Tentu sekali tiap kali haiwan bernama unta ini disebut, kita akan mula terbayang haiwan berkaki panjang dan berbonggol ini merentasi padang pasir yang tandus dan panas. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa moyang terawal unta ternyata jauh sekali berbeza asal-usulnya daripada unta moden (genus Camelus).

Keluarga Camelidae berasal dari Amerika Utara ketika epok Eosen iaitu sekitar 45 juta tahun dahulu dan berpecah kepada sekurang-kurangnya 20 genera pada awal Miosen. Nun jauh di High Arctic, Kanada pada 3.5 juta tahun pernah hidup suatu spesies unta (genus Paracamelus) yang telah beradaptasi dengan ekosistem sejuk di sana.

Ketika itu, bentuk muka bumi agak berbeza jika daripada hari ini. Terdapat suatu jambatan darat yang menghubungkan Alaska dan Russia. Tambahan lagi, pada masa itu, manusia purba pertama yang dinamakan Australopithecus mula wujud di Afrika. Unta-unta gergasi yang mendiami Artik ini agak menyerupai unta-unta yang ada di padang pasir hari ini.

Menurut suatu kajian yang diterbitkan dalam Nature Communications, para penyelidik mempunyai bukti bahawa unta pernah hidup sejauh kawasan paling utara Kanada yang kini menjadi habitat bagi beruang kutub, serigala kelabu dan karibu. Siapa sangka ciri-ciri yang membolehkan unta beradaptasi di padang pasir turut membantu moyangnya untuk beradaptasi di kawasan yang mengalami musim sejuk yang sukar.

Sebelum penemuan terkini, saintis hanya tahu bahawa spesies unta yang telah pupus pernah mendiami kawasan utara hingga ke Yukon, Kanada. Walau bagaimanapun, semasa menjalankan kerja-kerja eskavasi di Pulau Ellesmere yang terletak 750 batu utara dari kawasan penemuan unta Yukon, penyelidik memjumpai 30 serpihan tulang berukuran di antara 0.5 hingga 3 inci. Natalia Rybczynski dari Muzium Semulajadi Kanada yang mengetuai ekspedisi berkata, “Ia mengambil masa selama tiga musim lapangan untuk mencari semua tulang-belulang yang kami ada ketika ini. Di lapangan, serpihan tulang-belulang ini hanya kelihatan seperti serpihan tembikar. Mungkin juga cuma fosil kayu.”

Unta Yukon Sumber: www.cbc.ca

Setelah serpihan itu disusun semula seperti kepingan teka-teki, anggota kaki bertelapuk menyerupai unta purba mula kelihatan. Selepas itu, penyelidik menggunakan teknik yang dikenali sebagai collagen fingerprinting untuk menganalisa tisu penghubung daripada tulang yang mereka akan bandingkan dengan spesimen unta Yukon dan unta ponok tunggal (Camelus dromedarius) dan unta baktria (Camelus bactrianus). Ujian-ujian tersebut mengesahkan bahawa serpihan tulang-belulang itu rupa-rupanya milik unta Artik.

Unta baktria (Camelus bactrianus) Sumber: cn-animals.fandom.com

Berdasarkan saiz kaki unta Artik, saintis mnyimpulkan bahawa ia beranggaran 30 peratus lebih besar daripada unta-unta padang pasir moden. Kendatipun demikian, ia kelihatan amat serupa – dan itu bukan sekadar kebetulan, menurut Rybczynski. “Ada beberapa ciri yang dilihat pada unta moden yang mungkin amat membantu bagi unta High Arctic,” jelas beliau.

“Misalnya, kaki yang bertapak luas dan rata berguna untuk berjalan di atas pasir juga berguna untuk berjalan di atas salji. Bukan itu sahaja, bonggol berfungsi untuk simpanan lemak barangkali amat penting untuk haiwan itu untuk menempuh musim sejuk yang panjang, gelap dan dingin. Tambahan lagi, unta mempunyai mata yang besar yang sesuai untuk melihat dalam cahaya rendah”.

Selama tempoh hidup unta Pulau Ellesmere, suhu Artik adalah 2 hingga ke 3°C lebih panas daripada hari ini menurut Rybczynski. Namun demikian, suhu sedemikian masih sejuk dan di bawah paras beku di hutan yang menjadi habitat unta ini malah separuh tahun dalam kegelapan 24-jam. Beberapa eskavasi awal di tapak tersebut mencadangkan bahawa unta Artik berkongsi habitat dengan badgers, deerlets, memerang dan kuda berkuku tiga.

Sekitar tiga hingga lima juta tahun lalu, mereka melintasi jambatan darat Bering ke Eurasia dan akhirnya bermigrasi ke selatan. Di samping itu, ada sebahagian pula meneruskan migrasi menuju ke Amerika Selatan lalu berevolusi kepada llama dan alpaka sekitar tiga juta tahun dahulu. Menjelang zaman ais, unta di Amerika Utara akhirnya pupus keseluruhannya.

Alpaka dan llama
Sumber: Alpaca Direct

RUJUKAN

Carr, K. E. (2019). Where do camels come from? Retrieved from https://quatr.us/central-asia/where-do-camels-come-from.htm

Cohen, J. (2018). Giant Ancient Camel Roamed the Arctic. Retrieved from https://www.history.com/.amp/news/giant-ancient-camel-roamed-the-arctic

Rybczynski, N., Gosse, J. C., Harington, C. R., Wogelius, R. A., Hidy, A. J., & Buckley, M. (2013). Mid-Pliocene warm period deposits in the High Arctic yield insight into camel evolution. Nature Communications, 4:1550. doi: 10.1038/ncomms2516


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Applied Science (Biodiversity Conservation and Management) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Amat meminati sejarah alam semula jadi, zoologi, dan ekologi. Pernah menulis kertas kajian mengenai mamalia kecil tidak boleh terbang di Tasik Kenyir semasa belajar di UMT dan dimasukkan di dalam buku ilmiah bertajuk Greater Kenyir Landscapes. Selain itu,esei bertajuk Peranan Mamalia Kecil di Malaysia pernah diterbitkan dalam Dewan Kosmik, majalah sains terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Comments are closed.