Telefon pintar sekarang ini boleh dianggap sebagai teman rapat manusia. Hampir kebanyakan aktiviti manusia dilakukan di hujung jari, termasuklah berkomunikasi, mencari maklumat, berhibur dan lain-lain. Bahkan artikel ini pun dibaca menggunakan telefon pintar di tangan anda.
Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Nielsen Informate Mobile Insights, rata-rata pengguna menghabiskan masa lebih 3 jam di telefon pintar mereka. Tempoh penggunaan ini sudah pasti mengurangkan kadar bateri telefon. Jadi, mahu tidak mahu, telefon pintar hendaklah dicas semula bagi mengembalikan kuasanya.
Bagi mereka yang kerap berada di rumah, tidak ada masalah, tinggal sambungkan telefon pada pengecas. Tapi, macam mana pula dengan mereka yang kerap mengembara? Lebih-lebih lagi, sekarang, musim balik kampung, perjalanannya pula mengambil masa yang panjang. Manalah tahu, dalam perjalanan, ada masalah berlaku, dan terpaksa buat panggilan yang penting terutamanya panggilan kecemasan. Pada masa yang sama pula, bateri telefon sedang nazak.
Dalam situasi sebegini, power banklah, yang menjadi penyelamat membekalkan kuasa kepada telefon yang sedang nyawa-nyawa ikan. Cirinya yang mudah dibawa ke mana-mana dan mampu menyimpan kapasiti bateri yang besar menjadikannya pilihan ramai.
TULEN VS TIRUAN: MEMBEZAKANNYA UNTUK MENDAPATKAN YANG TULEN
Namun begitu, dengan kepesatan teknologi yang ada kini, bukan saja peranti atau peralatan elektronik menjadi semakin canggih, bahkan produk-produk tiruan juga semakin bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Lambakan produk tiruan, contohnya power bank menimbulkan kekeliruan kepada pengguna ketika membelinya. Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati, saya kongsikan kepada anda beberapa tip untuk membezakan antara yang tulen dengan tiruan sehingga anda berjaya mendapatkan power bank yang tulen.
Langkah pertama sebelum anda membeli power bank adalah dengan merujuk laman web pengeluar power bank yang terkemuka. Antara produk power bank terkemuka di pasaran Malaysia yang boleh saya senaraikan ialah Pineng, Pisen, Xiaomi, Aukey dan Anker.**
**mungkin ada jenama lain yang saya terlepas pandang, boleh kongsikan di ruang komen
Tujuan merujuk laman web tersebut adalah untuk menyemak dan mendapatkan maklumat power bank dari segi kod produk, kapasiti bateri dan harga.
Di bawah ini, saya cuba ringkaskan perbezaan yang dapat dilihat antara tulen dan tiruan dari ketiga-tiga aspek yang saya sorotkan (highlight) sebelum ini.
- Kod produk
Perkara pertama yang anda perhatikan ketika menelusuri laman web power bank, tentulah senarai produk yang ditawarkan. Tetapi jangan lupa perhatikan sekali kod produk di sebelahnya.
Kenapa kod ini penting? Jawapannya, ada sesetengah power bank di pasaran meskipun memiliki nama yang serupa dengan yang tulen namun kodnya pula berbeza. Jadi, jika kod itu tidak disenaraikan pada laman web produk yang tulen maka tentu-tentunya ia adalah tiruan.
- Kapasiti bateri
Selain kod, kapasiti bateri yang dipaparkan juga perlu diberi perhatian. Sesetengah produk tiruan bagi mengelakkannya dikesan, kodnya turut meniru yang tulen. Namun, apabila melihat dari segi kapasiti baterinya, ia berlainan.
Dalam aspek ini juga, kebiasaanya produk tulen menawarkan kapasiti bateri sebanyak 5 ribu, 6 ribu, 10 ribu, 15 ribu, dan 20 ribu mAH. Manakala produk tiruan, kebiasaannya mereka menawarkan kapasiti bateri yang terlalu rendah atau terlalu tinggi seperti 1 ribu, 3 ribu atau 30 ribu mAH. Jika kapasiti bateri yang anda jumpai berlainan dengan kebiasaan yang tulen, berkemungkinan produk itu tiruan. Apa-apa pun, pastikan rujuk pada laman web pengeluar.
- Harga
Aspek harga tidak terkecuali untuk diperhatikan secara teliti kerana kebanyakan pembeli mudah terpedaya dengan harga yang begitu murah sehinggakan terbeli produk yang tiruan.
Power bank yang tulen biasanya dijual pada harga yang sepadan dengan kapasiti baterinya manakala yang tiruan pula dijual dengan harga terlalu murah. Sebagai contoh, untuk power bank berkapasiti 20 ribu mAH, yang tulen biasanya dijual dalam lingkungan harga RM50 ke atas dan tiruan dalam harga RM20.
Perbezaan harga yang jauh adalah kerana produk tiruan dikilangkan dengan kos yang rendah dan bahan yang tidak berkualiti.
Ringkasnya, langkah merujuk laman web pengeluar ini amatlah berguna ketika membeli power bank lebih-lebih lagi melalui kedai atas talian seperti Shopee dan Lazada.
Bagi mereka yang memilih kedai bukan atas talian, mereka berpeluang untuk membelek-belek power bank sebelum melakukan pembelian. Oleh itu, berikut aspek yang perlu diambil kira.
- Bahan pembuatan
Ketika membelek-belek power bank, perhatikan secara teliti pada bahan yang digunakan.
Pertama, dari segi luaran iaitu bahan kerangka penutup, produk tulen diperbuat daripada bahan plastik yang berkualiti seperti ABS dan PVC manakala produk tiruan hanya berkerangkakan plastik yang murah dan nipis menyebabkannya tidak selesa digenggam juga panas ketika dicas.
- Berat power bank
Setelah melihat kepada luaran power bank, pasti anda ingin tahu isi dalamannya. Tapi sayangnya, anda tidak dibenarkan mengumpil. Oleh itu, cara mudah untuk mengetahui isi dalamannya adalah dengan merasakan berat power bank.
Produk tiruan terasa ringan ketika digenggam berbanding produk tulen kerana isi dalamannya hanyalah litar mudah dan beberapa plat besi atau kampit kecil pasir berperanan sebagai pemberat.
- Pembungkusan
Sambil-sambil membelek power bank, anda disarankan untuk melihat pembungkusannya sekali.
Power bank yang tulen dibungkus dengan rapi di dalam kotak yang premium manakala yang tiruan hanya dibungkus ala kadar di dalam kotak yang murah dengan warna pudar yang tidak menarik, bahkan perkataan dan keterangan padanya tidak jelas atau mempunyai banyak kesalahan ejaan.
Selain itu, sesetengah pengeluar meletakkan pelekat pengesahan yang mempunyai lapisan perak pada kotak pembungkusan mereka. Pembeli perlu menggores lapisan tersebut dan memasukkan nombor siri di laman web pengesahan disediakan oleh pengeluar. Jika nombor siri disahkan wujud dalam pangkalan data, ia adalah tulen manakala sebaliknya, ia adalah tiruan.
Selain itu, aspek umum lain yang perlu dititikberatkan ketika membeli power bank tidak kira sama ada melalui kedai atas talian atau bukan ialah:
- Surat keizinan penjualan
Anda boleh meminta peniaga atau pengedar power bank untuk memaparkan surat keizinan penjualan dari syarikat pengeluar. Ini bagi membuktikan mereka menjual produk yang sah dan tulen.
Kegagalan mereka berbuat demikian memberikan isyarat mereka menjual produk yang tiruan.
- Tempoh jaminan
Peniaga atau pengedar power bank yang tulen memberikan tempoh jaminan selama setahun atau mungkin lebih kepada pembeli. Berbeza denngan produk yang tiruan, peniaga tidak mampu menawarkan tempoh jaminan yang panjang iaitu kira-kira hanya 1-3 bulan kerana mereka ingin melepaskan diri daripada tanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa kerosakan.
KENAPA KENA BELI POWER BANK TULEN?
Saranan untuk membeli power bank tulen bukan semata-mata soal memerangi produk tiruan yang melanggar hak cipta ataupun mengelakkan kerugian, tapi ia lebih kepada isu keselamatan.
Power bank yang tulen mempunyai system perlindungan litar yang lengkap supaya jangka hidup power bank lebih lama atau mengelakkan kemalangan litar pintas atau lebih teruk lagi, letupan daripada berlaku. Antara system perlindungan tersebut ialah perlindungan cas berlebihan, voltan berlebihan, discas berlebihan, suhu dan haba.
Power bank tiruan pula tidak mempunyai system sebegitu. Ini mengakibatkan beberapa impak buruk seperti:
(1) Power bank mengambil masa terlalu lama untuk dicas. Contoh: sehingga 24 jam
(2) Power bank hanya boleh mengecas sesebuah peranti sebanyak satu atau dua kali sahaja. Lebih teruk lagi, selepas itu ia terus tidak boleh digunakan.
(3) Power bank kehilangan banyak kuasa walaupun hanya dibiarkan beberapa ketika sahaja.
(4) Power bank tidak dapat digantikan dengan baru jika ada kerosakan kerana jaminan yang tidak sah atau terlalu singkat
(5) Power bank meletup atau meledak. Ini ialah impak yang paling buruk, boleh menjejaskan keselamatan anda.
AGAR POWER BANK LEBIH TAHAN LAMA: TIP JAGAAN
Untuk memastikan power bank tahan lama, tidak cukup sekadar hanya membeli produknya yang tulen sahaja tetapi cara penjagaannya juga perlu dipandang berat.
Berikut tip mudah untuk menjaganya supaya ia dapat digunakan dalam tempoh yang lama:
(1) Jangan biarkan power bank tidak digunakan dalam tempoh yang lama.
Sebab: Ini boleh menyebabkan bateri di dalam power bank discaj (mengalir keluar) dan memendekkan jangka hidup power bank anda.
(2) Jangan cas power bank terlalu lama atau sekejap.
Sebab: Mengelakkan cas berlebihan (overcharge) atau gangguan litar.
(3) Elakkan power bank daripada kerap terjatuh
Sebab: Mengelakkan gangguan litar dan bateri akibat hentakan.
(4) Jauhkan power bank daripada air (percikan, tumpahan, tenggelam)
Sebab: Mencegah kerosakan litar dan pengaratan.
(5) Tidak meletakkan power bank dalam ruangan yang terlalu kedap contohnya di dalam kereta atau di bawah cahaya matahari
Sebab: Mengelakkan power bank memerangkap haba yang boleh menyebabkan letupan
6) Gunakan kabel pengecas yang tulen atau berpadanan dengan power bank
Sebab: Mengelakkan voltan berlebihan (overvoltage) dan kerosakan peranti (seperti ghost touch -skrin bergerak sendiri tanpa disentuh-)
PENUTUP
Sememangnya power bank menjadi keperluan kepada pengguna telefon pintar lebih-lebih lagi telefon mereka yang baterinya berkapasiti kecil. Oleh itu, bagi memenuhi keperluan inilah, saya kongsikan tip membeli dan menjaga power bank supaya anda berpuas hati ketika menggunakannya.
Saya harap anda berpuas hati dengan artikel pertama saya ini. Ucapan jutaan terima kasih kepada mereka yang sudi membaca artikel ini sehingga ke penghujungnya. Jangan lupa, untuk mengikuti akaun media social saya: Facebook dan Youtube serta tinggalkan pendapat dan tanggapan anda.
RUJUKAN
(1) 6 jenis pengguna telefon pintar di Malaysia, Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/node/110437
(2) Beware of Fakes, pineng.com: https://pineng.com.my/Beware-Of-Fakes
(3) Cara nak tahu powerbank Pineng original, sifupowerbank.com: https://sifupowerbank.com/cara-nak-tahu-powerbank-pineng-original/
(4) Genuine versus fake Xiaomi Mi Powerbank, powerbanktalk.com: https://www.powerbanktalk.com/genuine-versus-fake-xiaomi-mi-power-bank/
(5) Power bank maintenance tips, batteryscout.com: https://batteryscout.com/power-bank-maintenance-tips/
(6) Bagaimana powerbank boleh meletup, sifupowerbank.com: https://sifupowerbank.com/bagaimana-powerbank-boleh-meletup-2/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih