Kalau kita semua membicarakan tentang sejarah China, sebuah negara moden yang ditubuhkan atas puing-puing keagungan sebuah tamadun yang berusia lebih 5000 Tahun, pastinya kita tidak akan ketinggalan untuk berbicara tentang Dinasti Han dan seorang panglima perang yang menurut saya, jantung dan hati kepada usaha Liu Bang menyatukan seluruh China selepas kejatuhan Dinasti Qin.

Umumnya, kita mengetahui bahawa Dinasti Qin ialah dinasti pertama dalam sejarah China yang berjaya menyatukan seluruh China, menyatukan seluruh suku-suku kaum yang menghuni kawasan di sekitar Lembangan Sungai Hwang Ho. Suku-suku kaum yang bertutur dalam satu bahasa dalam rumpun dan dialek yang sama yang hari ini kita tahu dikenali sebagai keluarga bahasa Cina. Namun, Dinasti Qin tidak bertahan lama lalu menemui pengakhirannya.

Pada saat kejatuhan Dinasti Qin, China mula memasuki era perang saudara, di mana dalam dua pihak saling berebutkan takhta Maharaja China. Dan dua belah pihak itu ialah Chu dan Han. Dunia hari ini mengenali fasa ini dalam sejarah China sebagai Persengketaan Chu-Han.

Dan persengketaan itu menyaksikan pelbagai pertempuran-pertempuran yang sangat menarik untuk disaksikan dan dipelajari oleh kita. Dan salah satu daripada watak besar di sebalik pertempuran hebat itu ialah Han Xin, seorang jeneral perang yang boleh diibaratkan lahir setiap 100 tahun dalam sejarah China. Sang manusia genius yang menjadi tulang belakang kejayaan Liu Bang.

Lelaki Yang Merangkak Di Bawah Kangkang Sang Pembuli

Han Xin (韩信) (mati pada 196 Sebelum Masihi) adalah seorang lelaki biasa yang sebenarnya mempunyai sejarah yang dikurinakan tuhan kebijaksanaan yang tiada bandingannya pada zamannya. Namun, kehidupan Han Xin adalah sangat sadis. Anak yatim ini hidup bergantung pada ehsan orang lain. Setiap hari, dia dicatatkan akan meminta-minta makanan setiap hari di sekitar kampungnya.

Namun, pada saat kebuluran yang sudah bersahabat dengannya, pastinya akan ada seorang perempuan di kampungnya yang merasa simpati. Maka, si perempuan itulah yang setia memberi makan kepada Han Xin. Han Xin yang sememangnya bercita-cita besar menjadi seorang panglima perang yang hebat suatu hati nanti menjanjikan pada perempuan tadi balasan kalau dia berjaya mencapai cita-citanya.

Walaupun hidup dalam keadaan serba susah, namun Han Xin selalu meluangkan masanya untuk membaca tentang strategi ketenteraan dan juga berlatih bermain pedang seorang diri. Bahkan Han Xin mempunyai satu tabiat dengan berjalan-jalan di sekitar kampungnya sambil membawa pedang kayu yang selalu digunakan untuk latihannya, sambil membayangkan dirinya sebagai seorang jeneral perang hebat.

Pernah suatu masa, Han Xin tersempak dengan sekumpulan pembuli yang memang sering menyasarkan Han Xin yang menurut mereka bermimpikan benda yang mustahil. Kalau dalam masyarakat kita, kita mungkin melabelkan Han Xin saling tak tumpah seperti Mat Jenin. Orang kampung Han Xin tidak boleh melihat seorang lelaki yang bervisi dan berimpian seperti Han Xin.

Han Xin diketawakan, diejek malah dimaki dengan sangat hina kerana menjadi seorang lelaki yang bervisi dan dia telah dipaksa merangkak di bawah kangkang ketua kumpulan pembuli tadi kalau tidak mahu dipukul. Han Xin akur kerana menyedari dirinya yang dikelilingi oleh kumpulan manusia yang ramai dan berbadan besar.
Sejarah mencatatkan selepas puluhan tahun dari peristiwa itu, Han Xin sendiri mendapatkan kumpulan pembeli itu. Anehnya, Han Xin tidak menghukum mereka sebaliknya Han Xin menganugerahkan pangkat dan jawatan pada lelaki yang terpaksa dia merangkak bawah kangkangnya satu masa dahulu. Sempat lagi Han Xin menitipkan pesanan.

“Kamu adalah hero. Kalau tidak kerana kau, aku tidak akan berada di tempat aku hari ini. Kau yang sering membuli dan memperkecilkan akulah yang menyebabkan aku berkobar-kobar membuktikan siapakah Han Xin sebenarnya!”

Dipendekkan cerita, akhirnya Han Xin berjaya memasuki pasukan tentera Chu yang dipimpin oleh jeneral perang bernama Xiang Yu yang ketika itu sedang menggerakkan revolusi menggulingkan Dinasti Qin. Dalam pasukan tentera Xiang Yu, Han Xin sering mendapatkan Xiang Yu dan mencadangkan strategi dan taktikal perangnya untuk digunakan dalam medan perang.

Namun Xiang Yu tidak mengendahkan setiap idea yang datang daripada Han Xin menyebabkan lelaki itu kecewa lalu meninggalkan pasukan Chu. Bertahun-tahun kemudian nanti. Xiang Yu akan menyesal dengan tindakannya itu kerana Han Xin akan menjadi nemesis utama Xiang Yu dalam medan perang, dalam fasa Persengketaan Chu-Han ketika era kejatuhan Dinasti Qin. Han Xin akan menjadi kanser yang menjatuhkan rejim Xiang Yu sendiri.

Drama Di Bawah Sinaran Bulan

Kalau kalian pernah membaca artikel kami tentang bagaimana Liu Bang dimalukan dengan teruk di Hong Gate (Link artikel: https://goo.gl/r5tDPq), kalian akan dapati bahawa Liu Bang tidak mungkin akan menang ke atas pasukan Chu yang memang sebuah pasukan yang sangat ampuh. Dengan kehebatan Xiang Yu di medan perang dan kebijaksanaannya, Liu Bang yang kekurangan seorang penasihat militari yang hebat akhirnya dihantar ke Banshu, ke sebuah pendalaman China untuk mentadbir di sana.

Selepas berjaya menjatuhkan Dinasti Qin, Xiang Yu ketika itu membahagikan China kepada beberapa bahagian, di mana setiap bahagian itu diperintah oleh orang-orang kepecayannya. Raja Chu yang merupakan sekadar boneka Xiang Yu akan memerintah di Xianyang yang pernah menjadi pusat pemerintahan Dinasti Qin.

Zhang Liang, penasihat Liu Bang menasihati daripada melawan arahan Xiang Yu, maka Liu Bang mematuhi arahan Xiang Yu dalam waktu itu, sementara mengumpulkan kekuatan untuk menjatuhkan Xiang Yu.

Ketika itu, Liu Bang telah mendapati bahawa nasibnya untuk menjadi Maharaja China dan memerintah seluruh China agak kabur kerana terperangkap di kawasan pendalaman seperti Bashu yang makanan asasinya ialah serangga goreng dan segala makanan yang sangat pelik. Itu belum lagi kalau berbicara tentang muka buminya yang dikuasai oleh kawasan paya bakau. Namun, siapa tahu takdir mempunyai perancangan lain untuk Liu Bang memiliki China.

Han Xin ketika itu mengembara ke Banshu untuk menyertai pasukan Han, sambil dalam hatinya berbara dendam pada Chu dan juga Xiang Yu. Dia mahu membuktikan pada Xiang Yu bahawa dia bukan calang-calang orang. Dia adalah orang yang sangat berbakat dan Xiang Yu akan menyesal dengan tindakannya.

Sampai sahaja di Banshu, terus Han Xin menyertai pasukan tentera Han. Namun, seperti mana yang berlaku di Chu, tiada siapa pun yang nampak bakat yang dimiliki oleh Han Xin membuatkan Han Xin terpaksa melakukan sesuatu untuk memastikan orang atasannya nampak akan bakat dirinya.

Dan orang atasan itu ialah Xiahou Ying, orang kanan Liu Bang yang merupakan pertama menyedari bakat terpendam yang dimiliki oleh Han Xin Ketika Han Xin hampir dipancung kepalanya oleh Xiahou kerana melanggar undang-undang tentera, lalu ketika diminta untuk melafazkan ayat terakhirnya, maka Han Xin menurturkan ayat di bawah.

“Aku dengar Liu Bang mahu membina sebuah empayar. Jadi, kenapa dia mahu membunuh orang yang boleh membantunya berbuat demikian?”

Tertarik dengan ungkapan Han Xin itu, maka Xiahou Ying pun memberikan tugas untuk mengawal bekalan makanan untuk pasukan askar untuk Han kepada Han Xin. Han Xin telah mengaplikasikan strategi peperangan yang hebat pada pengurusan bekalan makanan Han membuatkan bekalan makanan yang dimiliki oleh Han bertambah berkali-kali ganda meski ketika itu, mereka menjadikan Banshu sebuah kawasan pendalaman sebagai markas mereka.

Lalu bakat ini dikesan pula oleh Xiao He, salah seorang orang penasihat Han. Xiao He merasakan orang yang mampu membawa Liu Bang keluar daripada Banshu sudah berada di depan mata. Lalu dibawa Han Xin kepada Liu Bang, namun ketika itu, bakal maharaja pertama Dinasti Han itu langsung tidak mengendahkan bakat Han Xin membuatkan Han Xin merajuk dan meninggalkan Kota Banshu pada malam itu.

Merasakan bahawa majikannya melakukan kesilapan paling besar, maka Xiao He pun menunggang kuda mengejar Han Xin di bawah bulan purnama, cuba memujuk Han Xin untuk kembali ke Banshu. Ketika itu, terdapat beberapa orang melihatkan Xiao He menunggang kuda mengejar Han Xin. Maka khabar angin kononnya Xiao He meninggalkan pasukan Liu Bang mula tersebar membuatkan Liu Bang menjadi risau apabila orang kanannya berpaling tadah.

Namun, Liu Bang berasa lega apabila melihatkan Xiao He kembali bersama dengan Han Xin lalu bertanyakan soalan kepada Xiao He.

“Kenapa dalam kebanyakan orang yang berpaling tadah daripada aku, kau hanya mengejar Han Xin untuk memujuknya kembali?”

Xiao He menjawab kerana bakat yang dimiliki oleh Han Xin adalah tidak tertanding oleh mana-mana jeneral perang pada waktu itu. Justeru, untuk mendalami bakat hebat yang dimiliki oleh Han Xin ini, maka saya senaraikan beberapa contoh pertempuran hebat yang pernah dipimpin oleh Han Xin sendiri.

1. Penaklukan Tiga Qin oleh Han Xin merujuk pada tiga orang bekas jeneral Dinasti Qin yang berkhidmat untuk Xiang Yu. Pertempuran Jingsuo menunjukkan kebijaksanaan Han Xin menggempur seluruh bala tentera Tiga Qin.

Ketika Chu berjaya menyatukan seluruh China di bawah pemerintahannya, tiga bekas Jeneral Qin diberi tanggungjawab untuk mentadbir negeri Guangzhong yang berjiran dengan negeri yang ditadbir oleh Liu Bang,
Maka, pelan pertama yang dilakukan oleh Han Xin selepas dilantik menjadi jeneral kanan Han untuk mengaburi mata tiga bekas jeneral Qin ini ialah mengarahkan askar-askar di bawah Han untuk memperbaiki satu-satunya jalan keluar daripada Qin di jalan-jalan di tepi pergunungan.

Sengaja Han Xin melakukan ini untuk mengaburi mata tiga jeneral Qin ini seolah-olah membayangkan bahawa Liu Bang tidak berminat untuk melakukan ekpedisi tentera sebaliknya sekadar bersemayam di Banshu.

Namun… dalam masa yang sama, Han Xin telah menggerakan bala askar utama Han untuk terus menggempur Guangzhong melalui jalan rahsia. Askar yang diarahkan untuk membina dan memperbaiki jalan yang rosak itu adalah sekadar “decoy” untuk membuatkan tiga jeneral Qin terleka.

Impaknya, ketika bala askar Qin sampai ke negeri Guangzhong, semuanya sudah terlambat dan akhirnya negeri Guangzhong berjaya ditawan oleh Han Xin.

2. Selepas itu. Han Xin meneruskan kempen penaklukan Han apabila menyasarkan kawasan utara China yang ketika itu di bawah negeri Zhao dan Qi yang diperintah oleh boneka Xiang Yu. Ada dua pertempuran dalam penaklukan Han ke atas kawasan utara China ang diingati kerana kebijaksanaan Han Xin iaitu Pertempuran Jingxing dan Pertempuran Sungai Wei.

– Pertempuran Jingxing: Ini ialah pertempuran yang mencerminkan kepada kita tentang kebijaksanaan Han Xin yang sangat mengagumkan . Selepas berjaya mengalahkan Tiga Qin dalam Pertempuran Jingsuo, maka Han Zin terus mara ke arah negeri Zhao. Jingsuo harus ditawan oleh Han Xin kalau Han di bawah Liu Bang mahu terus mara dan menakluk seluruh China.
Dalam pertempuran ini, Han Xin menunjukkan bagaimana 5 ribu hingga 10 ribu orang askarnya sudah cukup untuk menewaskan bala 200 ribu orang askar dalam peperangan. Pertempuran ini dimulakan dengan Han Xin.

Malam itu, Han Xin mengarahkan 2 ribu orang askarnya menyelinap di belakang kem tentera Zhao sambil membawa panji-panji kibaran pasukan Han sementara baki askarnya yang lain ditugaskan untuk berdepan dengan 200 ribu bala askar Zhao. Han Xin memesan kepada pasukan 2 ribu orang itu supaya menukarkan bendera yang berkibar di kem itu kepada panji kibaran Han apabila pertempuran meletus.

Lalu ditakdirkan pertempuran yang seolah-olah tidak memihak kepada Han Xin berlaku, maka 2 ribu askar tadi pun menukarkan terus bendera di kem Zhao membuatkan askar Zhao yang sedang kusyuk bertempur bertukar panik apabila melihatkan bendera Han berkibar di kem tentera mereka. Ini menjatuhkan terus morale mereka kerana mereka beranggapan bahawa terdapat pasukan rahsia yang dalam jumlah yang terlalu banyak sedang menyerang mereka dari belakang.

Maka, askar-askar Zhao tadi terus lari bertempiaran dari medan perang dan baki askar Han Xin yang berjumlah 3 ribu orang sehingga 8 ribu itu berjaya memenangi peperangan ke atas 200 ribu askar Zhao.

– Pertempuran Di Sungai Wei menyaksikan bagaimana Han Xin mempimpin 50 ribu orang askar melawan 200 ribu orang askar Qi yang dipimpin leh seorang jeneral perang bernama Long Ju. Untuk rekod, Long Ju sangat memandang rendah pada kelebihan yang dimiliki oleh Han Xin.

Kisah Han Xin merangkak di celahan kangkang sekumpulan pembuli suatu masa dahulu memang sudah tersebar dan Long Ju menganggap bahawa lawannya kali ini adalah seorang yang pengecut. Sebelum pertempuran, Han Xin mengarahkan askar-askarnya membina apa yang saya panggil sebagai “empangan ekpress” di hulu Sungai Wei dengan beg-beg pasir yang banyak. Perbuatan Han Xin itu menyebabkan air sungai Wei menjadi cetek.

Han Xin pula ketika itu memimpin 50 ribu askarnya dengan bertempur secara berdepan dengan Long Ju. Memang atas kesengajaan Han Xin, dia menyuruh askarnya berlakon dan berpura-pura seperti kalah dan lari dari medan peperangan demi mengumpan Long Ju dan askar Qin. Ketika itu, Han Xin menyuruh askarnya belari merentasi Sungai Wei yang menjadi cetek airnya.

Ketika 1/3 daripada askar Qi melintasi Sungai Wei, maka Han Xin memberi isyarat kepada askarnya yang mengawal empangan ekpress di hulu Sungai Wei untuk mengangkat timbunan beg pasir tadi. Apa lagi, air bah yang tertahan dek timbunan beg pasir tadi terus melimpah dari hulu sungai dan membantai pasukan Qi di tengah-tengah sungai.

3. Pertempuran Gaixia: Selepas rentetan demi rentetan kejayaan Han Xin memimpin pasukan tentera Han dalam konflik antara Chu dan Han, maka Han Xin menuntut kepada Liu Bang, pemimpin pasukan utama Han ketika itu untuk mendapatkan kuasa autonomi ke atas pasukan tenteranya.

Namun, Liu Bang tidak bersetuju membuatkan Han Xin mengambil keputusan untuk menahan askarnya manakala Liu Bang yang terlalu besar kepala dengan rentetan kemenangan Han terus menyerang Xiang Yu secara berdepan. Namun, serangan itu berakhir dengan kegagalan yang paling dasyat buat Han, dan mujurlah munculnya Zhang Liang yang sempat menyelamatkan keadaan membuatkan pasukan Han terselamat.

Lalu, untuk memastikan nemesis utamanya tersungkur, maka Liu Bang menawarkan kepada Han Xin sebuah negeri untuk Han Xin sekiranya Liu Bang mampu menyatukan seluruh China dan Han Xin akan diberi kuasa penuh memerintah negeri itu. Tetapi mestilah dengan syarat iaitu menewaskan Xiang Yu dalam peperangan. Maka disinilah Pertempuran Gaixia sebagai saksi terakhir tumpasnya Xiang Yu pada orang yang pernah diperlekehkan bakatnya suatu masa dahulu, Han Xin.

Dalam peperangan ini, Han Xin merancang untuk menyerang bala askar Xiang Yu yang berjumlah 200 ribu dengan bala askar sebanyak 800 ribu orangnya yang dipecahkan menjadi kecilan-kecilan tertentu demi melancarkan serangannya ini. Di samping itu Han Xin memastikan bahawa perangkap-perangkap akan dipasangkan di medan pertempuran.

Maka Han Xin sendiri mempimpin askarnya bertempur secara berdepan dengan Xiang Yu sebelum Han Xin sendiri memerintahkan tenteranya berundur melalui jalan-jalan tertentu di mana askar Han dan perangkapnya menanti askar-askar Xiang Yu. Menyedari bahawa dia tidak akan menang kerana sengan mengejut Han Xin itu, maka Xiang Yu memerintahkan askarnya kembali ke kota.

Menyedari akan usaha Xiang Yu akan menggagalkan usahanya untuk menamatkan perang antara Chu-Han, dan mengakhiri hayat Xiang Yu, maka Han Xin mengerahkan lagi serangan demi serangan yang disasarkan untuk mengarahkan Xiang Yu ketika itu memasuki ke sebuah kawasan lembah demi memastikan bahawa tiada jalan keluar lagi untuk Xiang Yu dan askar-askarnya demi lebih banyak serangan mengejut dan perangkap yang menunggu masa untuk membaham Xiang Yu.

Taktik ini dipanggil dalam sejarah China sebagai “Ambush from Ten Sides” (十面埋伏). Formasi yang dibentuk oleh Xiang Yu pada akhirnya terpecah dan morale askar Chu jatuh menjunam. Ketika tiada lagi jalan keluar apabila terperangkap di tengah-tengah lembah, Han Xin pula mengarahkan untuk askar-askarnya memainkan lagu yang berkaitan dengan negeri asal askar-askar Xiang Yu iaitu Chu.

Apa lagi, ketika itu masing-masing mula mengenangkan kampung halaman. Terbayar di tirai minda wajah si ayah, ibu, isteri dan anak-anak. Lalu ketika itu, direkodkan bahawa setiap askar Chu yang masih tinggal merayu-rayu pada Xiang Yu untuk menyerah kalah dan kembali ke rumah masing-masing dan melupakan perang itu. Antara orang yang merayu itu adalah isteri Xiang Yu sendiri yang simpati dengan keadaan askar-askarnya. Taktikal Han Xin itu dikenali dalam sejarah dunia sebagai “Chu Song from Four Sides” (四面楚歌).

Dengan hati yang berat, Xiang Yu terpaksa bersetuju. Semua askar Chu ketika itu terus menyerah kalah pada Han dan melarikan diri dari medan perang. Dicatatkan dalam 200 ribu balas askar yang dibawa Xiang Yu, hanya 800 orang sahaja yang bertaat setia pada Xiang Yu untuk sehidup semati dengan Xiang Yu. Pada malam itu juga, isteri Xiang Yu membunuh diri kerana berangapan bahawa dirinya adalah punca utama kepada kejatuhan Chu. Ini juga membuatkan semangat Xiang Yu terus jatuh.

Namun, jumlah askar yang berjumlah 800 itu sebenarnya memberi kelebihan pada Xiang Yu untuk melarikan diri. Kalau tadi jumlah ratusan ribu menyebabkan penggerakan mereka terhad, tetapi untuk 800 orang, ianya adalah satu rahmat sebenarnya. Pengerakan mereka sukar dijejak dalam lembah itu dan akhirnya, Xiang Yu berjaya melarikan diri.

Sambil itu, Han Xin terkejut menyedari bahawa Xiang Yu telah melarikan diri dengan bantuan 800 orang askar yang setia padanya. Mendengarkan akan perkara itu, maka Liu Bang mengarahkan 5000 tentera berkuda elit mengejar Xiang Yu. Namun Xiang Yu menghadapi masalah lain. Dia pula tersesat dalam wilayah Han. Apabila ditanya kepada penduduk kampung yang berdekatan, mereka semua menunjukkan arah yang salah menyebabkan akhirnya Xiang Yu sampai ke sebuah paya. Terperangkap di paya menyebabkan masa yang ada terbazir sahaja. Perkara ini terjadi adalah kerana kesetiaan mereka pada Liu Bang yang merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan baik.

Dipendekkan cerita, tentera berkuda elit tadi berjaya mengejar Xiang Yu sehingga sampai ke Sungai We. Di sana, Xiang Yu bersama dengan 26 orang tentera yang masih setia dengannya bertempur sehingga ke titisan darah terakhir melawan 5000 orang askar elit tadi. Ramai askar yang dihantar Liu Bang terbunuh, sehingga tinggal Xiang Yu seorang sebelum Xiang Yu membunuh dirinya dengan mengelar lehernya sendiri.

Pengakhiran Sadis Han Xin

Siapa tahu, jantung utama pasukan Han yang menyebabkan Dinasti Han ini berdiri dan wujud sebenarnya telah mengusahakan pemberontakannya tersendiri. Namun, isteri Liu Bang, Maharani Lü Zhi yang merupakan master mind di sebalik kebangkitan Liu Bang menjadi pemimpin dapat menghidu pelan Han Xin.

Bersama dengan Xiao He yang merupakan orang yang mengangkat Han Xin menjadi jeneral perang kanan Han, Han Xin berjaya ditangkap lalu dihukum mati bersama dengan isteri, anak-anaknya, ibunya serta semua saudara–maranya oleh Lu Zhi sendiri. Ironinya, orang yang memberi ‘kehidupan’ kepada Han Xin sehingga menempa nama dalam sejarah, rupanya orang yang telah memberikan ‘kematian’ kepada Han Xin.

Ini membuatkan sebuah pepatah dalam bahasa Cina wujud menggambarkan peristiwa itu.

“Kegagalan dan kejayaan kerana Xiao He.”


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply