Asia Tenggara pernah menyaksikan beberapa pelumba kereta berkecimpung dengan Formula 1 (F1). Siapa tidak kenal Alex Yoong, satu-satunya pemandu Malaysia yang pernah berlumba bersama Minardi (kini Toro Rosso) selama dua musim.

Ini disusuli pula oleh Rio Haryanto yang pernah berlumba sebanyak 12 kali bersama Manor Racing pada tahun 2016. Kini giliran Alexander Albon, seorang pelumba Thai kelahiran British mewarnai perlumbaan F1 untuk tahun hadapan. Tetapi kelibat Putera Birabongse Bhanudej Bhanubandh, seorang anggota kerabat diraja Thailand bertanggungjawab menyediakan asas kepada Yoong, Haryanto dan Albon hari ini.

Figure 1: Putera yang menjadi tumpuan artikel ini

Nenda baginda ialah Raja Mongkut, raja keempat dari Dinasti Chakri yang memerintah dari 1851 hinggalah 1868. Baginda sudah kehilangan ayahanda dan bondanya semasa kecil, satu perkara yang mendorong keluarga diraja menghantarnya ke England di bawah pemantauan sepupu merangkap mentor, Putera Chula Chakrabongse.

Seperti Bira, Chula juga menetap di Britain dan bondanya merupakan seorang wanita Ukraine. Semasa mudanya, baginda pernah menetap di Rusia sebelum berpindah ke England untuk menyambung pelajaran di Harrow. Pada tahun 1938, dua sepupu ini berkahwin dengan dua wanita Inggeris: Ceril Heycock (Bira) dan Elizabeth Hunter (Chula). Walaupun mereka berbangga dengan darah diraja Thai, kedua-duanya menerima budaya barat dan bergaul dengan anggota masyarakat kelas atasan ketika itu.

Melalui pergaulan dengan masyarakat Inggeris ini juga yang memutikkan perasaan cinta baginda terhadap dunia permotoran. Minat tersebut dikatakan bermula apabila Bira duduk di pangkuan pemandunya semasa kecil dan mengawal stereng kereta ketika mengelilingi taman diraja. Tetapi di England, cinta tersebut bertukar menjadi minat yang mendalam.

Dan sebaik berpeluang mendapat kereta yang dimahukannya, ini yang mendorong Bira berlumba bersama pelumba-pelumba lain di litar-litar seluruh negara. Minat ini turut disokong oleh Chula yang turut berperanan sebagai pengurus kariernya dan menyalurkan dana dari keluarga diraja Thai untuk membiayai minat sepupunya itu.

Mereka berdua bersama-sama menubuhkan sebuah pasukan yang dipanggil White Mouse Stable dan beroperasi di Hammersmith. Walaupun nama yang digunakan merujuk kepada warna putih, tetapi warna kereta mereka sebenarnya berwarna biru langit. Warna ini dikatakan dipilih sebagai tanda penghormatan Bira kepada seorang wanita yang pernah diminatinya dahulu tetapi kemudiannya dikenali sebagai biru Bira. Dengan rupa yang tampan, tidak hairanlah mengapa baginda kelihatan bergaya dengan sut perlumbaan berwarna biru dan kain sapu tangan bercorak tompok.

Sebelum Perang Dunia Kedua (WWII) meletus, Bira merupakan antara pelumba terbaik ketika itu. Pada tahun 1935 iaitu tahun pertamanya sebagai pelumba, baginda berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua semasa perlumbaan di Dieppe dan Berne. Ini disusuli pula kemenangan dalam perlumbaan Coupe Prince Rainier – perlumbaan sokongan Grand Prix Monaco, Trofi Antarabangsa JCC, Grand Prix de Picardie dan Albi Grand Prix. Pada tahun 1937, dua sepupu itu terlebih belanja semasa membina kereta lumba sehingga akhirnya menjejaskan kempennya di luar Britain. Ini memaksa mereka fokus kepada perlumbaan di Britain pada tahun 1938 tetapi ia turut membawa kepada beberapa kemenangan yang digondol oleh Bira.

Selepas WWII meletus akibat insiden tembakan artileri di Danzig, semua bentuk perlumbaan terpaksa dihentikan dan ini termasuk karier Bira. Selepas perang tamat, baginda kembali semula ke litar tetapi suasananya pada ketika itu berbeza. Pelumba-pelumba yang bersaing dengan baginda datang dari generasi yang hampir-hampir mati semasa perang dan kini mencari minat baru yang boleh menaikkan tahap adrenalin mereka.

Dan dengan situasi perang, duit juga hampir pasti tiada untuk membiayai karier yang dianggap mahal ini. Ini ditambah pertelingkahannya dengan Chula semasa mereka berada di Cornwall pada tahun-tahun perang turut menjejaskan kedudukannya. Sepupu yang dikasihinya itu mangkat pada usia 55 tahun akibat kanser pada tahun 1963.

Walau bagaimanapun, ia masih tidak menjejaskan statusnya sebagai legenda. Bira menempa nama dalam sejarah F1 atau lebih tepat litar Silverstone. Dalam perlumbaan tahun 1950 itu, baginda berjaya mendapat tempat kelima semasa kelayakan tetapi terpaksa bersara pada pusingan ke-49 akibat kehabisan minyak.

Namanya kerap menghiasi musim F1 dari tahun 1950 hingga 1954 di mana pernah menduduki tempat kelima di sesetengah perlumbaan dan pernah memenangi Trofi Richmond (1951) serta Grand Prix des Frontieres. Tetapi nama White House Stable tinggal kenangan kerana pada ketika itu, baginda berlumba bersama beberapa pasukan lain. Bira akhirnya bersara pada tahun 1954 tetapi membuktikan masih berupaya berlumba sehingga ke garisan penamat.

Figure 2: Putera Bira semasa berlumba di Silverstone. Kredit: http://en.espn.co.uk/f1/motorsport/image/29857.html

Apa yang dicapai Bira pada ketika itu merupakan sesuatu yang dianggap luar biasa dan membanggakan. Perlu diingat, pada ketika itu, perlumbaan F1 banyak didominasi pelumba-pelumba Eropah. Hanya dua pelumba bukan Eropah saja yang menyertai mereka iaitu Bira dan legenda juara F1 dari Argentina, Juan Manuel Fangio. Pada ketika itu juga, tiada kelibat pemandu Asia menyertai perlumbaan berkenaan dan ia akan mengambil masa 26 tahun sebelum pelumba Jepun pertama menyertai dunia permotoran. Pada tahun 2001, rekod Bira sebagai satu-satunya pelumba F1 dari Asia Tenggara akhirnya dipecahkan oleh Alex Yoong yang menggantikan kelibat Tarso Marques dari Minardi.

Figure 3: Selain Bira, Juan Manuel Fangio merupakan pelumba bukan Eropah dari Amerika Selatan yang berlumba dalam perlumbaan F1.

Walaupun baginda sudah tidak berkecimpung dalam dunia perlumbaan, Bira masih belum puas dengan dunia sukan. Baginda mula menceburi sukan perlayaran dan menjadi wakil pasukan kebangsaan semasa Sukan Olimpik 1956 di Melbourne, Rome (1960), Tokyo (1964) dan Munich (1972). Bira juga pernah menceburi dunia korporat tetapi mengakui dalam satu temubual, baginda lebih berkemahiran sebagai pelumba di litar berbanding sebagai ahli perniagaan. Baginda pernah berkahwin sebanyak enam kali dengan Ceril dikahwini semula pada tahun-tahun terakhir kehidupannya.

Pada tahun 1985, dua hari sebelum Krismas, baginda jatuh pengsan dan mangkat di stesen keretapi bawah tanah Barons Court, London akibat sakit jantung. Pada awalnya, usaha mengenalpasti Bira gagal kerana baginda tidak membawa sebarang dokumen yang menunjukkan identiti sebenarnya. Bagaimanapun, Polis Metropolitan menemui sehelai nota mengandungi tulisan baginda dalam Bahasa Thai.

Tetapi disebabkan tiada pakar yang mampu menafsirkannya, mereka menghantar nota tersebut ke Universiti London untuk analisis. Hasil analisis mengesahkan ia sebenarnya nota tulisan tangan Bira dan bila kedutaan Thailand dihubungi untuk mengesahkan identiti baginda, mereka segera mengesahkan inilah putera raja Thai yang menjadi legenda dalam dunia F1. Baginda dimakamkan di barat daya London, satu ironi kerana pelumba Thai yang menyambung legasi baginda Albon turut berasal dari situ.

RUJUKAN:

1. BBC. (2018). The Prince And I: The story of the last Thai F1 driver. https://www.bbc.com/sport/formula1/46344810

2. Weeks, Jim. (2016). Sports.Vice.com. The Life and Death of Formula 1’s Pioneering Prince. https://sports.vice.com/en_au/article/3d3z85/the-life-and-death-of-formula-1s-pioneering-prince


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.