Jumaat, 9 Oktober 20269 Okt 2026
Kronikel Dunia

Cabaran Jepun Mengatasi Masalah Populasi

Isu
kahwin lambat bukan satu isu baru dalam masyarakat hari ini. Di Malaysia
sendiri, gelaran-gelaran seperti andartu (anak dara tua), andalusia (anak dara
lanjut usia) dan bujang terlajak dibaling kepada individu-individu yang masih
belum berkahwin atau lambat berkahwin. Tetapi di Jepun, ia merupakan satu
masalah serius dengan semakin sedikit rakyatnya memilih untuk berkahwin dan
memiliki anak. Bagi kelompok akademik, situasi ini dianggap bom masa demografik
Jepun.

Berdasarkan
kajian yang dikeluarkan Institut Kajian Populasi dan Keselamatan Sosial
Kebangsaan pada tahun 2015, kadar kelahiran tahunan Jepun dijangka menurun dari
742,000 (2040) kepada 557,000 (2065) dan 315,000 (2115). Jika melihat penurunan
kadar ini dari tahun 2015 kepada 2020, ia boleh diterjemahkan kepada penurunan
100,000 kelahiran dalam tempoh lima tahun berkenaan. Melihat kepada penurunan
kadar kelahiran dan bilangan warga emas yang semakin bertambah di Jepun, maka
tidak hairanlah mengapa situasi ini membimbangkan Tokyo.

Sekarang,
mari kita beralih pula kepada statistik warganya yang mahu berkahwin. Satu
kajian yang dibuat Meiji Yasuda Life Insurance pada tahun 2016 mendedahkan
penurunan bilangan lelaki Jepun yang berumur 20 tahun ke atas yang mahu
berkahwin dari 67.1% (2013) kepada 38.7% pada tahun 2016. Sementara bilangan
wanita dalam kumpulan umur sama juga turut menunjukkan kemerosotan dari 82.2%
(2013) kepada 59% (2016). Bilangan ini sekaligus menunjukkan isu kahwin lewat di
Jepun merupakan satu isu yang tidak boleh dipandang remeh.

Jadi
kenapa ramai warga negara Matahari Terbit ini berkahwin lewat? Bagi wanita
Jepun, secara tradisonalnya mereka berkehendakkan bakal suami sempurna yang
mempunyai kriteria ini iaitu pencapaian akademik yang baik, ketinggian fizikal
dan pendapatan tinggi. Tetapi seiring dengan isu deflasi yang melanda negara
itu, ramai wanita mahukan lelaki yang mempunyai pendapatan stabil bagi
menampung kehidupan berumahtangga. Laporan sama mendedahkan lebih daripada
separuh responden wanita mahukan pasangan mereka mempunyai pendapatan tahunan
sekurang-kurangnya empat juta yen ($38,270 setahun). Tetapi hanya 15.2%
responden lelaki sahaja yang mempunyai pendapatan sedemikian.

Pensyarah
media dan komunikasi Universiti Hokkaido Bunkyo Makoto Watanabe berpandangan
wujud beberapa faktor yang mendorong orang Jepun enggan berkahwin atau
berkahwin lambat. Satu daripadanya ialah isu kestabilan ekonomi mereka.
Watanabe berkata, “Ramai orang mahu berkahwin tetapi mereka tidak berkemampuan
menerima tanggungjawab menguruskan kewangan rumahtangga. Satu daripada tiga
orang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tiada jaminan pekerjaan, jadi mereka
melihat ini sebagai satu tekanan yang tidak pasti dan menjustifikasikan sebab
untuk tidak berkahwin.” Beliau turut menceritakan keinginannya untuk berkahwin
pada usia 30-an tetapi tidak dapat berbuat demikian atas sebab kedudukan
kewangan dirinya yang tidak stabil ketika itu. Kini pada usia 41 tahun,
Watanabe bimbang peluangnya untuk bertemu jodoh juga semakin berkurangan.

Selain
status ekonomi individu, generasi muda Jepun menikmati kebebasan peribadi
mereka seperti tekanan sosial untuk berumahtangga. Watanabe menambah, “Generasi
muda hari ini tidak melihat ia sebagai satu tanggungjawab utama dalam
kehidupan.” Jepun juga turut menyaksikan perubahan sikap dalam kalangan jantina
hari ini. Bagi golongan wanita, kelompok akademik menggelar sesetengah daripada
mereka karnivor kerana mendahulukan pekerjaan dan kehendak mereka sendiri
berbanding keperluan membentuk sebuah keluarga. Sementara golongan lelaki pula
digelar herbivor kerana mereka dilihat sanggup bertahan dalam pekerjaan mereka
walaupun tidak gembira dan kurang mendominasi kaum Hawa.

Di
sebalik semua ini, ini bukan bermakna orang Jepun sudah tidak percaya kepada
keajaiban cinta dan keindahan perkahwinan. Hakikatnya, mereka masih mencuba
mencari pasangan ideal sebagai teman hidup mereka. Shiho, seorang doktor wanita
berusia 38 tahun mengakui jadual kerjanya yang mencabar menyukarkan usahanya
mencari teman hidup. Dia berkata, “Saya terlalu sibuk dengan kerja saya
menyebabkan saya kurang berpeluang bertemu dengan orang lain. Saya masih
berharap dapat bertemu dengan orang yang padan tetapi saya dapat rasakan ia
semakin sukar untuk dilakukan.” Shiho menambah dia tidak akan mendiskriminasi
lelaki yang mempunyai pendapatan kurang daripadanya tetapi mencari lelaki yang
berkongsi minat dan latar belakang yang sama.

Situasi
ini menyebabkan ada yang bersedia menerima perkahwinan yang diatur atau omiai
dalam Bahasa Jepun. Walaupun sudah perubahan mentaliti di mana masyarakat
menerima pasangan yang berkahwin atas dasar cinta tetapi 5-6% masih bersedia
memilih omiai untuk membina keluarga. Selalunya pada masa dahulu, perkahwinan
sebegini diatur oleh ahli keluarga dan membabitkan rundingan untuk
menjayakannya dari isu kewangan hinggalah kesesuaian calon yang dicanang.
Tetapi peranan itu kini diambil alih oleh agensi cari jodoh. Di Jepun,
mana-mana individu yang memilih agensi ini perlu mengisi profil dan melihat
siapa lelaki/wanita bujang dalam senarai agensi. Selalunya perkara ini
dilakukan oleh ahli keluarga terutama ibu individu tersebut.

Dari
situ, agensi akan mengaturkan pertemuan pertama antara uda dan dara ini. Mereka
ini akan ditemani oleh ahli keluarga mereka semasa pertemuan pertama itu kerana
ini bukan saja memudahkan mereka mengenali bakal pasangan tetapi juga mengenali
bakal keluarga mentua/besan. Selepas pertemuan itu, individu itu boleh memilih
sama ada menolak atau bersedia untuk bertemu beberapa kali lagi. Jika si
uda/dara memilih meneruskan, maka beberapa pertemuan akan diadakan bagi mereka
saling mengenali sebelum upacara perkahwinan diadakan beberapa minggu atau
bulan selepas proses dijalankan. Nampak singkat tetapi ada sebab tempoh sebegini
dipilih. Agensi-agensi cari jodoh sememangnya diketahui mengenakan kos yang
mahal terutama dalam meletakkan profil lelaki/wanita bujang dalam senarai
mereka.

Jika
agensi sebegini tidak menjadi pilihan, warga Jepun mempunyai alternatif iaitu Zenkoku
Nakodo Rengokai atau Persatuan Cari Jodoh Kebangsaan. Persatuan ini masih
berpegang kepada kaedah tradisional di mana mereka memberi nasihat kepada klien
bagaimana hendak menarik lelaki/wanita idaman hati. Selain itu, mereka turut
bekerjasama dengan klien untuk memilih senarai lelaki/wanita yang mereka minat
untuk bertemu. Dan bagi pendukung omiai, ada satu berita baik. Tidak seperti
dicanang sesetengah orang, kadar perceraian omiai sebenarnya jauh lebih rendah
berbanding kadar perceraian pasangan yang berkahwin atas dasar cinta.

Walaupun
isu penurunan kelahiran ini membimbangkan Tokyo, isu itu langsung tidak
menggugat pasangan-pasangan yang berkahwin pada usia 40-an dan 50-an. Pada
tahun 2015, 2,950 lelaki berusia 50-54 tahun berkahwin buat kali pertama dengan
1,169 wanita kumpulan umur sama turut melakukannya. Mereka ini berkahwin bukan
saja atas dasar mengejar hubungan romantik tetapi juga sebagai penyokong emosi
antara satu sama lain atau memberi nilai tambah dalam perkahwinan itu sendiri.

Tetapi
jika Tokyo benar-benar serius menangani isu kahwin lewat dan penurunan kadar
kelahiran ini, Jepun perlu mempertimbang keperluan insentif kewangan untuk
menggalakkan ibu bapa mendapatkan anak-anak. Cadangan ini diutarakan oleh
Profesor Akihiko Kato dari Universiti Meiji dengan melihat kepada insentif
kewangan yang ditawarkan Jerman. Hasilnya, negara itu sedang mengalami
pertumbuhan kelahiran bayi yang pesat terutama membabitkan keluarga imigran.
Walaupun insentif sebegini dikritik sesetengah pihak sebagai membazir tetapi ia
amat membantu ramai orang termasuk pasangan muda di mana kedudukan kewangannya
yang tidak stabil.

Atas sebab itulah, Perdana Menteri Shinzo Abe cuba menangani isu ini dengan berjanji akan mewujudkan 400,000 pusat jagaan harian kanak-kanak dan menambah lagi elaun anak-anak. Sementara bandar kecil Urayasu pula bersedia menampung 80% kos pembekuan telur dengan tujuan menggalakkan lebih ramai ibu bapa melahirkan anak.

Program ini terbuka kepada wanita yang layak berusia 24 hingga 35 tahun dengan 20% kos berharga $2,000 dibayar kepada program ini. Sementara bandar kecil Nagi pula menawarkan lebih banyak insentif seperti pemilikan tanah pada harga murah, bonus 1,000 euro bagi anak pertama dan 1,500 euro bagi anak kedua. Selain itu, bandar berkenaan turut menawarkan perkhidmatan penjagaan dan kesihatan kanak-kanak secara percuma. Walaupun kos insentif ini berjumlah 900,000 euro, tetapi bagi Datuk Bandar Nagi Yoshitaka Kasagi, ia amat berbaloi kerana kanak-kanak ini merupakan generasi seterusnya bagi bandar berkenaan.

RUJUKAN:

1.
Kato, Akihiko. (2018). Universiti Meiji. Declining marriage and ever-increasing
childlessness – Japan’s future will be lost if nothing is done. https://www.meiji.ac.jp/cip/english/research/opinion/Akihiko_Kato.html

2.
Halasz, Gabor. (2015). DW.com. Japanese town offers incentives to have more
kids. https://www.dw.com/en/japanese-town-offers-incentives-to-have-more-kids/av-43834362

3.
JapanInfo.com. (2015). Omiai: The Culture of Arranged Marriage in Japan. https://jpninfo.com/36254

4.
Ryall, Julian. (2016). DW.com. Why fewer Japanese are seeking marriage. https://www.dw.com/en/why-fewer-japanese-are-seeking-marriage/a-19349576

5.
South China Morning Post. (2016). Japanese city offers cash incentives to women
to have more babies. https://www.scmp.com/news/asia/east-asia/article/1978487/japanese-city-offers-cash-incentives-women-have-more-babies

6.
Today Online. (2017). When it comes to marriage, more Japanese say better late
than never. https://www.todayonline.com/world/asia/when-it-comes-marriage-more-japanese-say-better-late-never

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet