Tpr. Md. Ali Ahmad hanya berusia 23 tahun ketika itu. Beliau baru saja 2 tahun menyertai Rejimen Gerakhas Malaysia (RGKM) dan ditempatkan di dalam terup nombor 9, Skuadron Z. Semasa Ops Gonzales, berita telah sampai bahawa platun nombor 9 daripada pasukan 3 Renjer telah bertempur dengan pengganas di Hutan Simpan Bukit Kinta berhampiran Sg. Siput. Maka, pada tengahari 18/4/1974, 32x anggota Z skuadron telah digerakkan menggunakan 2x pesawat Nuri diketuai Lt. Zainal Abidin Hussi. Mereka dibantu oleh 1x pasukan kombat dari Pusat Latihan Tentera Darat ( PULADA) dan disertai anjing pengesan bernama Ben yang dikendalikan oleh Sjn. Chandan ak Gaing.

Setiba di LP (landing point) yang telah ditetapkan berdekatan sebuah bukit, mereka dikehendaki terjun secara abseiling pada ketinggian kira-kira 6 meter. Baru saja beberapa anggota turun, mula kedengaran bunyi tembakan. Nampaknya sah musuh memang sedang menantikan kehadiran mereka. Sebaik sampai gilirannya, Md. Ali segera mencari perlindungan sejurus kakinya menjejak tanah. Nampaknya musuh memang bertujuan mengkucar – kacirkan mereka, kerana mereka tidak tahu dari mana datangnya arah tembakan, yang terus senyap sebaik pesawat meninggalkan kawasan tersebut.

Setelah pasti musuh telah tiada, mereka mula bangun untuk bergerak, namun dikejutkan dengan teriakan “Jerangkap samar!!” oleh seorang rakan. Nampaknya anggota tersebut telah terlihat beberapa wayar merintangi laluan mereka, yang selepas diperiksa, rupa-rupanya tidak bersambung dengan mana-mana bahan letupan dan hanya bertujuan untuk menakutkan mereka.

Tidak lama kemudian, berita sampai mengatakan kumpulan yang mereka buru itu telah bertempur pula dengan pasukan ronda daripada pasukan 5 RAMD. Awal pagi keesokannya, mereka bergabung dengan pasukan tersebut untuk meneruskan penjejakan. Selepas makan tengahari, Ben mengetuai kumpulan penjejakan itu. Banyak jerangkap samar yang ditemui di sepanjang jalan. Sesetengahnya tidak dipasang sempurna, menunjukkan musuh mungkin sedang mengejar masa sebaik menyedari mereka sedang berada dalam buruan. Selepas kawasan jerangkap samar itu, mereka menemui lorong yang dipercayai dilalui musuh berkekuatan 25 hingga 30 orang. Lewat petang itu mereka menemui pula lorong yang terpecah 2. Lt. Zainal Abidin telah memecahkan pasukannya kepada 2 kumpulan; satu diketuainya sendiri yang akan mengambil laluan lereng bukit dan satu lagi diketuai Lt. M Anuwa Mohamad Daud yang akan menyusuri permatang. Mereka akan berkumpul semula di atas bukit untuk bermalam.

Md. Ali mengikuti kumpulan Lt. Zainal, yang didahului oleh seorang anggota Orang Asli iaitu Pbt. Mat Amin. Ketika sampai ke satu anak air, tiba-tiba mereka dihujani tembakan musuh daripada atas bukit sebelah kanan. Mat Amin rebah terkena peluru. Dalam kelam kabut mencari pelindungan, Lt. Zainal telah tercedera lututnya setelah terhentak batu. Selepas membantu ketuanya, Md. Ali menyertai rakan-rakannya bersama-sama senjata M16nya. Sejurus kemudian terdengar lolongan Ben yang turut menjadi mangsa, dan akhirnya terkulai di ribaan penjaganya. Md. Ali yang pernah bertempur di Sibu setahun sebelumnya menjadi semakin marah apatah lagi bila menyedari peluru musuh tak mengenal mangsa. Tanpa menghiraukan rakan-rakannya, beliau bergegas mara ke atas bukit.

Ketika berada di atas bukit setelah memanjat sebuah tebing curam, beliau telah terlihat kelibat seorang musuh yang cuba membaling bom tangan ke arahnya. Semburan daripada senjatanya berjaya mengenai kepala musuh itu. Selepas itu, seorang lagi musuh menemui ajal di hujung senjatanya.

Kematian 2 orang rakan mereka menyebabkan ketua pasukan musuh itu mengarahkan mereka berundur, namun salah seorang daripada mereka pula telah terserempak dgn kumpulan Lt. M. Anuwa dan kemudiannya anggota komunis itu mati ditembak Kpl. Zaki Nordin. Dalam kegemparan itu, Tpr. Abu Kasim pula cedera terkena tembakan. Melihat keadaan sudah tidak menyebelahi mereka, musuh melarikan diri ke satu lereng curam dan bertindak nekad terjun ke kawasan gaung. Walaubagaimanapun, seksyen diketuai Sjn. Rahmat Suratman berjaya menembak hingga cedera 2 daripada mereka sebelum mereka menghilangkan diri.

Semasa penggeledahan,antara yang diteemui adalah:

20x beg galas musuh berisi pakaian, ubat dan makanan
1x Thomson Sub-machine Gun .45 model 1928 bersama 3x kelopak dan 65x peluru
1x Sten Gun bersama 2x kelopak
161x peluru 9mm
30x peluru .22
bom tangan
3x mayat musuh

Malam itu mereka terpaksa bermalam dengan mayat musuh sebelum tugas penjejakan disambung selama seminggu lagi, tanpa hasil. Kembalinya mereka ke Kem Tambun disambut oleh Pegawai Memerintah iaitu Lt. Kol. Borhan Ahmad yang menganggap Md. Ali sebagai Hero kerana telah berjaya menewaskan musuh selepas diserang hendap. Namun, pengalaman itu meninggalkan kesan kpada Md Ali yang tidak dapat makan selama seminggu kerana terus-menerus terbayang imej dan bau otak musuh yang berkecai selepas ditembak.

Md. Ali, yang dilahirkan di Kg. Serkam Pantai, Merlimau, Melaka ini telah dianugerahkan pingat PGB oleh DYMMSPBYDA pada 5/6/1974 dan menjadi anggota komando termuda menerima anugerah tersebut. 3 tahun selepas itu, beliau telah bertukar ke Cawangan Penyiasatan Khas Kor Polis Tentera dan menamatkan perkhidmatan dengan pangkat Staf Sarjan pada 1991..=WRA=


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply