Sebagai orang Melayu yang mendukung Bahasa Melayu, kita tidak harus melupakan jasa orang yang bertanggungjawab memartabatkan Bahasa Melayu hingga ke tahap kita kenali hari ini. Orang yang saya maksudkan ialah Allahyarham Tan Sri Dr Zainal Abidin bin Ahmad atau Pendeta Za’ba. Beliau merupakan tokoh bahasa, pemikir dan cendekiawan Melayu yang ulung dan bertanggungjawab meletakkan asas perkembangan Bahasa Melayu baru melalui buku Ilmu Mengarang Melayu dan Pelita Bahasa Melayu.

Allahyarham merupakan anak kelahiran Kampung Bukit Kerdau, Batu Kikir, Negeri Sembilan dan dilahirkan pada 16 September 1895. Semasa kecilnya, kecerdasan beliau menguasai ilmu sudah kelihatan apabila sudah khatam Al-Quran pada usia tujuh tahun. Pada usia 12 tahun, Allahyarham belajar di Sekolah Melayu Batu Kikir sebelum bertukar ke Sekolah Melayu Linggi. Pertukaran tersebut dibuat bagi membolehkan beliau menguasai Bahasa Arab dan mendalami pengajian Islam. Pada tahun 1910, Allahyarham menyambung pelajaran ke St Paul’s Institution dan berjaya mendapat kelulusan Senior Cambridge pada tahun 1915. Tambah manis, beliau merupakan anak Melayu pertama dari Negeri Sembilan yang berjaya menyempurnakan pembelajaran tingkatan satu hingga Senior Cambridge.

Setahun selepas itu, Allahyarham mula berkhidmat sebagai guru sandaran di Johor Bahru dan melibatkan secara serius dalam dunia penulisan. Artikel pertamanya bertajuk ‘Temasya mandi Safar di Tanjung Kling’, menunjukkan keupayaan beliau menggabungkan pelbagai elemen seperti bahasa, kesusasteraan, agama, ekonomi, politik dan pendidikan dalam penulisannya. Jika tidak mengapa akhbar Utusan Melayu menerbitkan artikel tersebut sebanyak dua kali. Dan kritikan keras beliau terhadap soal kemunduran masyarakat Melayu dan kecenderungan mereka terlibat dalam perkara-perkara bidaah sudah menimbulkan kecurigaan oleh pihak British. Ini menyebabkan mereka menyekat aktiviti penulisannya selama beberapa tahun. Walaupun ditahan dari terus menulis, Allahyarham terus aktif dengan memfokuskan usahanya menggabungkan tatabahasa Arab dan Inggeris dalam Bahasa Melayu dan menggunakan susunan tatabahasa tersebut dalam penerbitan buku teks sekolah dan bahan bacaan bersifat umum. Semua ini dilakukan semasa beliau berkhidmat di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Semasa di situ, Allahyarham turut menyumbang hasil penulisan dan terjemahan kepada Majalah Guru dan Al-Ikhwan sehingga tahun 1931. Setahun selepas itu, buku pertama beliau bertajuk Umbi Kemajuan diterbitkan dengan agama sebagai tema utamanya. Selain aktif dalam dunia penulisan, Allahyarham aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pernah dilantik sebagai Penasihat Umum Persatuan Sahabat Pena Malaya pada tahun 1937. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor pada tahun 1945 dan antara individu bertanggungjawab membentuk Piagam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Selepas UMNO ditubuhkan, Allahyarham dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO pertama tetapi tempoh beliau tidak lama kerana minatnya lebih menjurus kepada penulisan dan Bahasa Melayu.

Pada tahun 1947, beliau berkhidmat sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Universiti London dan bersara daripada perkhidmatan kerajaan semasa berusia 55 tahun. Bagaimanapun, khidmat Allahyarham masih diperlukan dalam dunia akademik. Pada tahun 1953, beliau dilantik sebagai pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Singapura. Allahyarham bersama Profesor Diraja Ungku Aziz bertanggungjawab menubuhkan Pertubuhan Bahasa Pelajar dan menubuhkan Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dua tahun kemudian. Pada tahun 1956, beliau menerima gelaran Pendeta dalam bentuk songkok semasa Kongres Penulisan dan Bahasa Melayu Ketiga di Johor Bahru. Tiga tahun selepas itu, Allahyarham menduduki peperiksaan akhir kursus luar Universiti London dan menerima Master of Arts Second Class (Lower) pada usia 59 tahun.

Sumbangan beliau terhadap perkembangan Bahasa Melayu amatlah besar. Allahyarham bertanggungjawab merancang kurikulum sekolah, berkhidmat sebagai penterjemah dan penulis prolifik. Semasa era pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau turut diberikan tanggungjawab menghasilkan buku yang boleh digunakan di Tanah Melayu dan Sumatera. Semua ini dilakukannya kerana mahu melihat Bahasa Melayu kembali semula ke puncak kegemilangan dan menjadi kebanggaan bangsa Melayu itu sendiri. Tidak hairanlah, beberapa kali Allahyarham menolak beberapa pingat penhormatan seperti Pingat Mangku Negara yang membawa gelaran Dato’ dan Bintang Kebesaran Brunei. Bagaimanapun pada tahun 1962, beliau akhirnya menerima Pingat Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri. Pada tahun terakhirnya, Allahyarham mendapat gelaran Doktor Kehormat Persuratan pada konvokesyen pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau kembali ke rahmatullah pada usia 78 tahun.

Sebagai menghormati legasinya sebagai pendeta Bahasa Melayu, sebuah jalan dinamakan sempena nama Allahyarham di Negeri Sembilan. Beberapa sekolah di negeri kelahirannya turut dinamakan sempena namanya. Dan pada tahun 2001, sebuah muzium yang diinspirasikan daripada rumah sasterawan Inggeris, William Shakespeare di Stratford-Upon-Avon, England dibuka dan diberi nama Teratak Za’ba. Inspirasi ini timbul hasil lawatan Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Tan Sri Samad Idris dan idea tersebut disampaikan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu, Tan Sri Isa Samad pada tahun 1995.

Idea Tan Sri Samad tidak mendapat tentangan dan ia dibina di atas sebidang tanah seluas 0.4 hektar di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir Timur, Jempol. Teratak tersebut mempamerkan 2,000 pucuk surat Allahyarham kepada rakan-rakannya, 30 buah buku ejaan Bahasa Melayu, sebahagian daripada 4,000 buku koleksi miliknya dan paling istimewa, songkok yang dipakainya semasa hari penganugerahan gelaran Pendeta pada 21 September 1956. Bagaimanapun, waris Allahyarham menyuarakan rasa kesal kerana teratak tersebut tidak dijaga dengan baik apabila barangan yang diserahkan tidak dikembalikan dan ada juga barang pameran hilang. Sebagai tindak balas, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Datuk Ibrahim Ismail menyatakan pihak muzium mengambil katil besi milik Allahyarham dan anugerah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diberi melalui anaknya, Mohd Redza. Kedua-dua artifak tersebut menjadi milik Muzium Negara dan akan ditempatkan di teratak tersebut pada masa yang sesuai.

Perjuangan Allahyarham Pendeta Za’ba seharusnya diteruskan seiring dengan perkembangan zaman walaupun semaju mana bangsa Melayu itu sendiri. Mana-mana perubahan yang dihadapi bangsa kita ini harus diberi perhatian dan perlu diadaptasi bagi memastikan bangsa pembina Srivijaya dan Melaka ini terus relevan sepanjang zaman. Maka atas sebab ini, saya tinggalkan coretan sajak Allahyarham dalam bukunya, Suluh Bahasa terbitan DBP pada tahun 1965 untuk dihayati semua:

Aku dan kamu

hidup sekarang pada zaman maju,

Zaman pendapat baharu, fikiran baharu,

Tidak lagi seperti dahulu

Zaman kebebasan dan perkembangan ilmu,

Manusia tidak lagi boleh diperlembu,

Buangkanlah segala perasaan kuno,

Segala fikiran beku yang keras kaku,

Segala kepercayaan karut yang hanya jadi belenggu,

Segala-galanya yang kini tidak lagi laku:

Lemparkanlah, tinggalkanlah sekalian itu,

Supaya kita senang selalu.

Kita mesti berani menggodam mengetuk,

Meruntuh meroboh segala yang lapuk,

Memotong yang busuk, memangkas yang bengkok

Mengganti membaharui dengan yang elok,

Mengikut panduan sebenar-benar petunjuk

Timbang sendiri, tidak mengikut telunjuk.

Hapuskan segala kepercayaan

Yang tak mempunyai kenyataan kebenaran,

Ingat, hati-hati kita mesti berani

Dengan tekad menurut suluhan abadi

Memecahkan sekatan kolot, walau seperti besi

Segala yang karat dikikis diganti.

SUMBER

  1. Utusan Malaysia. (2001). Teratak Za’ba tempat himpunan sejarah. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
  2. Mansor, Aminuddin. (2011). Utusan Malaysia. Mengenang perjuangan bahasa Za’ba. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0731&sec=Sastera&pg=sa_02.htm
  3. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. (2016). Perangai bergantung kepada diri sendiri – Za’ba. http://www.yadim.com.my/v2/perangai-bergantung-kepada-diri-sendiri-zaba/
  4. Arkib Negara Malaysia. Zainal Abidin bin Ahmad (ZA’BA). http://www.arkib.gov.my/web/guest/zainal-abidin-bin-ahmad-za-ba-
  5. Klik Web DBP. Pendeta Za’ba: “Pelita yang Tak Pernah Padam”. http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=1950

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.