Dalam lipatan sejarah, jarang kita mendengar pemerintahan sesebuah kerajaan atau empayar di kepalai oleh seorang wanita. Kecuali yang biasa kita dengar ialah pemerintahan kerajaan Saba’ yang dipimpin oleh Ratu Balqis ketika pemerintahan Nabi Sulaiman ‘alaihissalam, sebelum masihi. Beliau telah memerintah negara dengan baik dan aman.

Namun tahukah kita, perubahan sosio ekonomi dan politik telah mengubah peranan seorang wanita awal lagi sebelum zaman colonialism. Misalnya, di Nusantara juga wujud tampuk pemerintahan seorang ratu yang digelar ratu kejujuran dan keadilan iaitu Ratu Shima (674-695M).  Siapakah beliau? Dan bagaimanakah corak kepimpinan beliau?

Profil Ratu Shima

Ratu Shima merupakan pemerintah kerajaan Kalingga atau holing yang sangat kuat pegangan agama hindu. Kerajaan Kalingga terletak di bahagian Jawa Tengah, dikatakan kedudukannya sekarang di daerah Kabupaten Jepara. Namun kedudukan yang tepat masih lagi diperdebatkan oleh ahli sejarah.

Ratu Shima dilahirkan pada tahun 611M di sebuah daerah sekitar Sumatra Selatan. Dia merupakan isteri kepada Raja Kalingga Kartikeyasinga. Bapa mertuanya merupakan Raja Kalingga pada tahun 632-648M. Raja Kartikeyasinga lahir dari seorang Ibu yang berasal dari Kerajaan Melayu Sribuja. Sementara Ratu Shima merupakan puteri dari seorang pendeta di daerah Sriwijaya.

Setelah berkahwin, dia mengikuti suaminya tinggal di daerah Adi Hyang, sekarang dikenali sebagai Dieng. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Parwati dan Narayana (Iswara). Ratu Shima dinelai sebagai seorang perempuan yang taat akan agamanya.

Pada 674M, Raja Kartikeyasinga meninggal dunia. Maka setelah itu, Ratu Shima telah mengambil alih takhta dan meneruskan peranan suaminya sebagai pemerintah Kerajaan Kalingga yang baru. Padahal, saat itu, kedua orang anaknya masih kecil.

Gelaran Ratu Shima

Gelaran yang diberikan kepada Ratu Shima ialah Sang Ratu Adil yang memimpin kerajaan Kalingga. Walaupun  dia seorang wanita dikenali sebagai perwatakan lemah lembut. Namun, lain bagi seorang Ratu yang memerintah dengan tegas, berlandaskan kejujuran dan keadilan sehingga tiada seorang pun rakyatnya yang berani melanggar peraturan.

Hukuman Potong Tangan Bagi Pencuri

Dalam catatan Tiongkok, telah tersebar mengenai Ratu Shima yang dikenali sebagai pemerintah wanita yang sangat adil dan menjaga keamanan. Ratu Shima telah mengangkat dasar hukuman potong tangan bagi sesiapa pun, baik  keluarga kerajaan atau masyarakat awam.

Hal ini telah sampai ke pendengaran Raja Ta-Cheh iaitu dicatatkan oleh orang Tiongkok sebagai Raja Arab dan Raja Arab yang masyhur ketika itu ialah Mu’awiyah bin Abu Sufyan, pengasas pertama dari kerajaan bani Umayyah. Lalu dihantar orang untuk menguji keadilan Ratu Shima dengan  meletakkan uncang-uncang yang berisi emas di tengah-tengah pusat kota negara itu. Namun, memang benar khabar yang didengar, tiada seorang pun yang mengambil uncang-uncang tersebut.

Namun, setelah tiga tahun pundi-pundi berhujan panas di tengah jalan, datanglah Putera Raja Narayan, lalu tidak sengaja menyentuh  uncang tersebut ketika berjalan-jalan sekitar kota itu. Lalu putera raja menyentuh dan mengambil uncang-uncang berisi emas tersebut. Hal ini telah sampai ke pengetahuan Ratu Shima sehingga dia sangat murka dan malu akan perbuatan anaknya itu sehingga memerintah menteri-menteri untuk membunuh anaknya itu. Akhirnya, atas permohonan menteri-menteri agar diringankan hukuman itu, maka disuruh memotong kaki puteranya itu.

“Kesalahanmu terletak di kakimu, maka dari itu sudah selayaknya  jika kamimu dipotong,” kata Ratu Shima kepada puteranya.

Sikapnya itu, telah membuat ramai pemerintah lain gerun dan segan terhadapnya.

Kegemilangan Era Ratu Shima

Pada era pemerintahan Ratu Shima inilah kemuncak kegemilangan Kerajaan Kalingga selama 21 tahun pemerintahan dengan mememiliki pelabuhan yang paling sibuk di Jawa, dimana ia menjadi pusat perdagangan keluar masuk kapal-kapal daripada pelbagai bangsa. Kerajaan Kalingga ketika itu telah mengambil alih peranan pusat dagangan terkenal yang dikuasai oleh Kerajaan Tarumanegara. Terletaknya di pesisiran Utara Jawa. Bahkan, Kerajaan Kalingga telah mengadakan hubungan diplomasi dengan kerajaan Cina bagi mengukuhkan lagi bidang ekonomi pada abad 5 Masihi.

Selain sektor ekonomi, Ratu Shima juga telah memajukan sektor-sektor lain yang membantu perkembangan negara dan ekonomi negara serta taraf hidup rakyatnya. Contohnya, memperkenalkan system subak dalam system pertanian yang diterapkan kepada petani-petani Hindu di Pulau Dewata.

Selain itu, kepakaran yang ada dalam kalangan rakyatnya turut dibantu sebagai asas sumber dan kualiti asli produk kerajaan tersebut. Seperti produk kraf tangan, bidang pertukangan iaitu antaranya, membuat rumah, pembuatan kapal dan perahu, pembuatan perabot, rumah tangga dan lain-lain.

Kesimpulan

Pemerintahan dan sifat kepimpinan yang ditonjolkan oleh Ratu Shima telah membuktikan kepimpinan dibawah seorang pemerintah wanita tidak bererti satu kelemahan dan kegagalan untuk menjadi kerajaan yang maju. Tambahan pula dengan sikap tegas dan disiplin mengikut peraturan negara menggambarkan sifat kepimpinan yang jitu sebagai pemimpin.

Buktinya, ketika zaman pemerintahnya, tiada sebarang protes dan pakatan menggulingkan pemerintah wanita menunjukkan minda masyarkat pada zaman tersebut telah terbuka dalam penerimaan perempuan dalam sistem kenegaraan.

Artikel disumbangkan oleh Siti Balqis Mohd untuk The Patriots.

RUJUKAN

  1. SEJARAH RATU SHIMA DAN FAKTA YANG MENJADI SUMBER INSPIRASI. https://jengsusan.com/sejarah-ratu-shima-dan-fakta-yang-menjadi-sumber-inspirasi/
  2. KERAJAAN KALINGGA. https://www.romadecade.org/kerajaan-kalingga/#!
  3. MAHARANI SHIMA, RATU ADIL DARI KERAJAAN KALINGGA. https://pandita.id/maharani-shima-ratu-adil-kerajaan-kalingga/
  4. HAMKA. (2006). SEJARAH UMAT ISLAM. Terbitan: Pustaka Nasional PTE LTD Singapura
  5. Ufi Saraswati. KUASA PEREMPUAN DALAM SEJARAH INDONESIA KUNA. Jurnal.um.ac.id Vol 10, No 1 (2016)

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.