“Belajar matematik tinggi-tinggi bukan boleh buat apa pun.”
Kalau ada orang cakap macam ni, sila tempeleng kepala dia guna buku algebra. Sebab hakikatnya, matematik terutamanya algebra bukan sekadar teori kosong.
Ia lahir daripada keperluan sebenar dan lebih menarik lagi, ia berkembang kerana satu isu yang sangat dekat dengan umat Islam iaitu faraid!
Tak percaya? Mari saya cerita.
[Al-Khawarizmi dan Algebra: Bermula Dengan Masalah Pewarisan Harta]
Kita kenal algebra sebagai cabang matematik yang tiba-tiba penuh dengan huruf ‘x’, ‘y’ dan formula pelik yang buat ramai sakit kepala. Tapi tahukah anda siapa yang mula-mula mencipta sistem ini? Nama beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi.
Beliau hidup pada abad ke-9 Masihi di bawah pemerintahan Khalifah Al-Ma’mun di zaman kegemilangan ilmu Islam.
Al-Khawarizmi merupakan seorang ilmuwan hebat di Baitul Hikmah di Baghdad, tempat berkumpulnya para ilmuwan untuk mengkaji pelbagai ilmu dari seluruh dunia.
Satu hari, Khalifah Al-Ma’mun mendapati bahawa umat Islam menghadapi masalah besar dalam pengiraan faraid.
Kalau anda pernah belajar faraid, anda mesti tahu betapa rumitnya pembahagian harta pusaka dalam Islam. Siapa dapat 1/2? Siapa dapat 1/8? Macam mana nak selesaikan kalau ada banyak waris?
Bayangkan situasi ini:
Seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri, tiga anak lelaki, dua anak perempuan dan seorang ibu. Bagaimana nak bahagikan harta mengikut hukum faraid?
Kalau zaman sekarang pun kita pening nak buat pengiraan ni, bayangkan betapa sukar untuk orang Arab abad ke-9 menyelesaikannya tanpa kalkulator dan tanpa formula matematik moden!
Jadi, al-Khawarizmi mendapat satu idea. Beliau mencipta satu sistem matematik yang dapat memudahkan pengiraan ini. Maka lahirlah algebra!
[Dari Algebra ke Seluruh Dunia]
Nama algebra diambil daripada buku al-Khawarizmi yang berjudul “Al-Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal-Muqabalah” yang bermaksud “Buku Ringkas Pengiraan Penyempurnaan dan Pengimbangan”.
Perkataan “al-Jabr” dalam tajuk buku ini akhirnya menjadi “algebra” dalam bahasa Inggeris.
Buku ini bukan sekadar menyelesaikan masalah faraid, malah ia juga digunakan untuk pengiraan dalam perniagaan, kejuruteraan, astronomi dan pelbagai bidang lain.
Lebih hebat lagi, konsep yang diperkenalkan oleh al-Khawarizmi masih digunakan dalam matematik moden hingga hari ini!
Malah, satu lagi perkataan yang kita guna hari ini berasal daripada nama beliau: “algorithm” (algoritma).
Ini kerana teknik yang beliau cipta dalam algebra digunakan dalam pemprograman komputer, enjin carian Google dan hampir semua teknologi moden yang kita gunakan hari ini!
[Bagaimana Algebra Digunakan dalam Faraid?]
Baik, mari kita tengok contoh mudah macam mana algebra membantu dalam pembahagian harta pusaka.
Katakan Ali meninggal dunia dan meninggalkan RM120,000. Warisnya ialah:
Isteri (1/8)
Anak lelaki (2 bahagian setiap seorang)
Anak perempuan (1 bahagian setiap seorang)
Sekarang, kita guna algebra untuk cari berapa banyak setiap waris akan dapat.
1. Isteri mendapat 1/8 daripada RM120,000:
1/8 x 120,000 = 15,000
2. Anak lelaki dan anak perempuan akan membahagikan baki harta. Jika kita gunakan algebra:
Setiap anak lelaki = 2x
Setiap anak perempuan = x
Jumlah bahagian = 2(anak lelaki) + 1(anak perempuan)
Katakan ada 2 anak lelaki dan 1 anak perempuan, maka:
2(2x) + 1(x) = RM105,000
4x + x = 105,000
5x = 105,000
x = 21,000
Jadi:
Setiap anak lelaki dapat = 2x = RM42,000
Anak perempuan dapat = RM21,000
Mudah, kan? Inilah kehebatan algebra dalam menyelesaikan pengiraan faraid dengan lebih sistematik!
[Matematik & Agama: Seiring, Bukan Bertentangan!]
Kisah algebra ini membuktikan bahawa sains dan agama bukanlah musuh, sebaliknya saling melengkapi.
Malah, ramai ilmuwan Islam seperti Al-Khawarizmi, Al-Farabi dan Ibnu Sina telah membangunkan ilmu matematik, perubatan, dan astronomi kerana keperluan dalam Islam sendiri.
Jadi, kalau ada orang kata “Buat apa belajar matematik tinggi-tinggi, baik hafal Quran je.”, tanya dia balik:
“Macam mana nak kira zakat? Macam mana nak tentukan arah kiblat? Macam mana nak kira faraid tanpa matematik?”
Hakikatnya, tanpa ilmu seperti algebra, umat Islam akan menghadapi kesukaran dalam banyak aspek kehidupan, termasuk ibadah dan muamalat.
Jadi, terima kasih kepada al-Khawarizmi kerana dengan adanya algebra, kita bukan sahaja boleh menyelesaikan masalah matematik, malah kita dapat memudahkan pelaksanaan hukum Islam!
___
Kalau Al-Khawarizmi ni pun dah cukup power, korang kena tahu ada ramai lagi saintis Islam dalam Era Kegemilangan Tamadum Islam!
Pra-Tempah segera buku SAINTIS-SAINTIS AGUNG ISLAM dan anda berpeluang mendapat poskad Saintis Agung Islam, Tandatangan penulis dan Sampul Raya Eksklusif The Patriots!
Dapatkan segera di Shopee The Patriots:
https://s.shopee.com.my/3q8cCA1SOe
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.