Sambutan Krismas tidak sah tanpa kehadiran Santa Claus yang membawa hadiah-hadiah yang menceriakan ramai orang termasuk kanak-kanak. Tetapi tidak ramai tahu, di sebalik imej lelaki tua berjanggut putih, pipi merah dan memakai pakaian merah yang bergerak ke seluruh dunia dari Kutub Utara untuk membawa hadiah, ia sebenarnya berdasarkan imej seorang santo bernama Nicholas yang hidup antara abad ketiga hingga abad keempat Masihi.

Jadi bagaimana Santo Nicholas boleh menjadi pembawa hadiah Krismas dari Kutub Utara ini? Nicholas merupakan anak jati Yunani yang dilahirkan pada akhir abad ketiga Masihi atau sekitar 280 Masihi. Dan pada satu ketika, beliau diangkat sebagai bishop di sebuah bandar kecil Rom bernama Myra di Turki hari ini.

Semasa hayatnya, Nicholas menentang keras gerakan penindasan Empayar Rom ke atas penganut Kristian ketika itu di mana kitab Bible dibakar dan penganutnya diberi pilihan sama ada murtad atau dihukum bunuh. Dan atas sebab itu dalam tempoh berkenaan, beliau bukanlah seorang periang atau gemuk seperti digambarkan dalam watak Santa Claus tetapi sebagai individu yang tegas dan berpegang teguh kepada ajaran agama itu. Ini menyebabkan Nicholas menghabiskan sedekad dalam penjara sebelum dibebaskan berikutan pengeluaran Dekri Milan oleh Maharaja Constantine pada tahun 313 Masihi.

Nama Nicholas terus harum walaupun selepas meninggal dunia pada 6 Disember 343 Masihi. Ini kerana beliau banyak dikaitkan dengan pelbagai insiden aneh dan menakjubkan serta dianggap penaung bagi ramai orang dari anak yatim hinggalah pelayar dan banduan. Ada beberapa insiden yang menyebabkan Nicholas dianggap pembela kanak-kanak. Menurut Gerry Bowler, penulis buku Santa Claus: A Biography mendedahkan satu peristiwa di mana beliau menyelamatkan tiga kanak-kanak perempuan dari terjebak ke kancah pelacuran dengan menyerahkan tiga uncang wang emas secara rahsia kepada bapa mereka yang dibelenggu hutang. Wang berkenaan kemudiannya digunakan sebagai mas kahwin untuk perkahwinan mereka.

Selama beberapa ratus tahun dari 1200 hingga 1500 Masihi, Santo Nicholas tidak boleh dicabar sebagai pembawa hadiah dan perayaan pada hari yang diwartakan sebagai hari perayaannya iaitu 6 Disember. Tetapi dalam tempoh berkenaan, mereka turut memasukkan elemen-elemen yang dimiliki Dewa Odin dari mitos Norse atau Dewa Saturn dari Rom seperti berjanggut putih dan mempunyai kuasa ajaib seperti boleh terbang. Gambaran ini ditambah bagi memastikan kanak-kanak sentiasa patuh kepada ajaran agama dengan berdoa dan berkelakuan baik.

Namun selepas era Reformasi Protestan yang bermula pada abad ke-16, santo-santo seperti Nicholas mula dilupakan di utara negara-negara Eropah. Menurut Bowler, ini menimbulkan dilema dalam kalangan komuniti gereja. Satu penyelesaian ialah menyerahkan peranan tersebut kepada bayi Jesus dan tarikh perayaan dipinda dari 6 Disember kepada 25 Disember yang diketahui hari ini. Tambah Bowler lagi, tugas berkenaan dilihat agak mencabar bagi seorang bayi apatah lagi dengan kapasiti hadiah yang dibawa. Jadi, komuniti gereja mewujudkan pembantu yang boleh menakutkan kanak-kanak dan boleh membawa hadiah.

Ini yang membawa kepada figura-figura menakutkan dari Jerman yang berdasarkan kepada watak Nicholas seperti Ru-klaus (Klaus yang kasar), Aschenklas (Ashy Nicholas) dan Felznickel (Nicholas yang garang). Mereka menjangkakan kanak-kanak berkelakuan baik atau berhadapan kesan buruk seperti dirotan atau diculik.

Lama-kelamaan, ia menjadi sebahagian daripada fasa pembangunan imej Santa sendiri dan watak syaitan Krampus yang dianggap sisi negatif Santa Claus di negara-negara utara Eropah termasuk Jerman. Di Belanda, kanak-kanak di sana enggan menyerah dan masih mengganggap Nicholas sebagai pembawa hadiah mereka. Apabila mereka berhijrah ke Dunia Baru, mereka turut membawa bersama cerita Sinterklaas dan legenda menakutkan si pembawa hadiah dari Jerman itu juga berkekalan sehingga hari ini.

Tetapi perlu diingat, semasa peneroka awal Amerika membina petempatan mereka, Krismas bukanlah cuti perayaan moden yang kita kenali hari ini. Hari perayaan berkenaan ditolak di New England dan menjadi hari perayaan Saturnalia dalam kalendar pagan. Menurut Bowler, hari berkenaan diraikan sebagai hari bagi penduduk bersuka ria, minum sampai mabuk dan bergaduh. Perkara sama turut berlaku di England dan ia sama sekali tiada kaitan dengan pembawa hadiah yang ajaib. Ia berlarutan selama beberapa abad sehinggalah pada awal abad ke-19, beberapa orang penulis dan penyajak berusaha menjadikan Krismas sebagai satu sambutan keluarga dengan memulihkan kembali dan menjenamakan semula Santo Nicholas.

Pada tahun 1809, buku Knickerbocker’s History of New York yang dikarang Washington Irving menggambarkan Nicholas sebagai penghisap paip yang terbang di atas bumbung-bumbung rumah sambil membawa hadiah bagi yang baik dan suis pada yang jahat. 12 tahun selepas itu, sajak ‘The Children’s Friend’ yang memperkenalkan imej moden Nicholas sebagai Santa Claus.

Imejnya sebagai pembawa hadiah masih dikekalkan, sebarang elemen keagamaan disingkirkan dan pakaiannya berdasarkan pakaian pembawa hadiah dari Jerman. Pada tahun 1822, kenderaan Santa ialah peluncur yang dipandu lapan rusa kutub, tambahan dari satu peluncur dan satu rusa kutub menerusi sajak ‘A Visit from St Nicholas’/A Night Before Christmas hasil karya Clement Clarke Moore.

Walaupun begitu, imejnya tetap berbeza-beza dan kadangkala dalam pelbagai bentuk samaran. Sesetengah penulis menggunakan imagnasi mereka bagi menggambarkan imej Nicholas sebagai Santa Claus. Bowler sendiri mendedahkan mempunya imej Santa sebagai George Washington yang menunggang penyapu sambil membawa hadiah.

Ia berterusan sehinggalah lewat abad ke-19 di mana imej standard Santa ialah seorang lelaki dewasa berbadan besar dan berjanggut putih, berpakaian merah sambil menunggang peluncur dari Kutub Utara dan memerhatikan tingkah laku kanak-kanak. Imej Santa Claus sebagai seorang lelaki yang mempunyai penampilan warga emas, gemuk dan periang dibuat oleh kartunis politik Thomas Nast.

Selepas imej itu berjaya dilaksanakan di Amerika, ia dibawa pula ke Eropah dan sekaligus bertanggungjawab menyingkirkan pembawa hadiah yang mempunyai imej menakutkan. Ia digantikan dengan pelbagai gelaran tempatan seperti Pere Noel (Perancis) dan Father Christmas (Great Britain). Walau bagaimanapun, tak semua yang suka imej ini. Di Rusia misalnya terutama semasa era pemerintahan komunis, mereka memansuhkan perayaan Krismas dan imej Grandfather Frost (Ded Moroz) yang popular sebelum era Revolusi Rusia.

Stalin cuba membina sokongan dengan memperkenalkan Frost bukan sebagai pembawa hadiah Krismas tetapi sebagai pembawa hadiah tahun baru. Frost juga turut diberi penampilan kod berwarna biru bagi mengelak kekeliruan dengan Santa sekitar Eropah.

Menurut Bowler, setiap tempat yang ada kehadiran orang Soviet, mereka cuba memperkenalkan imej sekular ini bagi menggantikan pembawa hadiah tradisional di negara-negara Eropah Timur. Tetapi ia tidak mendapat sambutan dalam kalangan penduduk tempatan sehinggalah keruntuhan Tirai Besi pada tahun 1989. Sejak itu, komuniti di negara-negara berkenaan kembali kepada tradisi tempatan mereka.

Santa terus menjadi figura yang dipolitikkan di serata dunia. Misalnya pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, tentera Amerika memperkenalkan versi Santa mereka di seluruh dunia dan disambut secara positif oleh penduduk setempat. Menurut Bowler, ia sebagai simbol kemurahan hati Amerika dalam membantu negara-negara yang terkesan dengan perang membina semula negara mereka.

Tetapi di sesetengah negara, mereka menolak versi Amerika Utara Santa ini kerana mahu melindungi tradisi pembawa hadiah yang wujud di negara mereka. Jadi, usah terkejut jika ada negara seperti Republik Czech, Belanda, Austria dan negara-negara Amerika Latin menolak versi Santa ini dari wujud di negara mereka.

RUJUKAN:

Handwerk, Brian. (2018). From St. Nicholas to Santa Claus: the surprising origins of Kris Kringle. National Geographic. https://www.nationalgeographic.com/news/2018/12/131219-santa-claus-origin-history-christmas-facts-st-nicholas/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.