Dari sudut astronomi, gerhana matahari berlaku apabila bulan berada di kedudukan antara bumi dan matahari dan menutup sebahagian atau seluruh cahaya matahari. Walaupun bulan lebih kecil, namun bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana bulan yang berjarak antara 384,400 kilometer dari bumi lebih dekat berbanding matahari yang mempunyai jarak purata 149, 680, 000 kilometer. Jarak matahari dari bumi adalah lebih kurang 400 kali jarak bulan (dari bumi) sementara diameter matahari pula lebih kurang 400 kali diameter bulan. Oleh sebab nisbah-nisbah ini agak sama, dari bumi, saiz matahari dan bulan kelihatan agak sama, lebih kurang 0.5 darjah sudut dalam ukuran sudut.
Gerhana matahari berlaku kerana fenomena alam yang bergerak mengikut sistem semula jadi dan prosesnya telah pun diperbincangkan melalui fakta saintifik menerusi kajian-kajian pakar astronomi. Namun demikian, pada zaman dahulu dan barangkali sehingga ke hari ini. Terdapat banyak kisah dongeng dan mitos kebudayaan berkenaan gerhana matahari yang meniti di bibir-bibir kaum seluruh dunia. Kebanyakannya telah menjadikan gerhana sebagai simbol kepada ketakutan.
Perkataan gerhana berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud “pengabaian”. Secara literalnya, gerhana dilihat seolah-olah sedang mengabaikan bumi sehingga bumi terpaksa bergelap daripada cahaya matahari. Gerhana pula seringkali ditafsirkan sebagai penjelmaan naga atau syaitan yang sedang menelan matahari. Masyarakat China purba kebiasaannya akan memalu gendang bagi menakutkan naga yang sedang menelan matahari. Di India berbeza pula, mereka akan berendam di dalam air sehingga paras leher, lalu melakukan aksi penyembahan menurut kepercayaan mereka seolah-olah sedang membantu matahari melawan naga.
Menurut David Dearbon, seorang ahli astrophysicist berkata, “Agak masuk akal apabila gerhana matahari dianggap sebagai sial. Pada kebudayaan tamadun awal, matahari dilihat sebagai pemberi kehidupan yang dilihat wujud pada setiap hari. Apabila muncul sesuatu yang cuba ‘mengancam’ matahari, ia dianggap sebagai petaka yang sangat buruk.”
Mitos Babylon
Lebih kurang 2000 tahun yang lalu, kerajaan Babylon mampu membuat perkiraan bahawa terdapat 38 kemungkinan gerhana akan berlaku dalam tempoh 223 bulan, iaitu jumlah keseluruhannya adalah 18 tahun. Ahli Astronomi moden menamakan tempoh 223 bulan itu sebagai Kitaran Saros. Menurut juru ilmu di Babylon, gerhana bulan membawa ramalan tentang kematian raja. Tetapi syarat untuk kemunculan nasib malang itu tidak terlalu mudah. Jika Musyhtari kelihatan semasa kejadian gerhana, maka raja akan selamat. Nampaknya gerhana matahari mempunyai perkaitan yang rapat mengenai kesihatan dan kehidupan seseorang raja. Dalam hal tersebut, sekiranya gerhana matahari berlaku. Satu mekanisma telah dirancang untuk menyelamatkan nyawa raja, iaitu Ritual Pengganti Raja.
Terdapat lebih kurang 30 catatan tentang ritual ini dalam pelbagai surat dari Assyria. Dalam rujukan awalnya, seorang raja di Bandar Isin, Erra Imitti telah diganti dengan seorang tukang kebun bernama Enlil Bani sebagai pengganti raja dalam ritual yang akan dijalankan. Nasib baik untuk tukang kebun itu, raja yang asal mati semasa makan sup panas, dan pekebun itu kekal menduduki takhta dan menjadi raja dengan nasib yang baik. Cerita tersebut dianggap sebagai fakta dan telah memerintah di Isin pada abad ke 19 Sebelum Masihi. Bagaimanapun, kisah itu tetap dianggap sebagai lagenda dan disampaikan bertujuan untuk menerangkan tentang penurunan takhta dari satu keluarga atau keturunan yang lain, bukan mengikut garisan keturunan.
Mitos Vietnam
Di Vietnam, penduduknya percaya bahawa gerhana matahari berlaku kerana matahari sedang dimakan oleh seekor katak gergasi. Menurut kisahnya, katak gergasi itu yang diikat dengan rantai emas di sebuah kolam oleh Hanh (Dewa dalam kepercayaan rakyat Vietnam) cuba melepaskan diri apabila tuannya sedang tidur. Gadis Bulan akan bergegas mengejutkan Hanh kerana hanya Hanh seorang yang mampu membuatkan katak gergasi memuntahkan bulan itu semula.
Mitos China
Dalam mitos China purba, gerhana matahari berlaku apabila makhluk naga dari langit menelan matahari. Malah turut mempercayai naga yang sama menyerang bulan semasa gerhana bulan. Dalam bahasa Cina, penggunaan terma gerhana ialah “chih” yang bermaksud “makan.” Dalam catatan China purba, gerhana matahari ditafsirkan sebagai “matahari sudah dimakan”. Sudah menjadi tradisi bagi masyarakat China purba untuk memalukan gendang dan periuk supaya bunyi bising itu dapat menghalau naga semasa kejadian gerhana berlaku. Malah, dalam kejadian yang berlaku pada abad ke-19, tentera laut China menembak meriam semasa gerhana bulan untuk menakutkan naga yang sedang makan bulan.
Mitos Hindu
Seperti yang tercatat dalam mitologi India purba, Syaitan Rahu telah mencuri ramuan ajaib supaya dapat hidup kebal buat selama-lamanya. Perbuatan tersebut disaksikan oleh bulan dan matahari lalu mereka memberi amaran kepada Dewa Vishnu. Seperti yang diceritakan dalam dongeng, Vishnu memenggal kepala Syaitan Rahu namun kepalanya tetap hidup buat selama-lamanya sementara badannya pula lebur dan mati. Kerana rasa terhina dan mahukan keadilan, Rahu mengejar bulan dan matahari lalu dia menangkap dan menelannya. Namun tanpa kerongkong, matahari dan bulan hanya melepasi menerusi kepalanya sahaja.
Mitos Afrika
Puak Batammaliba di Togo dan Benin, Afrika melihat gerhana sebagai peluang untuk menamatkan persengketaan lama. Dalam mitos ini, gerhana berlaku disebabkan pergaduhan matahari dan bulan. Apabila gerhana melanda, puak Batammaliba berkumpul bersama sebagai satu komuniti dan cuba menamatkan perbalahan sesama mereka sebagai cara menggalakkan matahari dan bulan agar berbuat perkara yang sama.
Mitos Korea
Dalam kisah mitos yang tercatat dalam Hangugui- Seolwo (Kisah Dongeng Rakyat Korea), terdapat banyak alam kayangan. Salah satunya ialah kerajaan kegelapan yang bernama Gamangnara. Raja Gamangnara berasa penat dengan kegelapan dan mula mendambakan cahaya matahari dan bulan. Dia menghantar makhluk anjing gergasi bernama Bul-Gae untuk mengejar matahari dan membawanya pulang ke alam kegelapan. Namun demikian, semasa Bul-Gae cuba menggigit matahari, kepanasannya telah membakar mulut anjing gergasi itu sehingga dia terpaksa melepaskannya pergi.
Raja Gamangnara berasa sangat murka dan menghantar seekor lagi anjing yang lebih ganas untuk menangkap bulan pula, sekurang-kurangnya. Namun, bulan terlalu sejuk dan membekukan mulut anjing gergasi. Meskipun berasa kecewa, Raja Gamangnara tetap berterusan menghantar anjing-anjingnya untuk menangkap bulan dan matahari dan tetap berakhir dengan kegagalan. Semasa kejadian gerhana, bahagian gelap yang melindungi bulan dan matahari dipercayai sebahagian daripada kesan gigitan dan terlindung oleh mulut Bul-Gae.
Kepercayaan lain berkenaan gerhana matahari
1) Sesetengah bangsa Itali percaya Bunga yang ditanam semasa gerhana matahari lebih cerah dan cantik berbanding bunga yang ditanam pada hari lain.
2) Ramai orang di India berpuasa semasa gerhana bulan atau matahari atas kepercayaan makanan yang dimasak semasa gerhana akan mengandungi racun. Malah sebahagian mengatakan minum air turut menjadi larangan. Sebahagian yang lain pula memilih untuk berpuasa sebagai alasan spiritual dan berdoa bagi pembebasan dewa matahari.
3) Salah satu mitos yang berterusan adalah dikatakan gerhana mampu membahayakan perempuan mengandung dan anak di dalam kandungan. Dalam setengah budaya, mereka percaya anak di dalam kandungan akan dibunuh oleh gerhana. Oleh itu, perempuan mengandung diperintahkan untuk duduk di dalam rumah.
4) Di Artik, Dewi Matahari, Malina mengasingkan diri selepas bergaduh dengan abangnya, Dewa Bulan Anningan.Anningan pergi mengejarnya sehingga terlupa untuk makan dan lama kelamaan badannya menjadi semakin kecil. Kadang-kala, dia berjaya mengejar Malina tetapi segala-galanya bertukar gelap, menjadi punca kepada gerhana matahari.
5) Puak Tewa di New Mexico percaya gerhana matahari berlaku kerana matahari sedang marah lalu membuat keputusan meninggalkan langit dan kembali ke dunia kayangan. Tetapi, matahari sentiasa berlapang dada untuk kembali semula ke langit.
6) Kaum Yunani Purba percaya gerhana berlaku kerana dewa sedang marah terhadap manusia. Menurut ramalan, benca dan kemusnahan akan menyusul selepas matahari.
Ketakutan dan ramalan terhadap gerhana masih lagi wujud sehingga ke hari ini walaupun kajian sains astronomi telah membuktikan mengenai proses kejadian seterusnya menafikan mitos-mitos yang mendakwa bahawa gerhana membawa sial kepada umat manusia. Bahkan umat Islam juga telah diajar oleh Rasulullah bahawa gerhana tidak memberi sebarang sial malah menggalakkan penganutnya mendirikan solat sunat gerhana sebagai tanda mengagungkan kebesaran TUHAN.
Rujukan:
1) https://ms.wikipedia.org/wiki/Gerhana_matahari
2) https://en.wikipedia.org/wiki/Vietnamese_mythology
3) https://en.wikipedia.org/wiki/Bulgae
4) http://www.infoastronomy.org/2016/02/bagaimana-proses-terjadinya-gerhana-matahari.html
5) http://www.exploratorium.edu/eclipse-archive/dragon.html
6) https://www.livescience.com/60084-eclipses-were-omens-in-ancient-world.html
7) https://www.timeanddate.com/eclipse/solar-eclipse-myths.html
8) http://news.nationalgeographic.com/news/2013/11/131101-solar-eclipse-myth-legend-space-science/
9) http://www.bibalex.org/eclipse2006/HistoricalObservationsofSolarEclipses.htm
10) http://www.ajc.com/news/national/sun-eating-demons-bizarre-but-brilliant-myths-and-superstitions-about-solar-eclipses/QTAmVLA9m1z4KVCUIeTVuI/
11) http://journaltimes.com/news/world/variations-on-ancient-solar-eclipse-myths/article_a2fe300b-eccd-5a32-92d8-9be519780ad4.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih