Penulis berbelah bahagi, sama ada mahu menulis mengenai Ivanka Trump atau tidak. Namun disebabkan kurangnya artikel dan kupasan dalam bahasa Melayu mengenai wanita berpengaruh di arena politik antarabangsa, maka penulis gagahi juga untuk membuat kajian dan menulis.
Sebelum ini, penulis berkongsi serba ringkas mengenai Melania Trump, isteri kepada Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang ke 45 dan juga Wanita Pertama. Daripada komen, benarlah jangkaan penulis, bahawa tidak ramai mengetahui tentang wanita berusia 47 tahun ini. Daripada rating yang sederhana juga, penulis menyedari tidaklah seramai mana yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai wanita, secara umumnnya. Namun kita memerlukan banyak artikel bermanfaat tentang wanita yang bukan sahaja mengupas tentang aspek kecantikan, kesihatan, keluarga, anak-anak dan masakan, namun juga dalam bidang sejarah, hubungan antarabangsa, agama, sains dan teknologi, perubatan, kewangan dan banyak lagi. Saya bukanlah mengatakan isu-isu wanita itu tidak penting, namun saya melihat ada perlunya lebih banyak bahan ditulis mengenai peranan wanita berpengaruh.
Ada beberapa jenis persepsi yang muncul dalam fikiran apabila kita mendengar nama atau melihat gambar Ivanka. Bekas model, anak Donald Trump, bertuah. Dan juga, ahli perniagaan yang berjaya, penasihat kepada bapanya, seorang yang bijak dan licik.
Saya mulakan dengan menceritakan serba ringkas mengenai Ivanka Trump.
Ivanka Marie Trump dilahirkan pada 30 Oktober 1981 di Manhattan, New York dan merupakan anak kedua model Ivana Marie dan Presiden Amerika Syarikat ke 45, Donald Trump. Ivanka mempunyai darah Jerman, Scotland (bapanya) dan Czechoslovakia (ibunya), hasil latar belakang kedua ibu-bapanya. Ivana dan Trump bercerai pada tahun 1991 ketika Ivanka berusia sepuluh tahun. Ivanka mempunyai dua orang adik beradik lelaki, Donald Jr. (abangnya) dan Eric (adiknya). Ivanka juga mempunyai dua orang adik beradik tiri iaitu Tiffany dan Barron.
Ivanka bersekolah di Chapin School in Manhattan dan kemudiannya ketika berusia 15 tahun, bertukar ke Choate Rosemary Hall di Wallingford, Connecticut. Setelah menamatkan pelajaran, Ivanka meneruskan pengajian di Universiti Georgetown selama dua tahun, sebelum ditukarkan ke Wharton Business School di Universiti Pennsylvania, dan melanjutkan pelajaran dengan cemerlang pada tahun 2004 (cum laude) dalam bidang ekonomi.
Ivanka memulakan kerjaya sebagai model apabila muncul dalam muka hadapan majalah Seventeen pada tahun 1997. Sejak dari situ, Ivanka menjadi model peragaan bagi jenama Versace dan Marc Bouwer. Ivanka juga pernah menjadi duta kempen Tommy Hilfiger. Antara majalah yang pernah memaparkan Ivanka di muka hadapan seperti Forbes, Golf Magazine, Avenue, Elle Mexico, Top Choice Magazine, Harper’s Bazaar, Love FMD dan Stuff.
Ivanka menjadi sangat popular sehingga tersenarai dalam Maxim Hot 100 pada tahun 2007. Ivanka juga pernah disenaraikan dalam Top 99 Women edisi tahun 2007 dan 2008 oleh AskMen.com.
Pada masa yang sama, Ivanka juga sibuk melibatkan diri dan menimba pengalaman bekerja dalam bidang perniagaan yang berkaitan. Sebelum menyertai perniagaan keluarga pada tahun 2005, Ivanka pernah bekerja dengan Forest City Enterprises. Kemudian pada tahun 2007, beliau bekerjasama dengan Dynamic Diamond Corp. untuk menghasilkan barang kemas yang mempunyai jenamanya, Ivanka Trump Fine Jewelry. Jenamanya berkembang dari sebuah kedai di Manhattan, ke daerah Soho. Namun begitu pada 2015, kedai tersebut telah ditutup tanpa diketahui puncanya. Terkini, barangan kemasnya hanya boleh didapati di Trump Tower dan beberapa kedai terkemuka di US dan Kanada, termasuklah Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu. Selain itu, Ivanka juga mempunyai jenama pakaian, beg tangan, kasut dan akesori sendiri.
Selain dalam bidang peragaan dan perniagaan, Ivanka turut membantu bapanya dalam rancangan televisyen The Apprentice. Pada mulanya, Ivanka sekadar menggantikan tempat Carolyn Kepcher dalam beberapa episod. Seperti Kepcher, Ivanka turut memainkan peranan penting dalam perniagaan bapanya seperti melawat tapat projek yang sedang dijalankan dan berbincang dengan ahli-ahli pasukan yang terlibat. Malah Ivanka pernah diberikan tanggungjawab untuk bekerjasama dengan Sean Yazbeck, pemenang The Apprentice Musim ke 5 dalam projek Trump SoHo Hotel-Condominium. Trump merupakan Naib Presiden Eksekutif dalam syarikat bapanya – The Trump Organization. Disebabkan kredibiliti yang ditonjolkan, akhirnya Ivanka menjadi juri tetap menggantikan Kepcher dalam The Apprentice bermula Musim ke 6 dan juga dalam rancangan The Celebrity Apprentice.
Pada 2012, Wharton Club of New York, sebuah kelab alumni Wharton School, Universiti Pennsylvania (alma mater Ivanka), telah menganugerahi Ivanka dengan Joseph Wharton Young Leadership Award atas pencapaian Ivanka sebagai alumni Wharton yang menonjolkan potensi yang tinggi dalam bidang kepimpinan.
Ivanka bertemu dengan suaminya, Jared Kushner seorang perunding hartanah pada tahun 2005. Mereka berkahwin pada tahun 2009 dalam majlis perkahwinan Yahudi dan mempunyai tiga orang anak.
Itu merupakan serba ringkas mengenai kehidupan Ivanka Trump. Dari sini kita sudah boleh lihat betapa kuatnya pengaruh Ivanka terhadap bapanya. Walaupun dilahirkan dalam kemewahan, Ivanka tidak mensia-siakan peluang dan nasib baiknya, sebaliknya berusaha memberikan yang terbaik dalam pelajaran dan karier yang dipertanggungjawabkan. Mengetahui tentang aspirasi bapanya yang mahukan anak-anaknya terlibat dalam perniagaan keluarga dan mengambil alih satu hari nanti, Ivanka dan adik-beradiknya menonjolkan diri mereka dalam keadan yang terbaik dalam bidang perniagaan dan hartanah.
Ivanka mempunyai hubungan rapat dengan bapanya, dan Trump sendiri pernah meluahkan rasa bangga terhadap Ivanka terhadap komitmen, kepimpinan dan potensi anaknya. Ivanka yang bersahabat dengan Chelsea Clinton, anak Hillary Clinton, pesaing Trump dalam pilihanraya lepas), pernah berkata: “There’s nothing skin-deep about Ivanka. And I think that’s a real tribute to her because certainly anyone as gorgeous as she is could have probably gone quite far being skin-deep.” Dengan kata lain, Chelsea sendiri mengakui bahawa Ivanka seorang yang jujur dan tidak berpura-pura. Disebabkan kesetiaan dan kepercayaan ini, maka secara logiknya sudah tentu Donald Trump akan melibatkan anak-anaknya dalam proses membuat keputusan yang melibatkan perniagaan dan kariernya.
Disebabkan pengaruh kuat Ivanka terhadap bapanya, jelas sekali Ivanka akan diminta untuk turut bersama dalam menyokong bapanya bertanding dalam Pilihan Raya Amerika Syarikat pada tahun 2016. Dalam satu wawancara keluarga bersama CNN, Ivanka memberitahu bagaimana bapanya mengumpulkan mereka sekeluarga untuk berbincang tentang kemungkinan mereka sekeluarga terlibat dalam politik. Mengambil kira faktor utama bapanya mahu menjadi Presiden, Ivanka dan adik-beradiknya bersetuju untuk terlibat dan menyokong bapa mereka.
Pada tahun 2015, Ivanka mengumumkan bahawa beliau menyokong kempen pilihan raya presiden bapanya secara terbuka melalui kemunculan di program-program umum sebagai penyokong dan mempertahankan bapanya. Pada bulan Ogos tahun yang sama, Trump mengumumkan bahawa Ivanka merupakan penasihat utama dalam bidang berkaitan wanita dan kesihatan. Dalam beberapa temu bual yang dijalankan, Ivanka mempamerkan dirinya sebagai penyokong yang setia, mempertahankan bapanya, malah memuji sikap bapanya dalam beberapa isu. Namun begitu, Ivanka juga menegaskan beberapa kali bahawa beliau tidak segan-silu menyatakan pandangannya terhadap sesuatu yang bertentangan dengan pandangan bapanya, namun diadakan secara peribadi. Menurut Ivanka lagi, bapanya merupakan seseorang yang adil dan mendengar pandangan orang lain.
Antara persoalan yang ditimbulkan oleh pemerhati politik dan orang ramai, ialah kehadiran Ivanka dan suaminya, Kushner di Rumah Putih atau Pejabat Eksekutif Presiden Amerika Syarikat setelah Trump memenangi pilihan raya dan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke 45.
Baru-baru ini, Menteri Luar Jerman, Sigmar Gabriel merujuk kepada peranan dan kehadiran Ivanka di Rumah Putih sebagai nepotisme (pilih kasih). Menurut Zee News, beliau berkata, “The mix of politics with family and business reminds us instead of nepotism and would be unimaginable here.” Menurut media Telegraph pula, Gabriel dikatakan terganggu apabila ahli keluarga menjawat jawatan dalam Kerajaan. Beliau kemudian menyambung, bahawa tindakan Trump itu seperti yang dilakukan terhadap “members of a royal family.”
Ada beberapa teori atau penjelasan di sini bagi menjelaskan sentimen kebencian terhadap Ivanka. Pertama, kelayakan dan pengalaman politik beliau dan suaminya untuk berada di Rumah Putih dan berkhidmat sebagai penasihat kepada Presiden. Kedua, timbul rasa tidak adil dan pilih kasih yang mewajarkan kehadiran mereka di Rumah Putih hanyalah disebabkan pertalian keluarga semata-mata. Ketiga, orang ramai membenci Trump, justeru itu segala yang berkaitan dengan Trump seharusnya dibenci. Keempat, wujud sentimen kebencian terhadap mereka yang kaya dan bernasib baik (rich and priviledge) yang dianggap sebagai tidak adil kepada mereka yang kurang bernasib baik. Ivanka merupakan seorang wanita yang cantik, kaya, bijak dan bernasib baik kerana dilahirkan dalam keluarga berada; justeru itu kesemua elemen ini sudah cukup untuk dijadikan sebagai faktor bias.
Sejak dari zaman Ivanka bekerja untuk bapanya dalam Trump Organization lagi, Ivanka telah berjaya membuktikan dirinya sebagai wanita yang berjaya dalam karier dan perniagaan, anak yang setia serta ibu dan isteri yang baik buat suaminya. Adakah semua itu tidak cukup membuktikan beliau layak untuk membantu bapanya? Beliau tiada pengalaman politik. Itukah justifikasi mereka yang beranggapan beliau tidak layak berada di Rumah Putih? Ya, betul. Ivanka merupakan anak Presiden, justeru tidak adil kehadiran beliau di situ menasihati bapanya, bimbang berlaku konflik dan pilih kasih. Betul, disebabkan itu tidak wajar sekiranya ahli keluarga atau mereka yang mempunyai tali persaudaraan dengan Presiden berada dalam pejabat yang sama. Namun ia tidak menghentikan mereka di negara lain untuk berbuat demikian. Ada kisah yang berjaya, dan ada yang tidak. Kehadiran seorang wanita, anak kepada Presiden hanya sekadar boneka bagi membantu membersihkan imej bapanya. Boleh jadi betul juga tanggapan itu, kerana dalam mana-mana wawancara atau temu bual, Ivanka akan menyatakan dengan tegas bahawa bapanya layak memegang jawatan ini dan meminta orang ramai memberikan peluang kepada bapanya untuk membuktikan perkara ini.
Kita lihat peranan Ivanka dalam tempoh 100 hari pertama Presiden. Pelbagai berita timbul (bergantung kepada kecenderungan media) mengenai kejayaan atau kegagalan peranan Ivanka. Antaranya, Ivanka memainkan peranannya sebagai advokasi terhadap peranan wanita di tempat kerja, terutamanya di bidang perniagaan dan keusahawanan dan kepimpinan melalui roundtable perbincangan antara Presiden Trump, Justin Trudeau, Perdana Menteri Kanada dan sembilan eksekutif tertinggi wanita dari kedua-dua buah negara yang dikendalikan oleh Ivanka di Rumah Putih. Melalui perbincangan ini, satu projek diumumkan iaitu “United States Canada Council for the Advancement of Women Business Leaders-Female Entrepreneurs.”
Namun ada pihak yang mempertikaikan, di manakah Ivanka ketika bapanya dituduh sebagai rasis atau melakukan gangguan seksual? Ivanka kelihatan berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Manakala dalam isu Syria, menurut Eric Trump sendiri, serangan 59 misil Tomahawk terhadap Syria dilakukan disebabkan ‘pengaruh’ daripada Ivanka.
Ada juga insiden yang berlaku di mana, pandangan Ivanka bertentangan dengan polisi bapanya. Dalam satu wawancara bersama NBC News sewaktu Ivanka di Jerman bagi menghadiri W20 Summit, Ivanka berpendapat bahawa “.. there is a global humanitarian crisis that’s happening, and we have to come together, and we have to solve it.” Dan apabila ditanya adakah Amerika Syarikat akan membuka sempadan untuk pelarian Syria, Ivanka membalas: “That has to be part of the discussion, but that’s not going to be enough in and of itself.”
Jawapannya bertentangan dengan pendapat Trump mengenai pelarian Syria sewaktu berkempen, yang mana Trump mahukan pelarian ditempatkan di zon selamat dan bukannya Amerika Syarikat, dan Trump sering mengkritik Jerman dalam hal ini dengan mengatakan “… crime (in Jerman) has risen to levels that no one thought would they would ever see. We have enough problems in our country, we don’t need another one.”
Daripada tiga contoh isu ini sahaja, kita dapat lihat sejauh mana ‘pengaruh’ Ivanka terhadap Trump. Sudah tentulah, ada turun naiknya. Ada yang berkesan, dan ada yang tidak. Belum lagi jika kita mahu lihat keseluruhan 100 hari pertama Presiden. Secara realitinya, sudah tentulah sebagai penasihat, tidak semua cadangan dan buah fikiran akan didengari oleh Presiden, ada yang dipersetujui, dan ada yang dibantah. Berkenaan kritikan demi kritikan yang diterima mengenai peranannya di Rumah Putih sebagai penasihat, Ivanka berkata “I am rather unfamiliar with this role as well, as it is quite new to me.” Justeru itu, dalam proses penyesuaian ini, tidak adil bagi kita dengan mudah sekali menafsirkan sebarang tindakan Ivanka. Namun pada masa yang sama, disebabkan statusnya sebagai seorang anak kepada Presiden dan kehadiran sebagai Penasihat, wajar juga kita melihat perkembangan ini dengan berhati-hati.
Dalam temu bual bersama CBS News, Ivanka menjelaskan tuduhan bahawa beliau seorang ‘complicit’ (bersubahat) dengan bapanya.
“If being complicit is wanting to be a force for good and to make a positive impact, then I’m complicit. I don’t know if the critics that say that of me found themselves in this unique situation that I am now in would do any differently than I am doing,” she said.
~ E. H. Nathasia
Sumber:
http://honey.nine.com.au/2017/04/21/08/14/jared-kushner-and-ivanka-trump-named-in-time-100-most-influential-people
https://www.aol.com/article/news/2017/04/29/german-minister-calls-out-ivanka-trump-nepotism/22061514/
http://www.chicagotribune.com/news/opinion/commentary/ct-ivanka-trump-booed-20170427-story.html
http://www.telegraph.co.uk/women/politics/trump-whisperer-100-days-turned-ivanka-world-statesman/
https://newrepublic.com/article/142340/ivankas-first-100-days
http://www1.cbn.com/cbnnews/politics/2017/april/100-days-of-power-the-rising-status-of-ivanka-trump-and-jared-kushner
http://www.foxbusiness.com/politics/2017/02/13/president-trump-ivanka-and-pm-trudeau-promote-women-in-business.html
http://www.foxbusiness.com/features/2017/02/14/do-women-need-ivanka-trump-to-break-glass-ceiling.html
http://edition.cnn.com/2017/04/11/politics/ivanka-trump-syria-strike-influence-telegraph/
http://fortune.com/2017/04/26/ivanka-trump-syrian-refugees/
Ivanka Trump FULL INTERVIEW | CBS This Morning | April 5, 2017
https://www.youtube.com/watch?v=NU_uQ5hgK3Q
Ivanka explains what it was like growing up as a Trump | CNN | July 20, 2016
Get to Know Donald Trump’s family – CNN | Town Hall Interview 4/12/16
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih