Bagi yang melihat konteks dunia hari ini, kaitan Amerika Syarikat dengan Muslim boleh diibaratkan seperti minyak dan air. Justeru, agak mustahil memikirkan bagaimana orang Islam boleh memberi impak kepada pembentukan negara Uncle Sam itu. Tetapi melihat kepada pembabitan orang Islam dalam tentera Amerika sepanjang lipatan sejarah mereka, ternyata ia bukan sahaja mengejutkan tetapi juga menarik.

Berdasarkan rekod rasmi Pentagon, 4,000 tentera merupakan tentera beragama Islam dengan 2,000 lagi merupakan askar simpanan atau sebagai Pengawal Kebangsaan. Dan bagi pihak tentera, penyertaan orang Islam sebagai tentera bukanlah sesuatu yang baru dan boleh dikesan sejauh Perang Kemerdekaan Amerika Syarikat. Salah seorang tentera beragama Islam yang pernah berkhidmat sebagai askar George Washington ialah seorang lelaki Arab dari Afrika Utara bernama Yusuf Ben Ali. Selain itu, sejarah turut menyaksikan mereka berkhidmat sama ada dengan Britain atau Amerika Syarikat semasa Perang 1812 dan Perang Saudara Amerika Syarikat (sama ada pihak Konfederasi atau Kesatuan).

Jika melihat sejarah Perang Dunia Pertama pula, lebih 5,000 tentera beragama Islam berkhidmat di bawah panji negara Uncle Sam. Nama Muhammad amat kerap didengari sehinggakan menurut rekod rasmi tentera, terdapat 41 cara untuk mengeja nama itu sahaja. Ini didedahkan oleh penulis ‘Muslim Veterans of American Wars’, Amir Muhammad yang juga pengasas bersama Muzium Warisan Islam di Washington D.C. Asal-usul mereka boleh dikesan dari banyak tempat dari Semenanjung Tanah Arab hinggalah Turki dan Maghribi. Selain Perang Dunia Pertama, mereka juga dikesan berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua, Perang Korea, Perang Vietnam, Perang Afghanistan dan Perang Iraq.

Tetapi itu tidak menghalang berlakunya diskriminasi ke atas mereka walaupun semasa berbakti kepada negara. Bagi veteran Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) Talib Shareef, perkara ini berlaku sepanjang perkhidmatannya bersama USAF selama 30 tahun merentasi lima kempen ketenteraan utama. Beliau bercerita, “Bila saya menyertai tentera, mereka tidak faham tentang solat, puasa atau kepentingan solat Jumaat. Kami terpaksa bersolat dalam stor kecil kerana tiada ruang solat untuk Muslim. Saya terpaksa berjuang untuk mendapatkan semua hak itu.” Bapa saudaranya merupakan seorang Marin dan penerima pingat Purple Heart semasa kempen di Vietnam. Sementara lima daripada enam anak Talib merupakan tentera sama ada sebagai tentera biasa, anggota USAF, anggota Marin atau Pengawal Kebangsaan. Hari ini, beliau merupakan seorang imam di Masjid Muhammad atau Masjid Negara di Washington D.C.

Sepanjang WWII, anggota tentera Muslim tidak mempunyai pilihan berkenaan singkatan pilihan agama mereka. Ini kerana pihak tentera ketika itu hanya membenarkan tag anjing yang ada abjad C (Roman Katolik), P (Protestan) dan J (Yahudi). Dan selama dua abad, mereka juga berjuang tanpa kelibat agamawan yang berperanan sebagai pembimbing spiritual, satu kelebihan yang dinikmati oleh tentera-tentera beragama lain. Kelebihan sebegitu hanya diraih pada tahun 1993 tetapi bilangan mereka masih sedikit. Selain itu, budaya ketenteraan yang tidak mementingkan agama lain termasuk Islam juga menyukarkan mereka melaksanakan rukun-rukun agama.

Bukti bagi isu ini ialah pengalaman seorang veteran bernama Sultan Muhammad yang berkhidmat dari tahun 1983 hingga 2015. Pada tahun 1998, beliau merupakan sebahagian daripada pasukan tentera Amerika yang dihantar ke Amerika Tengah untuk membantu kerja-kerja kemanusiaan pasca-Taufan Mitch yang meragut 20,000 nyawa penduduk di situ. Kebetulan pula, semasa beliau berada di sana, bulan Ramadan jatuh pada bulan Disember. Bagi askar-askar beragama Kristian, mereka boleh berkunjung ke gereja tetapi bagi tentera beragama Islam, mereka tiada tempat untuk beribadat. Sultan bercerita, “Kami ada bahan binaan jadi saya bertanya, ‘Bolehkah saya gunakan untuk bina sebuah pondok untuk beribadat?’ Respon mereka, ‘Maaf, tidak boleh. Ia akan digunakan untuk membina rusa kutub untuk pameran Krismas.’”

Selain itu, tidak ramai tahu ramai orang Islam menyertai tentera Amerika atas dasar cintakan negara lebih-lebih lagi selepas serangan 11 September. Pada mereka, itu merupakan manifestasi kesetiaan mereka terhadap negara Uncle Sam itu. Tetapi itu masih gagal membuang elemen kejahilan dan kebencian yang berakar dalam sesetengah anggota tentera. Keadaan ini juga tidak dibantu oleh beberapa insiden membabitkan Muslim yang terpengaruh dengan dakyah al-Qaeda atau Daish sejak beberapa tahun ini seperti insiden tembakan beramai-ramai yang dilakukan oleh Nidal Hassan. Dan ini mengakibatkan mereka bergelut bukan saja dengan konflik moral tetapi juga membabitkan isu mental seperti PTSD.

Melihat kepada semua ini, tidak hairanlah mengapa ramai memilih untuk tidak menyatakan agama sebenar mereka, satu perkara yang dilakukan tentera beragama Yahudi semasa WWII. Talib menganggarkan hanya satu pertiga Muslim saja yang mengisytiharkan agama mereka semasa berkhidmat dalam tentera. Pentagon juga turut mengakui tidak mempunyai rekod terperinci sama ada yang lama mahupun yang baru membabitkan tentera beragama Islam. Ini menyebabkan sejarawan-sejarawan tentera berhadapan kesukaran mencari dan terpaksa meneka berdasarkan nama. Dua yang dapat dikesan daripada rekod ialah Kapten Moses Osman, seorang pegawai beragama Islam yang paling tinggi pangkatnya semasa Perang Saudara atau Wilbur C. Islam yang mati semasa Perang Korea.

Begitu juga rekod tentera di Perkuburan Kebangsaan Arlington, satu tanah perkuburan khusus bagi anggota tentera yang terbunuh sejak era Perang Saudara lagi. Rekod rasmi mendedahkan pihak tentera tidak tahu bilangan sebenar tentera beragama Islam yang dikebumikan di situ dan tiada siapa yang berminat mengira batu nisan yang ada tanda bulan dan bintang. Berdasarkan rekod rasmi di Arlington, ada 14 tentera beragama Islam yang dikebumikan di situ tetapi bilangan mereka berkemungkinan jauh lebih ramai berbanding jumlah yang dinyatakan.

RUJUKAN:

Wright, Robin. (2016). Humayun Khan Isn’t the Only Muslim American Hero. The New Yorker. https://www.newyorker.com/news/news-desk/humayun-khan-isnt-the-only-muslim-american-hero


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.