Apabila suara tidak didengari, ke manakah perginya isi hati?
Koe no Katachi (Bentuk Suara), manga karya Yoshitoki Oima, adalah satu perjalanan emosi yang berliku dan amat dekat dengan hatiku ketika mana aku membacanya beberapa tahun dahulu. Walaupun menggunakan medium perantaraan yang statik, karya tersebut mampu menggamit jiwa para pembaca. Sebab itulah, ketika mana diumumkan bahawa Kyoto Animation (K-On!, Hibike Euphonium, Kyokai no Kanata) akan mengadaptasikan manga tersebut menjadi filem, aku tertunggu-tunggu hasilnya dengan perasaan teruja dan juga curiga. Tambahan lagi, sentuhan direktor prolifik, Naoko Yamada yang terkenal dengan gaya seni dia yang pragmatic turut membuatkan para peminat teruja. Bukan satu hiperbola untuk aku mengatakan bahawa filem ini mempunyai resepi untuk sebuah karya anime yang cukup sempurna.
Pendek cerita, mereka berjaya.
Koe no Katachi menceritakan tentang seorang gadis pekak, Nishimiya Shouko yang dibuli dan Ishida Shouya, sehinggakan Nishimiya terpaksa berpindah sekolah. Lantaran itu, Ishida dijadikan kambing hitam dan disisirkan dan dibuli oleh rakan sebayanya yang lain. 5 tahun kemudian, selepas mengalami isolasi dan kejanggalan sosial yang teruk, Ishida berharap untuk berbaik semula dengan Shouko sebelum membunuh diri.
Jalan cerita yang, jika sekilas pandang mungkin dianggap cerita seram untuk membalas dendam, ini dijadikan sebuah cerita tentang penemuan diri yang dekat di hati, hasil daripada perwatakan dan pengarahan yang sangat baik. Melalui penggunaan sudut kamera dan seni visual yang kreatif, Naoko Yamada telah berjaya memadatkan emosi kompleks setiap watak menjadi klu visual yang mencuit perhatian penonton. Ada kala kamera seperti gusar memandang muka watak apabila mereka berbual, menunjukkan situasi tegang hubungan antara mereka.
Ada kala kamera mengundang rasa klaustrofobia apabila muka watak dizoomkan di skrin untuk diteliti ekspresi mereka. Sentuhan Naoko Yamada amatlah menonjol dengan sudut kamera menunjukkan kaki watak untuk menunjukkan keadaan emosi mereka secara tidak sedar kepada penonton. Nilai estetika yang tinggi dan juga teknik animasi turut dalam menonjolkan perasaan watak. Ada kala mereka lembut jika memerlukan kehalusan dan juga ekspresif ketika memerlukan reaksi penonton. Kesemua ini menghasilkan drama yang seakan-akan realiti dan juga suasana ketegangan di dalam panggung wayang, sehinggakan mampu mendengar degupan jantung sendiri.
Koe no Katachi menggunakan wataknya untuk impak maksima. Setiap daripada perwatakan mereka dijelaskan dengan begitu baik sekali sepanjang 2 jam filem itu berlangsung. Apabila filem sudah tamat, aku rasakan seperti memahami dan mengenali watak tersebut dalam reality. Seperti mana aku memahami perwatakan Ishida yang kompleks dan janggal, perwatakan Nishimiya yang apologetik dan banyak kekurangan. Seperti mana aku mengenali gaya lawak sakan Nagatsuka yang sungguh menghiburkan dan juga watak Ueno yang jujur tetapi kejam. Setiap daripada mereka adalah amat kompleks dan mempunyai perwatakan yang mendalam. Sesetengah watak kecil dalam filem ini tidak mampu diperwatakkan dengan teliti. Walau bagaimanapun, kita dapat lihat beberapa petunjuk halus kepada personaliti mereka. Pada pandangan aku, para pembaca manga akan lebih untung dalam hal ini.
Pengunaan premis cerita dan watak yang pelbagai dan kompleks ini membuatkan filem ini merasakan realistik dan dramatik, bukan setakat melodrama sesi persekolahan. Perjalanan Ishida dan Nishimiya menyatukan kembali serpihan zaman kanak-kanak mereka membawa kepada naratif yang mengharukan. Apa yang terselah di sebalik luka-luka lama adalah persoalan tentang buli, kesunyian, kemurungan, dosa-dosa lama dan juga kemaafan terhadap orang lain dan juga diri sendiri. Pada dasarnya, Koe no Katachi menonjolkan persoalan yang berat sekali; tentang hubungan dan kesukaran berhubung melalui kata-kata yang disebut dan juga disimpan.
Kesemuanya diiringi dengan pemilihan musik dan pengarahan bunyi yang hebat. Bunyi dan musik, diselangi dengan keberanian menggunakan kesunyian sangat membantu filem ini merealisasikan suasana di dalam panggung wayang. “Bentuk Suara” yang hakikatnya tidak berbunyi dapat disampaikan kepada para penonton dengan kesunyian tersebut. Skor musiknya pula menakjubkan, yang banyak menggunakan piano usang, berbunyi seperti ia seakan-akan pecah.
Pembaca manga Koe no Katachi mungkin akan kecewa dengan beberapa butiran jalan cerita yang dipotong dalam filem tersebut. Walaubagaimanapun filem tersebut telah berjaya meceritakan sesuatu yang mantap dan sedikit sangat cacat celanya. Aku belajar untuk menangis, untuk ketawa kemudian menangis kembali keitka menonton filem ini. Cerita ini menimbulkan emosi yang jarang dicetuskan oleh karya lain. Sebuah filem yang meneroka tema berat seperti penerimaan dan predamaian diri dan rakan-rakan. Sebuah hasil seni yang amat bernilai
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih