Setiap kali tiba musim perayaan masyarakat bukan Islam, ada sebuah polemik yang kerap menghantui masyarakat Muslim, iaitu apakah haram bagi mereka untuk mengucapkan tahniah atau ucapan selamat pada perayaan tersebut? Polemik ini terkadang menimbulkan suatu krisisyang meruncing sehinggakan timbul perbalahan, saling kafir-mengkafir walhal para ulama’ telahpun memberikan garis panduan dan ketetapan hukum yang begitu sejahtera untuk diterima dan dicernakan oleh akal yang sihat.

Sebelum kita menelusuri persoalan hukum, perlu bagi kita untuk mengetahui bahawasanya Islam merupakan sebuah agama yang bersifat rahmat buat seluruh umat manusia sejagat. Islam tidak sekali-kali mengajarkan sikap diskriminasi terhadap mana-mana bangsa mahupun agama, bahkan mengajak kepada toleransi dan keamanan, sepertimana firman Allah:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad ﷺ), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. ”

(Al-Anbiya’ 21:107)

Firman Allah:

“…dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik. ”

(Al-Baqarah 2:83)

Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan…”

(An-Nahl 16: 90)

Dalam masalah hukum, sememangnya tidak dinafikan bahawa para fuqaha’ silam dari keempat-empat madzhab utama Islam iaitu Syafi’iyyah, Malikiyyah, Hanafiyyah dan Hanabilah telah pun menetapkan haram hukumnya ucapan selamat ke atas masyarakat bukan Islam pada hari perayaan mereka, seperti yang dijelaskan oleh pendakwah dan ulama’ terkenal, Habib Ali Al-Jufri.

Namun menurut beliau, Imam An-Nawawi dalam kitab beliau, Al-Majmu’ telah menjelaskan pengharaman ini bukanlah disebabkan adanya nas atau teks khusus yang melarang, namun ia adalah berasaskan ‘illah iaitu sebab atau faktor bagi mengelakkan seseorang Muslim dari menunjukkan pengiktirafannya terhadap kekufuran ‘aqidah yang terkandung dalam agama mereka.

Menurut Al-Habib lagi, ketika zaman kita ini, sebab itu telah  tidak lagi terpakai kerana secara umumnya, seorang Kristian boleh sahaja mengucapkan tahniah dan selamat kepada seorang Islam ketika  perayaan Mawlidur Rasul, tanpa dikatakan bahawa orang tersebut memberikan pengiktirafannya terhadap kerasulan Nabi Muhammad ﷺ. Maka demikian juga ketika seseorang Islam mengucapkan selamat kepada seorang Kristian pada hari Krismas, ia bukanlah bermaksud bahawa ia mengakui atau mengiktiraf fahaman Kristian berkenaan Nabi ‘Isa alayhissalam.

Demikian juga pendapat yang dikemukakan oleh Dar Ifta’ Al-Misriyyah, iaitu badan penggubal fatwa bagi negara Mesir yang menghukumkan harusnya bagi seorang Islam mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam pada hari perayaan mereka atas dasar toleransi dan menunjukkan ketinggian adab dalam membalas ucapan selamat, berdasarkan firman Allah:

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).  Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. ”

(An-Nisaa’, 4:86)

Demikian juga yang diputuskan oleh Sahibul Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr.  Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri dalam terbitan Bayan Linnas beliau.

Lalu bagaimana kita menyikapi dan memahami fatwa sebahagian ulama’ lain yang mengharamkannya?

Pertama kita hendaklah memahami bahawa fatwa ulama’ kontemporari yang membolehkan adalah atas tujuan kemaslahatan serta menjaga hubungan baik sesama umat Islam dan masyarakat bukan Islam terutamanya bagi umat Islam yang hidup sebagai minoriti di negara yang majoriti penduduknya adalah masyarakat bukan Islam, bukanlah sebagai galakan bagi umat Islam bersikap terlalu bebas dalam mengucapkan selamat serta menyambut perayaan bukan Islam sehingga melanggar batasan syara’.

Kedua, fatwa ulama’ kontemporari yang mengharuskan ini juga adalah bertujuan bagi memberikan gambaran keamanan Islam kepada masyarakat bukan Islam yang tinggal sebagai minoriti di negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim, serta menjaga hubungan antara pemimpin serta rakyat yang saling berbilang agama dan bangsa.

Ketiga, pandangan ulama’ yang mengharamkan juga adalah bertujuan bagi menjaga umat Islam dari kegelinciran aqidah, namun ia bukan bermatlamat untuk menimbulkan ketegangan mahupun permusuhan antara kaum Muslimin dan masyarakat bukan Islam. Justeru, fatwa ini masih relevan, khususnya di negara yang tidak ada jumlah masayarakat bukan Islam yang signifikan.

Jadi sebagai kesimpulannya ialah, belajarlah mengharmonikan antara fatwa para ulama’ dengan hati yang terbuka dan minda yang sihat dengan memahami tujuan serta objektif di sebalik penetapan hukum, dan bukan dengan melihat kepada hukum itu semata-mata.

Sekiranya ada keperluan bagi anda dalam meraikan sahabat handai atau jiran tetangga yang bukan beragama Islam pada hari perayaan mereka, maka bersikap lunaklah dan ambillah fatawa ulama’ yang mengharuskan supaya anda tidak kelihatan sebagai seorang yang idak bertoleransi. Bahkan ia mungkin menjadi medan dakwah yang baik terhadap mereka untuk berjinak-jinak dengan Islam.

Dan jika sekiranya tidak ada keperluan pula bagi anda bagi meraikanya, maka pandangan ulama’ yang mengharamkannya itu lebih selamat untuk dipegang, namun jangan sesekali bersikap pesimis dan pukul rata terhadap saudara-saudara seakidah anda yang mengambil pandangan yang berbeza.

Semoga tulisan ringkas yang tidak seberapa ini mampu memberi pencerahan sebaiknya agar nanti tidak lagi dikatakan kepada kita :

“Orang lain yang beraya, lain orang yang huru-hara”

__________________________________

Gambar:

Grand Sheikh Al Azhar, Sheikh Ahmed Tayyib menyantuni penganut Kristian pada acara sambutan Krsimas pada tahun 2015 yang berlaku serentak dengan Mawlidur Rasul, pada minggu yang sama.

RUJUKAN:

Video Penjelasan Habib Ali Al-Jufri: https://www. youtube. com/watch? v=jqoHxhvn6ZE

Fatwa Dar Ifta’ Al-Misriyyah

1. Is it permissible to congratulate Christians for Christmas?

http://www. dar-alifta. org/Foreign/ViewFatwa. aspx? ID=6815

2. Celebrating Christmas with My Non-Muslim Family

http://www. dar-alifta. org/Foreign/ViewFatwa. aspx? ID=8378&LangID=2

Bayan Linnas Siri Ke-81: Hukum Mengucapkan “Merry Christmas” Kepada Mereka Yang Beragama Kristian

http://www. muftiwp. gov. my/index. php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1349-bayan-linnas-siri-ke-81-hukum-mengucapkan-merry-christmas-kepada-mereka-yang-beragama-kristian


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Orang Pekan atau nama sebenarnya Mohammad Faeez Harith bin Khairil Anuar merupakan seorang pendakwah bebas yang memegang Tauliah Jabatan Agama Islam Selangor. Beliau juga merupakan jurulatih kecergasan sepenuh masa di Clark Hatch Fitness, One World Hotel, Bandar Utama Petaling Jaya. Follow Twitter beliau di: https://twitter.com/H_Bakkaniy

Comments are closed.