‘Malo nodo, malus quærendus cuneus’ (Desperate times calls for desperate measures)
Bila orang sudah terdesak, orang akan melakukan apa saja untuk memenuhi keperluan mereka. Dan ini kelihatan jelas bila negara-negara dunia bergelut menangani pandemik Covid-19. Dan perkara itu terpakai dalam soal mendapatkan bekalan PPE dan topeng muka.
Amerika Syarikat dituduh terbabit dalam aktiviti pelanunan moden selepas dituduh sengaja mengalihkan ribuan topeng muka dan PPE yang diperlukan negara lain bagi mengukuhkan lagi usahanya melawan Covid-19. Perkara ini nyata mengundang kemarahan sekutu trans-Atlantik mereka seperti Perancis dan Jerman.
Menteri Dalam Negeri bagi negeri Berlin, Andreas Geisel menggelar tindakan terbaru negara Uncle Sam yang mengalihkan penghantaran 200,000 topeng muka yang ditempah untuk polis Berlin semasa singgah di Thailand sebagai lanun moden.
Geisel berkata, “Ini bukan cara melayan rakan-rakan kongsi trans-Atlantik. Walaupun dalam situasi krisis global, ia tidak sepatutnya tidak membawa kepada situasi kacau-bilau dunia koboi.” Apabila perkara ini timbul, firma pengeluar topeng 3M menafikan perkara tersebut.
Tetapi berita sebegini menambah kepada rungutan negara-negara anggota NATO dan EU yang berang dengan AS yang mempergunakan kekuatan kewangannya dan Akta Pengeluaran Pertahanan untuk mengatasi mereka dalam mendapatkan PPE dan topeng muka.
Selain merampas topeng muka dan PPE semasa dalam perjalanan, negara-negara NATO dan EU juga berang dengan tindakan sesetengah broker dan pelobi yang menawarkan harga lebih tinggi untuk mendapatkan bekalan mereka. Justeru, seorang pegawai menyifatkan perkara ini seperti pencarian harta karun.
Sementara itu, 3M yang juga pengeluar topeng N95 mendedahkan pada hari Jumaat Presiden Donald Trump meminta mereka menghasilkan lebih banyak topeng tetapi pada masa sama mengehadkan eksport topeng N95 ke Kanada dan Amerika Latin.
3M memberi amaran sekiranya mereka berbuat demikian, ia akan mencetuskan krisis kemanusiaan yang teruk dan mengundang tindakan balas dari negara-negara lain yang terkesan dengan tindakan mementingkan diri Washington itu.
Salah satu negara yang memberi maklum balas keras ialah Kanada menerusi Perdana Menteri Justin Trudeau. Trudeau mengingatkan Washington bahawa mereka juga mengimport peralatan perubatan dari Kanada dan ramai jururawat negara itu berkhidmat di negeri-negeri AS yang terjejas termasuk di Detroit, Michigan.
Bagaimanapun, Kanada tidaklah mengugut menarik balik semua jururawat Kanada yang dihantar ke AS. Sebaliknya, Trudeau menegaskan akan melipatgandakan usaha menghasilkan PPE dan topeng muka domestik sekaligus memberi petunjuk Kanada tidak mahu lagi bergantung kepada ihsan AS dalam hal ini.
Tatkala Washington dikecam kerana memainkan peranan lanun moden, negeri-negeri AS pula berlumba-lumba mendapatkan akses kepada PPE dan topeng. Kadang-kadang, negeri-negeri ini turut dibantu oleh broker dan tokoh berpengaruh yang membolehkan mereka mendapat bekalan jauh lebih awal daripada orang lain.
Misalnya, jutawan Robert Kraft meminjamkan sebuah pesawat Boeing 767 kepada Gabenor Massachusetts Charlie Baker yang cuba mengangkut 1.2 juta topeng yang dibeli di China kembali ke negeri itu. Kraft yang juga pemilik pasukan NFL, New England Patriots mengatur pengangkutan topeng sambil dibantu konsul jeneral China di New York, Huang Ping.
Ping memastikan pejabat konsul dibuka pada hujung minggu untuk memproses semua dokumen diperlukan. Pesawat Kraft dibenarkan berada di Shenzhen dengan syarat krew pesawat tidak turun dan tidak berada di situ selama tiga jam. Pesawat tersebut berlepas semula kurang tiga minit daripada tempoh akhir.
Apabila bekalan tersebut tiba di Massachusetts, Baker yang beremosi menyifatkan ketibaan topeng ini memberi impak besar terhadap negeri berkenaan dalam melawan Covid-19.
Selain itu, negeri-negeri AS juga kadang-kadang bersaing dengan kerajaan persekutuan untuk mendapatkan PPE dan topeng. Bak kata Gabenor New York Andrew Cuomo menyamakan situasi itu seperti berada dalam eBay bersaing dengan 50 negeri lain.
Dan mereka juga tidak boleh bergantung kepada rangkaian bekalan kebangsaan terutamanya selepas Presiden Donald Trump mengeluarkan kenyataan sebarang bentuk bantuan akan dinilai mengikut kecenderungan politik negeri masing-masing. Perkara ini menimbulkan konflik lebih-lebih lagi sekiranya ia ditadbir oleh gabenor parti Trump, Republikan.
Semasa berhubung dengan Trump, Baker meluahkan kekecewaannya setiap kali membuat bidaan mendapatkan bekalan PPE, semua bidaan mereka akan ditolak kerana para penjual lebih cenderung menjual kepada kerajaan persekutuan. Selepas itu, Trump mengumumkan akan cuba menggugurkan bidaan sekiranya berlaku konflik.
Melihat kepada angka kes 245,000 positif Covid-19 dan 6,000 kematian, tidak hairanlah mengapa topeng muka dan PPE amat diperlukan oleh AS terutama bagi kakitangan perubatan di barisan hadapan.
Tetapi semua ini tidak akan berlaku sekiranya AS mengambil serius ancaman Covid-19 dan menghentikan amalan politik partisan. Malangnya, selepas kes mencecah angka sebegitu rupa, barulah Washington dan negeri-negerinya sedia berbuat demikian tetapi nasi sudah jadi bubur.
RUJUKAN:
Borger, Julian et. (2020). US accused of ‘modern piracy’ after diversion of masks meant for Europe. The Guardian. https://www.theguardian.com/world/2020/apr/03/mask-wars-coronavirus-outbidding-demand
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih