“Capal secara rupa, tetapi hakikatnya ia mahkota,” kata Imam al-Qurthubi.

Capal Nabi Muhammad ﷺ memiliki sifat khusus. Ia tidak pernah dilihat bentuknya sebelum ini. Malahan, Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar meniru bulat-bulat capal yang dipakai oleh Nabi, dengan dua qibal (tali pengikat jari). Kemudiannya, Sayyidina Uthman pula tidak memakai capal dua qibal, supaya umat tidak menyangkakan rekabentuk ini wajib.

Bahkan ada ahli khidmat khas untuk capal Nabi ﷺ, iaitu Sayyidina Abdullah Bin Mas’ud.

Imam al-Hafiz al-Iraqiy ada menulis tentang capal Nabi ﷺ dalam Alfiyyah Sirah Nabawiyyah:

“Dan capalnya yang mulia yang dipelihara  Maka sungguh beruntung bagi mereka yang menyapukan wajahnya dengannya (capal tersebut).”

Lalu diterangkan bentuknya, jenis kulitnya dan ukurannya. Disebutkan;

  1. Terbuat dari kulit yang telah dilicinkan dan tidak berbulu.
  2. Ukuran panjangnya sejengkal dua jari.
  3. Lebarnya kira-kira tujuh jari.
  4. Runcing (tajam) hadapannya dan pada kedua talinya terdapat simpulan yang menguatkan talinya.

Ini capal Nabi ﷺ, bukan capal manusia biasa seperti kita. Tidak pelik ia patut dimuliakan. Jangan bandingkan capal Nabi ﷺ yang suci dengan selipar kita yang kotor. Manakan sama Nabi ﷺ dengan kita. Sedangkan peluh Nabi ﷺ pun berbau wangi, tidak seperti peluh kita. Air ludah Nabi ﷺ pun disambut sahabat, tidak seperti air ludah kita yang orang geli. Siapalah kita dibandingkan Nabi ﷺ. Oleh itu, jangan menghina capal Nabi ﷺ dan orang-orang yang mencintainya.

Ingat tak kisah Israk Mikraj?

Di kemuncak perjalanan, Nabi Muhammad ﷺ pergi naik ke Arasy Rahman bersama malaikat Jibril. Tiba di satu tempat berhadapan lapisan cahaya-cahaya, malaikat Jibril pun berhenti. Ketua segala malaikat ini pun meminta Nabi ﷺ meneruskan perjalanan, kerana jika Jibril ikut serta, nescaya dirinya akan lebur dan lenyap.

Maka Rasulullah ﷺ pun teringat firman Allah ﷻ:

“Sesungguhnya Aku inilah Tuhanmu, maka tanggalkanlah kedua kasutmu; sesungguhnya kamu berada dilembah yang suci, Thuwa.” (QS. Thaha, 20:12)

Nabi Musa apabila mahu berbicara dengan Allah ﷻ di Bukit Tursina, diperintahkan membuka capalnya. Kali ini, Rasulullah bukan di Bukit Thursina, malahan tinggi lagi, di alam lain, iaitu Arasy Rahman. Tetapi, Allah tidak menyuruh Rasulullah ﷺ membuka capalnya sepertimana Nabi Musa. Jibril meminta Nabi ﷺ terus naik berbicara dengan Tuhan.

Maka berbicaralah Rasulullah ﷺ dengan Allah ﷻ, tanpa menanggalkan capalnya.

Ketika itu, kita dan seluruh alam semesta ini, berada di bawah capal Nabi ﷺ.

Hal ini menjadi dalil, apa sahaja yang melekat dan berkaitan dengan Nabi Muhammad ﷺ yang mulia, akan menjadi mulia. Ini bukan tentang capal itu, tetapi tentang siapa empunya capal itu. Siapa kita mahu memandang hina capal Nabi ﷺ, sedangkan malaikat Jibril dan Allah ﷻ memandangnya mulia? Ini bukan capal kita, ini capal Nabi ﷺ!

“Akulah debu di bawah telapak kaki Nabi Muhammad, utusan Allah,” kata Mevlana Jalaluddin Rumi.

Debu yang melekat di bawah capal baginda, lagi mulia daripada kita yang belum tentu syurga lagi.

Eh, ini kan gambar capal sahaja, kenapa nak muliakan pulak?

Kerana memuliakan gambarnya, ialah seperti memuliakan yang aslinya.

Seperti kita meminati kelab bola sepak. Kita tak malu letak logo JDT kat topi atau baju kita. Kita bangga. Kalau ada orang kecam, kita sanggup pertahankan. Kenapa? Kerana ini kelab feveret kita. Ingat gambar logo JDT, ingat perjuangan TMJ, ingat kehebatan JDT menjuarai liga-liga bolasepak.

Seperti kita menyayangi ibu kita. Kita buat gambar kecil ibu kita, simpan di dompet. Apa perasaan kita kalau orang ambil gambar ibu kita, lalu memijaknya, atau membuangnya ke loji najis. Kita suka? Tentulah tidak. Tapi, kan ini gambar sahaja? Haa, begitulah. Ianya gambar, tetapi bukan sebarang gambar.

Melihat gambarnya, mengingatkan kita kepada yang aslinya.

Lihat capal Nabi ﷺ, ingat baginda Nabi ﷺ.

Mulianya di pandangan pecinta, sampaikan ulama’ menulis sifat khususnya. Kitab Syamail Muhammadiah himpunan Imam Tirmizi mempunyai bab khas tentang capal Nabi ﷺ.

Sebahagian ulama’ menjelaskan secara terperinci rekabentuk capal Rasulullah:

  1. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam kitabnya “Jawahirul Bihar” jilid ke-3.
  2. Maulana Asyraf Ali Thanwi dalam “Zadus Sa`id”.
  3. Imam Ibnu ‘Asakir dalam kitabnya“Timtsalu Na’l an-Nabiy“.
  4. Imam Ibnu Muqri dalam kitabnya “Qurratul Aynayn fi Tahqiq Amr an-Na’layn”.
  5. Imam Abul Abbas al-Maqqari dalam kitabnya “Fathul Muta`al fi Madhin-Ni`al”.
  6. Imam al-Qashthalani dalam kitabnya “Mawahibul Laduniyyah” dan ramai lagi.

Sultan Ahmad dari Khilafah Turki Uthmaniah, punyalah sayang kepada capal Nabi ﷺ. Di hari penerimaan capal Nabi ﷺ yang asli ke Istana Topkapi, dibawakan capal ini bukan secara bersahaja. Tetapi capal Nabi ﷺ ini, dijunjung di atas kepala Sultan Ahmad, dengan iringan puji-pujian. Bayangkan, seorang sultan empayar agung sanggup meletakkan capal di atas kepalanya. Ini capal Nabi, bukan sebarangan capal.

Adab dijaga di hati dan di mata. Jika di zaman Khilafah Uthmaniah, tiada bangunan berdekatan dengan Kaabah yang boleh terlalu tinggi sampaikan Kaabah terlihat kecil dibandingkan dengannya. Begitu juga Madinah, tidak dibenarkan ada bangunan berdekatan yang dibina terlalu tinggi melebihi kubah hijau dan menara Masjid Nabawi. Ini adab yang semakin pupus.

Dengan merendahkan diri di hadapan atsar Rasulullah ﷺ, maka kita akan dimuliakan Allah ﷻ.

Dengan tabarruk capal Nabi ﷺ, moga-moga kita dipandang oleh baginda ﷺ dengan penuh kasih sayang. InsyaAllah. Kusudahi dengan petikan pada bab capal & khuf Nabi ﷺ, dari risalah Nazam al-Syamil fi Khulah asy-Syamail, karangan Syeikh Nazrul Nasir:

“Capal Nabi yang terjaga lagi mulia * Beruntung bagi yang pernah menyentuhnya.

Punya dua qibal dari kulit jua * Telah dilakar oleh ulama’ kita.

Panjang sejengkal dan dua jari * Lebarnya tujuh jari di buku lali.

Lebarnya di bawah perut kaki lima * Dan di atas enam jari jangan lupa.

Dan lebarnya di antara dua qibal * Dua jari ingat pasti tak menyesal.

Ini ukuran yang telah dinyatakan * al-Hafiz al-Iraqi buat bekalan.

Surah capal Nabi kita jangan hina * Memuliakannya sama yang aslinya.

Jika kamu dengar ada yang menghina * Berpalinglah ini pesan Tuhan kita.

Letakkanlah capal Nabimu yang mulia * di kepala tanda kamu cintakannya.

Ini pesan al-Qurthubi imam kita * Surah capal hakikatnya ia mahkota.

Dan padanya ada seribu barakah * Hanya yang tahu sahaja ambil manfa’ah.

An-Najasyi dan Sayyidina Dihyah * Beri Nabi akan khuf sebagai hadiah.

Dan baginda tidak pernah bertanya * Dah disertu atau tidak kulitnya.”

RUJUKAN:

  1. ‎Imam Al Hafiz al- Iraqiy. Alfiyyah Sirah Nabawiyyah.
  2. al-‘Allamah Muhammad Toher Bin Abdil Qadir al-Kurdi al-Makkiy. 2012. Tabarruk al-Sahabah bi Athari Rasulillah ﷺ wa Bayani Fadhlihi al-Azim.
  3. Al-Syamil fi Khulasah al-Syamail. Syeikh Nazrul Nasir.
  4. CAPAL NABI DAN KETELITIAN AL HAFIZ AL IRAQIY. محمد فائز حارث البكاني‎. https://www.facebook.com/HarithAlBakkaniy/posts/1761038034187791
  5. The Capal. 1 November 2019. https://www.facebook.com/watch/?v=750495085362556

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Comments are closed.