Ramadan di Mesir disambut dengan sangat bermakna. Mereka berbahagia kerana apa yang datang bersama Ramadan. Bukan sekadar berpuasa, Ramadan merangkumi rahmat, keampunan, penggandaan ganjaran, dan segala kebaikan. Jiwa mereka tidak terganggu dengan bazaar Ramadan, makanan-makanan yang rare, atau apa saja turutan nafsu. Sebab semua itu tiada di sini.
Hati mereka lebih terhanyut untuk membesarkan erti dan hakikat sebab Ramadan itu dihadiahkan kepada mereka. Bukan nak kata umat Islam di Tanah Melayu yang ada semua itu telah mengeluarkan Ramadan dari landasan asalnya, tapi kita perlu akui bahawa sesuatu perkara yang dilaksanakn itu akan lebih dihayati andai tiada perkara lain yang mengganggunya.
Lampu Ramadan
Antara suasana pada bulan Ramadan di Mesir ialah banyaknya lampu-lampu kecil yang bergantungan di tiang-tiang lampu jalan raya, rumah-rumah dan tempat awam akan terlihat. Ia disebut sebagai “Faanoos Ramadan” , lampu-lampu ini sangat cantik kelihatan menghiasi malam-malam Ramadan di Mesir.
Dikatakan adat ini bermula sejak kerajaan Fatimiyyah lagi ketika mana khalifah Al-mu’eez Lideenillah datang ke Kaherah, mereka meraikannya dengan lampu ini.
Dikatakan juga tradisi ini dimulakan oleh kanak-kanak mereka setiap kali tibanya Ramadan, maka mereka akan menggantung lampu dengan kayu atau ranting dan berlari-lari riang ke sana-sini. Lama-kelamaan, ia berubah menjadi tradisi masyarakat di seluruh negara Arab ketika menyambut Ramadan dan masih berkekalan sehingga ke hari ini.
Murah hati yang berganda
Antara adat yang ada di Mesir pada bulan ini ialah banyak masjid akan menjamu orang awam dengan makanan. Disebut sebagai “maa’idatur rahmaan”, hidangan ini biasanya terdiri daripada nasi, daging, kuah dal, “aisyh” (roti Arab) dan sayuran yang disebut sebagai “salathah” (campuran tomato, timun dan daun sup). Mereka seronok memberikan layanan kepada sesiapa sahaja yang solat di masjid untuk dijamu dengan hidangan ini. Banyak juga kelihatan makanan ini diagihkan di jalanan dan dalam pengangkutan awam seperti bas atau tremco (van kecil).
Rata-rata pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir akan pernah merasakan pengalaman ini. Lebih-lebih lagi mereka yang pertama kali menyambut Ramadan di Mesir, rasanya setiap hari akan ke ma’idah, al-maklum makanan free siapa tak nak.
Masjid diimarah dengan istiqamah
Di sini, seluruh masjid dan halaqah ilmu akan dipenuhi jemaah boleh dikatakan sepanjang bulan. Mereka tidak hanya berkobar-kobar pada awalan sahaja, bahkan sepuluh malam terakhir itulah akan terlihat mereka mengerah upaya untuk mengimarahkan malam-malam terakhir bulan Ramadan.
Untuk pengetahuan, waktu Subuh di Mesir pada bulan Ramadan akan teranjak lebih awal sekitar jam tiga setengah pagi. Jadi ramai juga yang memilih untuk tidak tidur dan terus berjaga menghidupkan malam-malam mereka di masjid sehingga masuk waktu Subuh.
Kepala batu boleh bersatu
Sedia maklum masyarakat di negara-negara Arab, mereka dikenali dengan perwatakan yang kasar, keras kepala, panas baran dan suka berpuak. Tidaklah hamba pukul rata kesemuanya begitu, yang lembut dan sopan pun tak kurang banyaknya.
Yang penting untuk diketahui adalah semua sifat negatif ini seakan memudar bila tibanya Ramadan. Mereka akan mendoakan sesiapa saja yang mereka temui dengan kebaikan, hatta orang yang tidak mereka kenali.
Drama saling berpelukan ketika berjumpa saudara-mara atau sahabat handai akan banyak terlihat di sana sini, sehingga hamba yang melihat turut terkesan dengan kasih sayang yang dizahirkan sesama mereka. Sungguhlah Ramadan itu rahmat yang menyatukan.
Demikianlah antara kelainan Ramadan yang dirasakan berbeza dengan Tanah Melayu, adapun hal-hal yang lain daripada itu sepertinya tidaklah dirasakan mempunyai perbezaan yang ketara dengan masyarakat Melayu kita. Walaubagaimanapun cara kita menyambut Ramadan, yang paling penting sekali ialah kita berusaha mengejar tujuan syariat puasa dan Ramadan itu sendiri, iaitu supaya menjadi hamba yang bertaqwa. Semoga diterima Allah Azza Wa Jalla segala penghambaan seluruh umat Islam.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih