. Wu Lien-Teh, seorang doktor yang telah mencipta sejarah dalam dunia perubatan dengan keberanian dan kepakarannya dalam membanteras wabak maut di Manchuria lebih 110 tahun lalu.
 
[Anak Tukang Emas Yang Cemerlang]
 
Dilahirkan pada 10 Mac 1879 di Pulau Pinang, Dr. Wu atau nama asalnya Ng Leen Tuck (Goh Lean Tuck dalam bahasa Minnan) ialah anak kepada Ng Khee-Hock, seorang tukang emas imigran dari Taishan, China.
 
Ibunya, Lam Choy-Fan merupakan generasi kedua Hakka di Tanah Melayu. Dr. Wu membesar dalam keluarga besar dengan empat adik-beradik lelaki dan enam adik-beradik perempuan.
 
Dari kecil lagi, kecemerlangan Dr. Wu terserlah. Beliau mendapat pendidikan awal di Penang Free School dan kemudiannya berjaya meraih biasiswa Queen’s Scholarship yang sangat berprestij pada usia 17 tahun.
 
Biasiswa ini membuka jalan kepada Dr. Wu untuk melanjutkan pelajaran di Emmanuel College, University of Cambridge.
 
Di sana, beliau menjadi pelajar perubatan Cina pertama dan cemerlang dalam semua peperiksaan serta menerima pelbagai anugerah dan biasiswa tambahan.
 
[Perjuangan Awal Di Tanah Melayu]
 
Setelah tamat pengajian perubatan, Dr. Wu kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1903 dan menyertai Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur sebagai pelajar penyelidikan pertama.
 
Namun, akibat dasar penjajahan British, jawatan pakar hanya diberikan kepada warganegara British.
 
Perkara ini mengecewakan Dr. Wu dan beliau akhirnya membuka klinik swasta di Chulia Street, Pulau Pinang.
 
Ketika itu, Dr. Wu bukan sahaja menjalankan tugas sebagai doktor tetapi turut terlibat dalam aktiviti sosial termasuk mempromosikan pendidikan untuk wanita, menghapuskan amalan menghisap candu dan menubuhkan kelab sastera.
 
Beliau juga aktif dalam kempen anti-candu yang membawa kepada penahanan beliau pada tahun 1906 kerana memiliki sedikit opium di kliniknya yang sebenarnya merupakan satu tuduhan yang jelas bermotifkan politik.
 
[Dipanggil Ke China: Bermulanya Legenda]
 
Pada tahun 1910, kerajaan China memanggil Dr. Wu untuk menangani wabak misteri yang melanda Harbin di Manchuria.
 
Wabak yang dikenali sebagai Wabak Pneumonik Manchuria ini adalah salah satu wabak paling maut dalam sejarah, dengan kadar kematian hampir 100%.
 
Ketika tiba di Harbin, suhu berada di bawah -30°C, mayat bergelimpangan di jalanan dan keadaan perubatan di kawasan tersebut sangat daif.
 
Melalui autopsi iaitu sesuatu yang jarang dilakukan di China pada masa itu, Dr. Wu mendapati bahawa wabak tersebut disebarkan melalui udara, bukan melalui kutu seperti yang dipercayai sebelum ini.
 
Penemuan ini menjadi asas kepada penciptaan pelitup muka moden pertama. Beliau memodenkan topeng pembedahan dengan menambah lapisan kapas dan kain kasa untuk menapis udara, menjadikannya lebih efektif dalam mencegah penyebaran penyakit.
 
Ironinya, seorang doktor Perancis yang enggan memakai pelitup muka ciptaan Dr. Wu dijangkiti wabak dan meninggal dunia hanya beberapa hari kemudian.
 
Peristiwa ini membuktikan keberkesanan ciptaan Dr. Wu dan pelitup muka itu mula dihasilkan secara besar-besaran.
 
[Langkah Berani Yang Mengubah Sejarah]
 
Selain mencipta pelitup muka, Dr. Wu juga memperkenalkan langkah-langkah seperti kuarantin, pembasmian kuman dan pembakaran mayat mangsa wabak.
 
Keputusan beliau untuk membakar mayat mendapat tentangan hebat kerana bercanggah dengan adat Konfusianisme, tetapi keberanian Dr. Wu meyakinkan pihak berkuasa bahawa ia adalah langkah terbaik untuk mengawal penularan wabak.
 
Langkah-langkah ini terbukti berkesan. Dalam tempoh beberapa bulan, wabak yang telah meragut lebih 60,000 nyawa itu berjaya dikawal.
 
Kejayaan ini menjadikan Dr. Wu seorang tokoh antarabangsa. Pada tahun 1911, beliau mengetuai Persidangan Wabak Antarabangsa di Mukden yang dihadiri oleh pakar dari seluruh dunia.
 
Inilah kali pertama China diiktiraf sebagai pemimpin dalam bidang perubatan moden.
 
[Kehidupan Selepas Wabak]
 
Dr. Wu terus berkhidmat di China dan memainkan peranan penting dalam membangunkan perkhidmatan perubatan moden di negara tersebut. Beliau mengasaskan hospital, makmal penyelidikan dan institusi perubatan.
 
Pada tahun 1935, Dr. Wu menjadi individu pertama dari Tanah Melayu yang dicalonkan untuk Anugerah Nobel dalam bidang Perubatan atas sumbangannya dalam membanteras wabak.
 
Namun, kehidupan beliau tidak terlepas daripada cabaran. Semasa pendudukan Jepun di China, rumahnya dimusnahkan dan beliau kehilangan banyak harta benda berharga.
 
Pada tahun 1943, beliau diculik oleh gerila Parti Komunis Malaya tetapi dibebaskan selepas tebusan dibayar.
 
Dr. Wu kembali ke Malaya dan membuka klinik di Ipoh sebelum bersara pada tahun 1957. Beliau kemudian berpindah ke Pulau Pinang dan meninggal dunia pada 21 Januari 1960 akibat strok.
 
[Legasi Yang Dilupakan]
 
Walaupun jasanya diiktiraf di peringkat antarabangsa, nama Dr. Wu Lien-Teh kurang dikenali di tanah airnya sendiri.
 
Pelitup muka yang beliau inspirasikan kini menjadi alat penting dalam memerangi pandemik, termasuk COVID-19.
 
Pada tahun 2021, Google memberi penghormatan kepada Dr. Wu melalui Google Doodle, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengangkat nama beliau sebagai wira tempatan.
 
Sempena Tahun Baru Cina, kisah Dr. Wu adalah peringatan tentang pentingnya keberanian, kebijaksanaan dan inovasi dalam menghadapi cabaran.
 
Beliau adalah contoh terbaik bagaimana seorang anak Malaysia mampu memberi impak global.
 
Ketika kita menyarungkan pelitup muka hari ini, ingatlah tokoh luar biasa ini.
 
“Seorang anak Pulau Pinang yang telah menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia.”

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Comments are closed.