Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, budaya pemakaian tanjak yang pernah dipraktikkan oleh masyarakat Melayu tradisional kembali dipopularkan oleh golongan muda era ini.

Kita boleh saksikan di media sosial, setiap kali raya menjelang pasti penuh gambar sahabat-sahabat kita yang menggayakan tanjak bersama keluarga di kepala mereka. Bahkan, pada majlis-majlis tertentu juga dilihat sudah ramai yang tidak janggal untuk memakai tanjak di khalayak ramai.

Semestinya, perkara ini merupakan suatu kebanggaan bagi kita terutamanya orang Melayu kerana inilah warisan budaya yang telah ditinggalkan oleh nenek moyang kita, untuk dipersembahkan kepada golongan muda pada masa akan datang. Apatah lagi, tanjak pernah dianggap lambang maruah bagi orang Melayu. Begitulah tingginya nilai sebuah tanjak yang kita sayangi.

Sebelum cerita ini dilanjutkan dengan lebih panjang, eloklah kita mengetahui terlebih dahulu tentang perbezaan di antara destar, tengkolok dan tanjak. Kerana tiga nama ini sering membuatkan masyarakat awam berasa keliru untuk membezakannya.

Sebenarnya, tak banyak bezanya walaupun ada sedikit bezanya. Hah, dah mula pening?

Baik.

Destar, merupakan sejenis perhiasan khas yang digunakan untuk menutup bahagian kepala. Tetapi jangan salah faham dengan peralatan kepala, kerana peralatan kepala tidak termasuk dalam bahagian destar. Contoh peralatan kepala itu seperti topi keledar, topi keselamatan atau topi perang.

Tahukah anda? Perkataan destar juga boleh digunakan untuk merujuk jenis hiasan kepala bangsa lain di dunia kerana hiasan kepala itu sendiri membawa maksud yang begitu umum.

Jadi, antara contoh destar yang terkenal dalam budaya orang Melayu itu ialah tengkolok, tanjak, getam, semutar dan sebagainya.

Kita boleh katakan bahawa tengkolok itu destar, tanjak itu destar, getam itu destar, semutar itu destar. Tapi tak semestinya

Tengkolok pula, ialah hiasan kepala yang menggunakan bahan dari kain. Tujuannya dipakai sebagai perhiasan kepala, menjaga rambut atau melindungi dari panas. Tengkolok boleh dipakai oleh orang lelaki dan perempuan.

Semua jenis kain yang diikat di atas kepala boleh dikatakan sebagai tengkolok atau imamah dan termasuk dalam bahagian destar. Tengkolok juga boleh dikatakan sebagai tanjak, tetapi, tanjak itu tak semestinya ialah tengkolok. Kenapa?

Tengkolok itu boleh jadi tanjak.

Tapi tanjak tak semestinya tengkolok.

Ini sebabnya.

Tanjak, juga bermaksud hiasan kepala yang menggunakan bahan daripada kain. Apa yang membezakannya dengan tengkolok ialah, tanjak wajib mempunyai simpul, tapak, bengkung dan karangan atau solekan. Penggunaan tanjak ini hanya boleh dipakai oleh orang lelaki sahaja.

Atas sebab ciri-ciri inilah, tanjak itu tak semestinya tengkolok. Kerana tengkolok tidak mempunyai ciri-ciri atau syarat seperti yang dinyatakan tadi. Di mana rekaan tengkolok itu sendiri lebih bebas dan tidak terikat dengan peraturan pembuatan rekaan tanjak.

Harap penjelasan ringkas itu sudah cukup untuk buat kita faham tentang makna di antara ketiga-tiga istilah tersebut.

Sekarang, berbalik kepada tajuk artikel ini.

Sisi gelap fenomena pemakaian tanjak di Malaysia.

Kenapa pakai tanjak pun ada sisi gelap? Sedangkan, tadi kata tanjak itu merupakan budaya warisan kebanggaan Melayu? Mereka yang memakai tanjak sudah tentu-tentu berbangga dengan darah Melayu yang mengalir dalam tubuh mereka. Jadi, apa yang salahnya?

Hmm.

Pakai tanjak itu tak salah.

Tapi…

Ada beberapa perkara yang perlu kita tahu tentang fenomena tanjak ni, bahawa ada satu dua benda yang buat benda ini jadi salah.

Pertama, tanjak itu budaya warisan orang Melayu.

Bila dikatakan sebagai WARISAN, bermaksud benda itu kita warisi secara turun temurun dari zaman dahulu. Ilmu yang diperturunkan dari seorang guru kepada anak murid. Ibu bapa ke anak, orang dulu ke orang sekarang. WARISAN ini juga yang membuatkan kita jaga dia, bagi memastikan bentuknya yang asli tidak berubah. Dari situ dah nampak betapa pentingnya ilmu berkaitan WARISAN ini.

Apa yang jadi isunya sekarang ni, betapa ramai manusia yang pakai tanjak. Tapi mereka tak sedar bahawa tanjak yang mereka pakai sebenarnya bukanlah tanjak WARISAN. Bukan salah mereka, kerana pemakaian tanjak ini jarang diketahui secara meluas. Bagi masyarakat awam, tanjak itu ialah tanjak. Bila pakai, jadilah orang Melayu yang hebat. Sekali lagi, mereka tak salah.

Apa yang berlaku merupakan usaha beberapa individu yang ‘mencemarkan’ nama tanjak WARISAN.

Mereka mengarang tanjak tanpa berguru, meniru bentuk tanjak berpandukan gambar tanpa berguru. Ada juga jenis yang mengadap Tok Guru, belajar satu persatu cara pembuatan tanjak WARISAN. Tapi bila mereka pulang, mereka gubah tanjak WARISAN itu menjadi bentuk mereka sendiri. Sepatutnya tanjak ini, ciri-cirinya begini. Tapi dia ubah, habis hilang semua ciri-ciri keasliannya.

Inilah yang kita namakan sebagai tanjak rekaan baharu.

Boleh ke nak pakai?

Boleh. Nak pakai, silakan.

Tapi jangan sesekali namakan tanjak rekaan baharu sebagai tanjak WARISAN.

Tanjak rekaan baharu direka tanpa mengikut syarat dan tidak layak dipanggil tradisional atau WARISAN MELAYU.

Bunyinya agak kasar dan mungkin menyakitkan hati. Tapi itu hakikat yang terpaksa kita telan.

Isu tanjak baharu yang tiba-tiba sahaja wujud di dunia ni, mungkin kebanyakan penggiat tanjak WARISAN masih boleh diamkan lagi. Tapi, isu yang sebenar berlaku apabila individu ini menghasilkan pula jenis tanjak SESAT. Mereka mencipta rekaan tanjak sendiri dan namakan tanjak itu dengan nama tanjak WARISAN.

Bentuknya amat ketara berlainan, tetapi mereka tergamak menggunakan nama tanjak yang sebenar! Itulah kata, kalau mahu mencipta tanjak sendiri pun, tak usahlah gunakan nama tanjak WARISAN, atau meletakkan nama tanjak asli kepada tanjak sesat itu.

Fenomena bertanjak ini, sejujurnya telah melahirkan manusia yang begitu berkeras mengaut keuntungan. Tangan mereka mengarang tanjak tanpa berpandukan kepada ciri-ciri atau syarat keaslian.

Sekadar puas di mata, cukup sekadar nampak cantik, mereka pun menjual dengan harga yang murah. Terus jualannya menjadi laris. Berapa ramai yang menyangka mereka mengenakan tanjak tradisional, walhal sebenarnya tanjak itu tidak layak pun dinamakan sebagai tanjak tradisional.

Sekali lagi, kenyataan pahit yang terpaksa kita telan.

Antara sikap tidak bertanggungjawab penjual tanjak pula adalah tidak mengajar kepada pembeli bagaimana cara memakai tanjak yang betul. Sungguh, apabila melihat ramainya manusia yang memakai tanjak. Kita sudah tahu, cara mereka pakai itu tidak betul.

Sejujurnya, setiap orang apabila memakai tanjak buat kali pertama. Pasti mereka akan memakainya dengan cara, simpulan berada di belakang kepala. Walhal, kebanyakan tanjak itu, simpulannya perlu berada di antara telinga kanan. Hanya beberapa jenis tanjak sahaja yang memerlukan penggunanya meletakkan simpul di belakang kepala atau di sebelah kiri telinga.

Tetapi kita tahu, tanjak jenis itu, contoh Mahkota Alam, Nahkoda Trong, Anderiguru Selebu. Di mana kedudukan simpulan itu wajib berada. Orang awam memang tidak akan tahu tentang hal ini, tapi tanggungjawab cara pemakaian tanjak yang betul ini sering kali dilupakan oleh peniaga tanjak.

DESTAR, TENGKOLOK dan TANJAK BUKAN SUNNAH?

Sekiranya kita mengingati dan mendalami kembali makna di antara tiga istilah ini, pasti kita tak akan tergamak untuk mengatakan sedemikian. Andai kita berjumpa orang yang mengatakan hal seperti ini, tugas pertama kita adalah menjelaskan secara berilmu kepadanya. Tetapi jika kita sudah berusaha menyampaikan ilmu itu, dia  masih enggan untuk menerima. Maka tinggalkanlah Si Jahil yang sombong itu.

Bagi mereka, sunnah yang sebenar adalah serban. Hanya serban yang dipakai oleh Rasulullah. Satu hal yang mereka lupa, Rasulullah itu sebenarnya memakai penutup kepala. Bukankah destar, tengkolok dan tanjak itu bermaksud hiasan kepala, yang menutupi bahagian kepala? Bukankah sudah dikatakan tadi, bahawa destar ini tidak tertakluk kepada bangsa Melayu sahaja tetapi merangkumi semua bangsa di dunia. Semua perhiasan kepala itu, dinamakan sebagai destar bukan?

Tadi, maksud tengkolok apa? Sejenis kain yang dililit atau diikat di atas kepala bukan? Bukankah serban juga sama? Sejenis hiasan kepala yang dililit di atas kepala? Maka serban juga termasuk dalam kategori destar! Kalau dalam alam Melayu, definisi serban lebih dikenali dengan nama semutar.

Tapi, mereka yang jumud pemikiran ini terus menolak destar, tengkolok dan tanjak dengan alasan perhiasan kepala ini bukan sunnah. Sunnah itu hanya serban. Mereka menjadikan agama itu terlihat sempit dan menolak semua budaya selain budaya Arab. Sedangkan ISLAM itu datang untuk menghapuskan kejahilan, bukannya budaya!

RASULULLAH memakai penutup kepala, dan penutup kepala itu dinamakan serban mengikut tradisi budaya orang Arab. Bagi orang Melayu, penutup kepalanya pula lebih kita kenali dengan apa yang kita ada hari ini. Seperti tanjak, getam, songkok, tengkolok.

Perjuangan Islam tidak memaksa manusia berjubah dan berserban, atau menuruti segala adat budaya orang-orang Arab. Selagi mana perkara itu tidak mengundang kepada kesyirikan, kezaliman atau kemungkaran maka ia tidak pernah ditentang oleh Islam.

Menurut Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin berkata, “Nabi Sallallahu a’laihi wasallam dahulu memakai imamah dalam rangka mengikuti adat pakaian yang dikenakan masyarakat setempat pada waktu itu. Oleh kerana itu, tidak ada satu huruf pun dari hadis yang memerintahkannya. Maka memakai imamah termasuk perkara adat kebiasaan yang biasa dilakukan masyarakat. Seseorang memakainya dalam rangka supaya tidak keluar dari kebiasaan masyarakat setempat, sehingga kalau memakai selain imamah, pakaiannya malah menjadi pakaian syurah. Jika orang-orang setempat tidak biasa menggunakan imamah maka jangan memakainya.”

Sunnah bagi kita adalah menutup sebahagian kepala, dan termasuk itu ialah memakai destar, tengkolok, tanjak kerana sifat menutup kepala itu telah dipenuhi.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jauhkan dari kebanyakan buruk sangka. Sesungguhnya sebahagiannya adalah dosa.” Surah al-Hujurat ayat 12.

Sebenarnya, tradisi menutup kepala dengan kain perhiasan ini tidak terdapat dalam kalangan bangsa Arab dan Melayu sahaja. Masih ramai lagi bangsa lain di dunia yang telah memulai tradisi mengenakan perhiasan kepala. Sebagai contoh, tarbus yang dipakai oleh orang Turki. Begitu juga dengan kippa yang dipakai oleh orang Yahudi.

Oh, tahukah anda bentuk kippa itu bagaimana? Sama seperti kopiah atau ketayap yang kita kenal di negara ini! Hanya saiznya sahaja yang lebih kecil. Ada juga Ayam (penutup kepala) yang dipakai di Korea pada era Joseon. Bandana yang dipakai oleh budaya Yahudi, Kristian dan juga sebahagian Muslim. Chaperon yang dipakai oleh orang Eropah pada Zaman Pertengahan. Bentuk Chaperon ini pula menyerupai tradisi lilitan tengkolok di alam Melayu.

Beruntungnya kita kerana tradisi destar yang dimiliki oleh bangsa kita ialah tanjak. Tetapi malangnya, kebanggaan itu tidak dikongsi oleh semua yang berdarah Melayu. Ada sebahagian yang sanggup memperlekeh dan menghina pemakaian tanjak. Maksud bagi tanjak adalah ‘Tanah yang dipijak’.

Apabila seseorang memakai tanjak itu bermaksud dia mengakui tanah yang dipijak ini asal usul orang Melayu. Perkara penting ini perlu kita ingat, jangan pernah menghina tanjak kerana itu umpama menghina pemakai yang mengaku tanah Melayu ini adalah asal usul orang Melayu.

Antara sebab WARISAN Melayu pupus adalah kerana tidak diberi terlalu banyak perhatian. Begitu juga disebabkan oleh mereka yang giat mencari keuntungan melalui perniagaan sehingga mencemarkan nilai keaslian dalam sesuatu peninggalan WARISAN. Apabila kita tidak mengenal jati diri, semakin susahlah hendak mencari asal usul. Akibatnya, Melayu itu sendiri yang sanggup mengkhianati bangsa dan negaranya sendiri.

Kesimpulan daripada semua perenggan ini:

  • Pakailah destar, tengkolok atau tanjak kerana itu merupakan kebanggaan kita, bahkan patuh kepada syariah yang bercirikan sunnah Rasulullah.
  • Wahai peniaga tanjak, sila ajar pembeli bagaimana cara memakai tanjak yang betul.
  • Wahai pengarang tanjak, jangan kamu tipu masyarakat dengan tanjak tipu. Kamu kata ini tanjak Nahkoda Trong, tapi bentuknya langsung tidak sama dengan tanjak Nahkoda Trong. Sama juga dengan nama-nama tanjak yang lain. Kamu mahu cipta tanjak rekaan baharu, sila berikan nama yang lain. Jangan tipu dengan meletakkan nama tanjak WARISAN.
  • Boleh pakai tanjak rekaan baharu, tapi jangan katakan itu tanjak WARISAN atau tanjak tradisional.
  • Kamu tak mahu pakai tanjak, jangan pernah menghina. Lebih baik diam. Belajarlah untuk menghormati.
  • Tanjak bukanlah menunjukkan seseorang itu pandai bersilat, tetapi menunjukkan bangsa dan identiti Melayu itu sendiri.
  • Setiap pembuatan tanjak WARISAN mempunyai wasilah ilmu. Belajarlah dengan guru yang betul mewarisi ilmu pembuatan tanjak WARISAN.
  • Kerana itulah sukar kita menemui video tutorial pembuatan tanjak di Youtube, kerana demi mengelakkan masyarakat awam meniru tanjak tanpa berguru.

Bagaimana hendak tahu bahawa tanjak itu merupakan tanjak WARISAN atau tanjak rekaan baharu?

Kamu lihat sepuluh tanjak yang dikarang oleh sepuluh orang yang berbeza. Jika kesemua tanjak itu mempunyai ciri-ciri yang sama, maka itulah tanjak WARISAN yang benar. Kerana pengarang tanjak, begitu patuh pada disiplin adat pembuatannya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang guru yang mengajar Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Jasmani. Gemar melakukan aktiviti memanah di masa lapang. Minat terhadap bidang penulisan sehingga berjaya menerbitkan beberapa buah novel thriller bersama Karangkraf. Menjalankan khidmat bekam pada masa lapang. Bercita-cita untuk menjadi guru silat.

Comments are closed.