Dinasti Ming ditubuhkan pada tahun 1368M oleh Zhu Yuanzhang (Maharaja Hongwu) berikutan penggulingan Dinasti Yuan-Monggol. Sehingga tahun kejatuhannya pada 1644 Masihi, Dinasti Ming diperintah oleh seramai 16 orang maharaja. Makam 13 orang maharaja Ming ini terletak di sebuah tempat yang tidak jauh dari ibu kota China, Beijing. Ia dikenali secara kolektif sebagai Tiga Belas Makam Dinasti Ming.

TIGA ORANG MAHARAJA MING YANG TIDAK DISEMADIKAN DI SINI

Tiga orang maharaja Ming yang tidak disemadikan di kawasan ini adalah Maharaja Hongwu (disemadikan berhampiran ibu kotanya, Nanjing), penggantinya, Maharaja Jianwen (hilang dari sejarah selepas digulingkan oleh bapa saudaranya), dan maharaja ketujuh, Jingtai (tidak disemadikan secara diraja oleh penggantinya, Maharaja Zhengtong).

LOKASI TIGA BELAS MAKAM

Tiga Belas Makam Dinasti Ming ini terletak di kaki Gunung Tianshu di Daerah Changping, sebuah kawasan pinggir bandar yang berjarak 50km (31.1 batu) darh arah barat laut bandar Beijing. Pembinaan makam pertama Ming di kawasan ini dimulakan pada tahun 1409M oleh maharaja ketiga Ming, iaitu Maharaja Yongle. Tapak ini dipilih berdasarkan prinsip feng shui (tuah sesebuah tempat).

Menurut prinsip ini, semangat-semangat jahat dan tiupan-tiupan angin yang buruk dipercayai turun dari Utara dan ia perlu dipesongkan haluannya. Justeru, kawasan berbentuk lengkuk di kaki Gunung Tianshu dipilih.

Tapak ini meliputi kawasan seluas 40km persegi (24.9 batu persegi). Di kawasan ini terdapat sebuah lembah yang sepi dan air tenang mengalir dari kawasan gunung, justeru menjadikannya sebuah tempat yang ideal bagi memakamkan maharaja-maharaja Ming.

Selain memenuhi feng shui dan mempunyai pemandangan yang indah, tapak ini juga dikatakan strategik dari sudut ketenteraan. Hal ini kerana kawasan pergunungan boleh berfungsi sebagai pertahanan semula jadi.

Gunung Tianshu yang berdiri megah di belakang Tiga Belas Makam Dinasti Ming


JALAN SUCI YANG MEMBAWA KEPADA MAKAM

Di zaman Dinasti Ming, kompleks ini tidak boleh dimasuki oleh orang awam. Namun pada tahun 1644 Masihi, tentera pemberontak Li Zicheng menjarah dan membakar kebanyakan makam ini sebelum melanjutkan kemaraan ke Beijing.

Pada hari ini, kompleks ini boleh dikunjungi oleh orang awam. Makam-makamnya boleh diakses melalui Jalan Suci, sebuah jalan sepanjang 7km (4.3 batu). Jalan Suci dipercayai menjadi simbolisme kesucian maharaja-maharaja Ming dan autoriti mereka walau sesudah mangkat.

Di permulaan jalan ini terdapat sebuah batu peringatan berbentuk lengkuk yang dibina pada tahun 1540. Mercu tanda ini disusuli oleh jalan yang diapit oleh 36 buah patung batu. 24 daripadanya mewakili haiwan seperti singa, gajah dan unta manakala baki 12 yang lain mewakili manusia, merangkumi panglima dan pegawai pentadbiran. Patung-patung ini dipercayai akan menyertai upacara-upacara kerajaan yang dilangsungkan, selain dianggap sebagai laluan buat roh-roh orang yang telah mati.

Salah sebuah dari tiga buah patung manusia yang berbaris di Jalan Suci, Changping, China


Dari keseluruhan 13 buah makam yang terdapat di lembah ini, hanya tiga buah sahaja yang dibuka untuk kunjungan awam. Makam-makam tersebut adalah makam maharaja ketiga Ming, Yongle (Makam Changling), maharaja ke-13, Wanli (Makam Dingling) dan maharaja ke-12, Longqing (Makam Zhaoling.

MAKAM CHANGLING YANG PALING TERPERINCI

Makam Changling merupakan makam yang paling besar dari kesemua 13 buah makam Ming. Makam ini sendiri mengambil masa sehingga lima tahun lamanya untuk disiapkan, sambil salah satu strukturnya, iaitu Dewan Nikmat Indah mengambil masa 18 tahun untuk disiapkan. Dewan ini meliputi kawasan seluas 1956 meter persegi (6417.3 kaki persegi), yang mana saiznya ini hampir sama dengan Dewan Keharmonian Agung di Kota Larangan Beijing.

Namun dari sudut seni bina, Dewan Nikmat Indah dikatakan jauh melangkaui dewan di Kota Larangan, terutama lantaran tiang-tiang serinya diperbuat daripada kayu cedar China yang dipercayai didatangkan dari Nepal.

Walaupun makam ini belum diekskavasi sepenuhnya, penggalian yang telah dilakukan setakat ini membolehkan para pengunjung melihat ruang pengebumiannya. Selain itu, lebih 3000 buah artifak berharga telah berjaya dinaikkan, justeru mengisyaratkan betapa banyaknya harta kekayaan yang disemadikan bersama maharaja itu.

Dewan Nikmat Indah Makam Changling, (1871) Changping, China


MAKAM DINGLING YANG TELAH DISELIDIKI SEPENUHNYA

Tidak seperti Makam Changling, Makam Dingling telah diekskavasi sepenuhnya oleh ahli-ahli arkeologi. Makam ini merupakan yang ketiga paling besar di kompleks tersebut, setelah Makam Changling dan Makam Yongling.

Menurut dokumen-dokumen sejarah, kos pembinaan makam ini mencecah lebih 300 tan perak. Jumlah ini hampir menyamai kutipan cukai pendapatan kerajaan Ming di bawah maharaja Wanli selama dua tahun penuh.

Istana bawah tanah yang terletak kira-kira sedalam 27 meter (88.6 kaki) mempunyai lima buah ruang. Setiap satunya dibina sepenuhnya daripada batu tanpa menggunakan satu pun tiang atau alang.

Ruang yang paling besar dan penting adalah ruang belakang, di mana jasad Maharaja Wanli dan dua orang permaisurinya ditemui. Selain itu, ruang ini turut mengandungi 26 buah kotak kayu yang dibaluti kain merah yang mengandungi kira-kira 3000 buah objek pengebumian berharga.

Salah sebuah batu permata berharga yang ditemui di Makam Dingling. Artifak ini bersaiz kira-kira telapak tangan dewasa dan diperbuat daripada emas, mutiara, batu delima dan batu-batu berharga lain. Muzium Dingling

Makam Zhaolong adalah makam yang paling kecil di kalangan tiga buah makam yang dibuka kepada kunjungan awam. Ciri yang paling utama bagi makam ini adalah keranda-keranda diraja di dalamnya diletakkan di sebuah kawasan unik berbentuk bulan sabit.

MAKAM ZHAOLING YANG LEBIH KECIL

Makam Zhaoling, Changping, China


Walaupun hakikatnya pengunjung tidak boleh mengunjungi dan melihat makam-makam lain, seni bina diraja dan sejarah Tiga Belas Makam Dinasti Ming masing merupakan satu tarikan yang mengujakan dan menggamit jutaan pelancong pada setiap tahun untuk turun menyusuri Jalan Suci dan menyaksikan sendiri kemegahan kompleks permakaman ini.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (10 Oktober 2015). A Final Resting Place Fit for an Emperor: The Thirteen Tombs of the Ming Dynasty. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/final-resting-place-fit-emperor-thirteen-tombs-ming-dynasty-004144


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.