Penyusuan susu ibu merupakan salah satu proses yang dilalui oleh setiap ibu-ibu dan bayi mereka. Setiap ibu inginkan yang terbaik untuk bayi mereka. Penyusuan susu ibu mampu menggalakkan hubungan ibu-anak melalui sentuhan, meningkatkan sistem imuniti dan antibodi si bayi untuk mencegah penyakit, mengecutkan rahim si ibu selain membekalkan nutrisi dan khasiat yang diperlukan oleh si bayi dalam fasa awal pertumbuhan dan perkembangan tubuh badannya.

Berikut merupakan tips-tips, nasihat dan huraian kebaikan penyusuan susu ibu menurut pandangan jururawat. Artikel ini dikarang khas buat para ibu yang bakal memperolehi cahayamata (tak kira lah yang pertama atau berikutnya), para bapa yang sentiasa ghairah dalam memahami cara penjagaan si kecil, para wanita yang mahu meningkatkan kefahaman mengenai penjagaan bayi dari segi penyusuan, para jururawat yang bakal, sedang dan telah menjalani alam pekerjaan (dan pembelajaran) di setiap institusi kesihatan ibu dan anak di Malaysia.

SELESAKAN DIRI IBU

Untuk memulakan penyusuan bayi, pertama sekali si ibu harus mementingkan prinsip mekanik badan. Mekanik badan tu apa? Mekanik badan ini adalah sistem penyelarasan tubuh badan untuk melakukan sesuatu kerja bagi mengelakkan kecederaan pada tubuh badan sendiri. Dalam kata mudah, mekanik badan digunakan untuk elak badan kita daripada terasa cepat lenguh atau mudah sakit.

Pertamanya, si ibu harus duduk bersandar pada kerusi/dinding/penyandar katil dengan beralaskan sesuatu yang lembut seperti bantal atau kain yang tebal. Duduk secara menegak, jangan membongkok atau menunduk. Ini adalah untuk memastikan keadaan tulang belakang (spinal alignment) dalam keadaan yang tegak dan tidak tertekan. Bersandar pada bantal atau objek yang lembut dapat mengurangkan lenguh dan sengal pada belakang badan. Ketika penyusuan dilakukan, jangan sesekali merapatkan badan si ibu kepada bayi. Sebaliknya, amalkan teknik menggerakkan atau mendekatkan bayi kearah badan si ibu. Ini adalah untuk mengelakkan kedudukan ibu terduduk dalam keadaan membongkok akibat daripada cubaan menyampaikan puting kearah mulut bayi.

Jangan sesekali beri penyusuan dalam keadaan berbaring. Walaupun ia sudah menjadi amalan si ibu untuk menyusukan anak ketika sedang baring (contohnya ketika menonton televisyen atau berehat), . Ini dapat mengelakkan aspirasi (kemasukan cecair kedalam paru-paru) dan juga menekan rongga pernafasan (dengan payudara) terhadap si bayi. Terdapat banyak kes bayi didapati lemas atau tersedak ketika sedang diberi penyusuan oleh ibunya yang secara tidak sengaja telah tertidur. (Info : Payudara ibu menjadi lebih besar dan berat ketika mempunyai susu). Ianya sama seperti kita sedang memberikan susu botol kepada si bayi dalam keadaan membaring. Susu yang ditelan tidak dapat dikawal oleh refleks penelanan bayi, maka susu tersebut akan terus mengalir ke saluran pernafasan. Ditambah pula dengan keadaan bayi yang tak mampu mengeluarkan susu tersebut (melalui batuk), ia akan meningkatkan lagi risiko aspirasi dan seterusnya mengakibatkan bayi mengalami sesak nafas.

POSISI PENYUSUAN

Terdapat tiga posisi penyusuan yang popular dikalangan para ibu ketika menyusukan bayi. Setiap teknik dan posisi ini mementingkan keselamatan dan kedudukan bayi, keselesaan ibu, penggunaan kedua-dua belah payudara.

Cradle hold

Ini adalah posisi yang paling klasik dan paling kerap digunakan oleh para ibu. Caranya ialah dengan mendukung bayi dalam keadaan kepalanya pada lipatan (siku) tangan ibu, dan punggungnya disokong oleh tapak tangan si ibu dan abdomen bayi dirapatkan pada badan si ibu. Pastikan kedudukan bayi dalam keadaan membaring secara menegak atau sedikit menyerong ke dalam, ke arah perut ibu. Teknik ini seringkali dipraktikkan dengan menggunakan kedua-dua belah tangan ibu sebagai sokongan tambahan. Pastikan kerusi yang diduduki oleh si ibu mempunyai tempat untuk merehatkan tangan supaya tidak mudah lenguh pada bahagian lengannya. Jika si ibu mahu menyusukan bayi menggunakan payudara sebelah kanan, pegang bayi pada tangan kanan. Teknik ini sesuai untuk bayi yang telah mempunyai keupayaan pengawalan lehernya, ibu yang bersalin secara vaginal (normal) dan tidak sesuai bagi ibu yang menjalani Caesarean (elak tekanan pada luka pembedahan).

Cross-cradle hold

Teknik ini juga sama seperti teknik ‘cradle hold’, cuma tangan yang digunakan adalah bertentangan. Jika mahu menyusu menggunakan payudara kanan, gunakan tangan kiri untuk memegang bayi. Caranya ialah dengan memegang kepala bayi dengan tapak tangan, lengan menyokong tulang belakang bayi, dan lipatan (siku) tangan ibu menyokong punggung si bayi. Kedudukan ibu jari dan jari telunjuk si ibu diletakkan dibelakang telinga bayi sebagai sokongan tambahan dan untuk mengawal hala tuju mulut bayi (ke arah puting). Teknik ini sesuai bagi bayi yang tidak pandai/mengalami masalah dalam melekapkan mulut kepada areola (dan puting) si ibu.

Football hold

Seperti namanya, bayi dipegang seolah-olah si ibu sedang memegang/memeluk bola ragbi (atau beg tangan). Jika mahu menyusukan bayi menggunakan payudara kanan, gunakan tangan kanan. Posisikan bayi dalam keadaan baring di mana bayi berada dibawah lengan (bawah ketiak) si ibu, dalam keadaan hidung si bayi menghadap ke arah puting si ibu. Kakinya dilunjurkan ke arah belakang ibu. Pegang bayi dengan menggunakan tapak tangan kanan pada kawasan kepala, leher dan bahu bayi. Sokong lengan pada belakang badan bayi, dan pastikan lengan si ibu diletakkan diatas bantal sebagai asas. Gunakan tangan yang lagi satu (kiri) untuk halakan puting dan gerakkan kepala bayi ke arah puting tersebut. Teknik ini sesuai untuk ibu yang melahirkan bayi secara Caesarean (elak tekanan pada luka pembedahan), dan ibu yang mempunyai anak kembar. Praktis teknik ini kepada bantal sebelum memegang bayi supaya dapat mengelakkan bayi terjatuh dan meningkatkan kemahiran pengendalian bayi bagi ibu baru.

Twins football hold

Teknik ini pula digunakan untuk ibu-ibu yang mempunyai anak kembar, dimana kedua-dua bayi perlu disusukan serentak.

Sama seperti ‘football hold’, kedua-dua bayi hanya perlu diposisikan disebelah kiri dan kanan ibu, masing-masing melekapkan mulut pada puting dibahagian sendiri.

Kedudukan bayi boleh ditukar-tukar tempat jika perlu seandainya kekuatan lekapan dan sedutan bayi tidak sama bagi menggalakkan pengeluaran susu sama rata.

Dalam pemilihan posisi penyusuan susu ibu, pastikan kedua-dua payudara digunakan dalam satu sesi penyusuan. Galakkan penyusuan menggunakan payudara secara bergilir untuk mengelakkan pengumpulan susu ibu di dalam salah satu payudara dan mengelakkan ‘engorgement’ (bengkak susu).

WAKTU PENYUSUAN

Penyusuan bayi perlu dilakukan setiap 2 hingga 3 jam sekali sepanjang hari. Walaupun bayi sedang tidur, perlu digerakkan untuk penyusuan. Ini adalah kerana bayi mempunyai saiz perut yang sangat kecil (sebesar ibu jari) dan mudah menjadi hypoglyvemic (kekurangan gula dalam darah). Tambahan pula, penyusuan membantu menggalakkan pembuangan air besar yang mana meningkatkan penyingkiran bilirubin berlebihan. Bilirubin adalah punca terjadinya jaundis (kekuningan).

Beri penyusuan kepada bayi anda mengikut prinsip eksklusif dan ‘on demand’, iaitu prinsip penyusuan diberikan pada setiap kali bayi menginginkan susu atau ketika si ibu mengalami ketidakselesaan pada payu dara. Dalam kata mudah, beri penyusuan setiap kali bayi anda ‘demand’, tak kira waktu, secara eksklusif. Jika pada keadaan tersebut anda masih bekerja/tidak bersama bayi, amalkan pemerahan susu mengikut masa yang sesuai secara berkala. Prinsip on demand ini dapat membantu si ibu dalam mengelakkan komplikasi breast engorgement (sebahagian kawasan payudara mengeras dan sakit), mengurangkan penghasilan susu dan akhirnya mengakibatkan mastitis (inflamasi tisu payudara)

TEKNIK PENYUSUAN

Apabila penyusuan dimulakan, galakkan rangsangan pada mulut bayi. Sebagai permulaan, gerakkan jari kelingking anda pada sisi mulut bayi atau di kawasan antara dagu dan mulut bayi. Ini adalah untuk memberi ‘isyarat’ kepada bayi supaya membuka mulut dan memulakan perlekapan puting pada mulut (latching) dan menggalakkan sedutan (sucking). Teknik ini digelar sebagai ‘rooting reflex’, dimana bayi diberi rangsangan untuk menghalakan wajahnya (mulutnya) ke arah stimulus yang diberi (jari).

Pastikan mulut bayi menutup keseluruhan areola (kawasan disekeliling puting ibu) sebelum penyusuan bermula. Perlekapan ini digelar sebagai latching. Jika perlekapan dilakukan secara tidak sempurna (contoh hanya pada puting sahaja), ia akan menyebabkan luka pada kawasan puting ketika bayi mula menghisap. Ini akan menyebabkan ibu merasa sakit ketika penyusuan bayi. Jika perlekapan ini lengkap dan menutupi keseluruhan areola, penyusuan dapat dihasilkan dan bayi tidak akan menyedut kosong. Seandainya perlekapan tersebut tidak sempurna, adalah digalakkan untuk ibu memberhentikan penyusuan, memutuskan perlekapan mulut bayi dan memulakan perlekapan semula sehingga ia menjadi sempurna.

Berhenti penyusuan hanya apabila perlekapan (latching) mulut bayi dilepaskan oleh bayi itu sendiri, tanpa sebarang paksaan oleh si ibu. Jangan sesekali menarik/menyentap/memaksa bayi untuk berhenti menyusu tatkala penyedutan dan perlekapan sedang berterusan. Ini adalah untuk mengelakkan puting ibu menjadi luka (nipple sore), mengelakkan infeksi (daripada luka) dan menghalang rutin penyusuan kepada bayi (akibat sakit dari luka). Jika mahu berhenti penyusuan untuk menukar bahagian payudara atau memulakan perlekapan baru, masukkan jari kelingking ibu kedalam mulut bayi secara perlahan dari arah sisi mulut, masukkan jari sehingga kedengaran bunyi ‘pop’ (bunyi perlahan) atau sehingga perlekapan bayi terputus. Kaedah ini dilakukan supaya bayi tidak menarik puting ibu dan mengakibatkan luka. Jika si ibu tidak mahu menggunakan jari, amalkan teknik menarik perlahan dagu si bayi sehingga bayi tersebut membuka mulut dan memutuskan lekapan pada puting.

TEMPOH MASA PENYUSUAN

Lakukan penyusuan bayi dari awal kelahiran sehingga bayi berumur sekitar 6 bulan. Jangan berikan sebarang makanan tambahan/susu formula ketika bayi masih belum mencecah umur 6 bulan. Ini kerana susu ibu sangat terbaik dalam membentuk antibodi dan sistem imuniti badan bayi pada peringkat awal. Susu ibu juga membantu mengecutkan semula rahim si ibu selepas proses bersalin. Ini dapat membantu si ibu ketika sedang menjalani tempoh berpantang. Sebarang pemberian makanan tambahan atau susu formula adalah dilarang pada ketika ini. Pada peringkat ini (6 bulan kebawah), sistem penghadaman bayi masih belum berkembang dengan baik dan masih tidak mencapai tahap cukup matang.

Setelah bayi mencapai umur 6 bulan ke atas, teruskan amalan penyusuan badan kepada bayi. Pada ketika ini, makanan tambahan boleh dimulakan namun ia digalakkan secara berperingkat. Jangan beri bayi makanan yang sukar untuk dihadam, dikunyah atau makanan solid (keras dan tidak mudah hancur). Ini adalah supaya risiko aspirasi dapat dikurangkan. Ia juga dapat melatih bayi untuk memulakan proses penelanan makanan pepejal / susuan.

Setelah bayi mencapai umur 2 tahun, penyusuan bayi boleh diteruskan jika ada, dan teruskan dengan amalan makanan tambahan yang disyorkan oleh pakar pemakanan atau jururawat di klinik ibu dan anak. Setiap pelan makanan tambahan bayi dirangka mengikut keperluan khasiat dan nutrisi bayi bergantung kepada perkembangan dan tumbesaran bayi. Elakkan daripada memberi makanan yang tiada khasiat kepada bayi pada peringkat awal ini, kerana sebarang makanan boleh menjejaskan tahap nutrisi, tumbesaran dan perkembangan bayi.

Klik link ini untuk mendapatkan tips saranan penyusuan KKM ( http://imgur.com/az7omOb ). Untuk mendapatkan tips pemakanan bayi sepenuhnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, klik link ini (http://www.moh.gov.my/images/gallery/Garispanduan/GPBaby.pdf ).

PUTING PLASTIK (PACIFIER)

Jangan amalkan pemberian puting plastik (pacifier) kepada bayi pada saat awal penyusuan ini. Ini adalah kerana ia akan memberikan suatu ‘isyarat’ hisapan ‘pseudo’ yang mana akan mengganggu rutin penyusuan bayi. Penggunaan pacifier sebenarnya bergantung kepada ibu bayi tersebut. Walaupun kebanyakan ibu memilih untuk menggunakan pacifier kepada bayi mereka untuk memudahkan pergerakan ibu di rumah/kerja, atau sebagai penenang bagi bayi untuk memudahkan tabiat tidurnya, pemilihan penggunaan pacifier juga boleh memberikan kesan buruk kepada bayi. Antaranya adalah rutin penyusuan bayi akan terganggu di mana bayi akan kurang menyusu, malah enggan memilih untuk menyusu susuan badan dan ia juga akan menyebabkan bayi bergantung terhadap puting pacifier tersebut. Ini akan menyukarkan lagi proses menjauhkan puting kepada bayi saat dia semakin membesar.

Jika ibu tetap mahu memberikan pacifier kepada bayi, adalah digalakkan untuk ibu menunggu sehingga bayi mencecah umur kira-kira 3 hingga 4 minggu sebelum terapi pacifier dimulakan. Ini adalah supaya bayi mampu menyelaraskan dirinya dengan hisapan susu ibu dan hisapan pacifier.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut atau sebarang masalah, adalah digalakkan supaya para ibu untuk bertanya kepada jururawat di klinik kesihatan ibu dan anak. Saya pasti mereka sanggup meluangkan masa untuk menceritakan apa yang penting dalam penyusuan susu ibu kepada anak-anak, khususnya bagi ibu-ibu yang baru memperolehi anak pertama.

 

#AC #SNJoker

Rujukan:

1. http://www.babycenter.com/0_positions-and-tips-for-making-breastfeeding-work_8784.bc

2. http://www.parents.com/baby/breastfeeding/tips/breastfeeding-on-demand/

3. https://www.medela.com/breastfeeding/advice/breastfeeding-tips/breast-engorgement

4. http://www.medicinenet.com/script/main/art.asp?articlekey=5392

5. http://www.livestrong.com/article/554478-how-to-get-my-baby-to-unlatch-without-hurting-me/

6. http://www.moh.gov.my/images/gallery/Garispanduan/GPBaby.pdf

7. http://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/in-depth/pacifiers/art-20048140

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

"Mengapa sistem huruf moden perlu disusun bermula dari A hingga Z walhal tiada satu pun syarat yang mewajibkan sedemikian?" Seorang jururawat lelaki yang gemar melihat hidup dari sisi dan perspektif tidak lazim dan janggal. Kadangkala sehingga mencabar kefahaman terhadap diri sendiri.

Leave A Reply