1 Jun 2017 merupakan satu lagi hari biasa yang dilalui oleh Zulkarnain Idros, 53 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi. Tetapi panggilan telefon pada 11.30 malam itu membawa satu khabar yang mengejutkan dan mendukacitakan dia sekeluarga. Panggilan tersebut datang dari seorang pegawai Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), tempat di mana anak sulungnya, Zulkarnain Osman melanjutkan pelajaran dan beraspirasi menjadi nakhoda kapal Tentera Laut Diraja Malaysia.

Pegawai: Anak encik sudah meninggal dunia (kemudian pegawai itu mendiamkan diri untuk beberapa lama)

Zulkarnain: Apa sudah jadi?

Pegawai: Arwah mati terbakar.

Apabila isteri Zulkarnain dan ibu Allahyarham, Hawa Osman, 54 mendengar berita itu, dia menitiskan air mata sambil berkata, “Allah, anak aku…”

Mendengarkan berita mengejut itu, Zulkarnain cuba mendapatkan pengesahan identiti Allahyarham. Pada mulanya, pegawai itu hanya menyebut nombor pengenalan tentera Allahyarham tetapi selepas didesak Zulkarnain yang masih tidak percaya dengan apa yang berlaku, dia akhirnya menyebut nombor pengenalan awam Allahyarham.

Semasa mengimbau peristiwa itu, dia menambah, “Otak saya berkecamuk. Saya terus fikir ini merupakan satu kesilapan. Mungkinkah yang mati itu anak orang lain? Saya perlu menyaksikannya sendiri.” Pada tengah malam itu juga, Zulkarnain, Hawa dan tiga anak mereka bertolak dari Johor menuju ke Hospital Serdang, Selangor.

Mengimbau apa yang berlaku selepas itu, Hawa menambah dia sebenarnya sudah merasa tidak sedap hati beberapa lama sebelum mereka sekeluarga menerima panggilan itu. Dia berkata, “Anak saya selalunya menelefon setiap malam, tapi tiada panggilan lebih daripada seminggu kerana dia hilang telefonnya.

Malah selepas beberapa hari, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena.” Selepas pukul 3.00 pagi, mereka tiba di hospital dan disambut oleh pegawai sama yang memberitahu mereka. Bagaimanapun, pihak hospital hanya membenarkan mereka melihat jenazah pada jam 9.00 pagi sekaligus memaksa mereka menunggu lebih enam jam.

Bagi yang mengikuti kes ini sejak dua tahun lepas, ia berkisar dakwaan Allahyarham Zulfarhan didera oleh sekumpulan rakan pelajar lain dari 21 hingga 22 Mei 2017 kerana kumpulan ini mendakwa Allahyarham mencuri komputer riba milik salah seorang suspek.

Siapa tidak tahan mendengar keterangan saksi tentang apa yang dilakukan oleh 19 pelajar ini termasuk mengikat dan mendera Allahyarham dengan seterika, penyangkut baju, hos getah dan tali pinggang di Asrama Jebat UPNM dari 2.30 pagi hingga 5.30 pagi (21 Mei) dan 1.30 pagi hingga 5.45 pagi (22 Mei). Dua daripada kumpulan suspek terlibat kemudiannya cuba membawa Allahyarham mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik di Bangi sebanyak dua kali pada 27 Mei dan 31 Mei. Tetapi pada 1 Jun 2017, Allahyarham kembali ke hadrat penciptanya.

Bila dibenarkan melihat jenazah, pada mulanya mereka hanya ditunjukkan wajah Allahyarham sahaja. Tetapi selepas ibu bapa Allahyarham mendesak mahu melihat keseluruhan tubuh Zulfarhan, tiada kata yang dapat menggambarkan betapa luluhnya hati mereka melihat anak yang dikasihi diperlakukan sebegitu rupa. Pada 2 Jun 2017, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke Johor dan dikebumikan pada petang hari yang sama. Menurut laporan bedah siasat, 80% badan Allahyarham Zulfarhan dipenuhi dengan kesan terbakar.

Pada 14 Jun 2017, daripada 32 suspek yang direman polis untuk membantu siasatan, 19 didakwa di mahkamah dengan lima suspek didakwa atas tuduhan bunuh sementara 13 lagi didakwa atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan. Sepanjang prosiding berlangsung dari 10 November 2017 hinggalah 31 Julai 2019, Zulkarnain sekeluarga berada di barisan pertama galeri awam.

Sementara orang di sekeliling ialah sebahagian keluarga 19 suspek di mana ada yang tunduk malu dan ada juga yang cuba memberi semangat kepada anak-anak mereka. Zulkarnain mengakui ibu bapa dua daripada kumpulan suspek ada memohon maaf dengannya tetapi dia membalas, “Apakah permohonan maaf kamu itu dapat mengembalikan anak saya?”

Semasa prosiding, terlalu banyak cerita kurang enak termasuk kronologi peristiwa dera ini berlaku yang menghibakan sesiapa saja yang mendengarnya. Apabila saksi pendakwaan ke-24, Ahmad Senabil Mohamad melakonkan semula penderaan yang dibuat suspek terhadap mangsa termasuk menekap seterika terhadap Allahyarham semasa prosiding perbcaraan, kedengaran suara-suara perlahan yang beristighfar di kamar mahkamah kerana tidak percaya dengan apa yang berlaku. Bagi Zulkarnain dan Hawa, prosiding perbicaraan merupakan tempat bagi mereka mencari kebenaran dan mengetahui apa yang sebenarnya berlaku pada minggu kematian Allahyarham.

31 Julai 2019 merupakan satu tarikh yang dinanti semua pihak terutama keluarga mangsa yang mahukan keadilan. Hari itu menyaksikan Hakim Datuk Azman Abdullah membuat penghakiman 18 daripada 19 tertuduh diperintah bela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan unsur prima facie pada akhir sesi pendakwaan.

Enam tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Sementara 12 lagi tertuduh didakwa di bawah Seksyen 330 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Seorang tertuduh, Muhammad Akmal Akif Alias dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan. Selepas mendengar penghakiman hakim, Zulkarnain melakukan sujud syukur di luar kamar mahkamah dan memanjat kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi. Bila ditanya apa perasaannya, dia berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang berdoa agar kematian Allahyarham terbela. Hakim menetapkan 2 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri semua tertuduh.

RUJUKAN:

1. Bernama. (2018). Kaki, tangan Zulfarhan Osman diikat, sebelum ditekap seterika – Saksi. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kaki-tangan-zulfarhan-osman-diikat-sebelum-ditekap-seterika-saksi-179151

2. Raslan, Karim. (2017). Ceritalah ASEAN – Suatu tragedi Malaysia: Kematian kadet Zulfarhan Osman. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ceritalah-asean-suatu-tragedi-malaysia-kematian-kadet-zulfarhan-osman-160960

3. Abdullah, Madiha. (2019). Kes bunuh Zulfarhan: 18 diarah bela diri, seorang dibebaskan. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kes-bunuh-zulfarhan-18-diarah-bela-diri-seorang-dibebaskan-213801


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.