Setiap
negara mempunyai lagu kebangsaan sendiri. Elemen patriotisme ini merupakan
warisan sejati daripada negara-negara leluhur sejak zaman kolonialisme lagi.
Kebanyakan lagu kebangsaan sebenarnya berasal daripada lagu-lagu patriotisme. Wilhelmus merupakan lagu patriotik
Belanda yang dikarang sejak abad ke-16 semasa berlakunya sebuah pergolakan
politik. Begitu juga dengan Kimigayo
yang liriknya dipetik daripada syair sejarah berabad lamanya.
Setelah
sekian lama, lagu kebangsaan pun dianggap sebagai identiti sebuah negara. Rakyat
pula diwajibkan menyanyi dengan berdiri tegak. Pendatang atau pelancong pula
hanya cukup jika berdiri sahaja. Namun terdapat juga segelintir yang enggan
berdiri atas alasan jahil, malas dan cari perhatian. Di Amerika Syarikat,
rakyat terbahagi dalam kompas moral antara golongan patriotik dan politik.
Dalam aspek politik, ada macam-macam jenis golongan. Yang tidak setuju dengan
Donald Trump enggan berdiri, sebaliknya melutut. Golongan berideologikan
pasifisme pula tidak menghormati kerana the
Star-Spangled Banner mendendangkan benih-benih peperangan.
Malaysia
pun dilihat terbahagi dengan semaian patriotisme dan politisme. Sebuah video
tular yang menampakkan satu meja tidak menghormati lagu Negaraku. Atas alasan politik, perbuatan materialistik tersebut
berlaku kerana Dr Mahathir enggan melunaskan royalti minyak Sarawak. Tidak
cukup dengan itu, sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ditelanjangkan
seolah-olah penjulangan lanun Malaya.
Umumnya,
rakyat Sarawak tidak ramai yang menjulang aspirasi separatisme ini. Tetapi
barah tidak perlu mencapai bentuk dan saiz badan untuk membunuh seorang
manusia. Barah separatisme pun sudah kental dengan wujudnya gerakan pemisah
walaupun kecil. Antara suara sumbang yang disalurkan melibatkan ahli politik
DAP bernama Chong Chieng Jen yang mempersendakan nyanyian lagu Negaraku semasa
dalam pawagam. Antara gurau sendanya mengatakan apakah lagu kebangsaan perlu
dinyanyikan sebelum “s…” pun.
Sosial Malaysia – Satu Bangkai
Hidup Yang Berjalan
Sudah
cukup selama ini identiti Malaysia dipersoalkan secara bertubi-tubi. Jika
bendera dan lagu kebangsaan pun tidak dihormati, apatah lagi kontrak sosial
yang telah lama dipersetujui. Jelas sekali
Malaysia merupakan negara maju dari segi pembangunan tetapi mundur dan
terbantut dalam aspek-aspek sosial dan budaya. Terlalu lama dan kerap negara
Malaysia fokus untuk mempertingkatkan teknologi saintifik sambil mengorbankan
prinsip asasi.
Petikan
daripada Abdullah Ahmad Badawi sangatlah bertepatan dengan ciri-ciri negara.
Bahawasanya Malaysia merupakan pembangunan dunia pertama yang terkandas dengan
mentaliti dunia ketiga. Padahnya pun telah kelihatan. Dalam sejarah, kebencian lebih mudah merebak
berbanding kesatuan. Ini kerana, membenci itu mudah.
Tindakan
minoriti tersebut tidaklah mengejut pun. Memang Malaysia tidak dicintai atas
penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Negara perlukan undang-undang untuk
mengekalkan patriotisme. Cinta kepada manusia pun disulami juga dengan
peraturan-peraturan tidak bertulis. Sebuah perkahwinan pun boleh runtuh jika
batasan peraturan dicerobohi. Apatah lagi semangat cinta terhadap negara yang
bersifat aktif pada waktu-waktu tertentu.
Dalam
perkara ini, Montenegro merupakan sebuah negara Eropah yang sangat sesuai untuk
dijadikan contoh. Sesiapa yang tidak berdiri untuk menghormati lagu kebangsaan
boleh berdepan dengan denda antara €300
hingga €2,000. Masyarakat Montenegro pun berdepan dengan konflik patriotisme/politisme.
Bangsa minoriti Serbia enggan mengiktiraf lagu oj, svijetla majska zoro kerana ditulis oleh pengasas gerakan
kemerdekaan Montenegro yang bersekongkol dengan penjajah Itali semasa Perang
Dunia Kedua. Lagu tersebut juga tidak menyebut apa-apa tentang perjuangan
bangsa Serbia.
Kerajaan
Filipina pun tidak menghalang pihak berkuasa memberkas sesiapa saja yang enggan
berdiri semasa lagu kebangsaan. China dan India juga memperkenalkan hukuman
bagi golongan sedemikian. Malah China pula mengharamkan lagu kebangsaan
digunakan sebagai muzik pengebumian atau pengiklanan. Penggunaan lagu
kebangsaan di sebagai muzik latar pun tidak dibenarkan.
Akta
sebegini dengan jelas menunjukkan kebangkitan arus nasionalisme. Di India, lagu
dimainkan dengan paparan bendera kebangsaan sebelum tayangan filem. Baik buruk
implikasinya bukan skop perbincangan. Sebaliknya, sebuah bangsa (nationality)
menempuh maut apabila identiti negara diracik atas kompas moral
patriotisme/politisme.
RUJUKAN:
In Asia, a wave of nationalism is creating strict national-anthem laws that can land citizens in jail. https://www.businessinsider.com/asia-national-anthem-laws-jail-2017-11?IR=T
People who don’t stand for national anthem in Montenegro could soon be fined €2,000. https://www.euronews.com/2018/10/08/people-who-don-t-stand-for-national-anthem-in-montenegro-could-soon-be-fined-2-000




No comments yet