Lebih seminggu yang lalu, sebuah syarikat pengeluar makanan telah melancarkan suatu produk roti canai sejukbeku terbaharu yang didakwa mempunyai kadar glisemik yang rendah dan mampu untuk mengatasi masalah obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun, di sebalik keterujaan masyarakat terhadap produk baru ini, tindakan yang dilakukan oleh syarikat pengeluar makanan tersebut sebenarnya telah menyalahi peraturan yang termaktub di dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang digunapakai di Malaysia.
Sebenarnya, sebelum isu roti canai yang menyihatkan ini timbul, telah banyak syarikat dan kilang pengeluar makanan lain turut membuat pelbagai dakwaan mengenai kehebatan produk makanan yang mereka hasilkan. Ada juga yang menggunakan nama agama dalam membuat dakwaan dan cuba menarik perhatian para pengguna melalui produk yang didakwa mampu untuk menyembuhkan pelbagai penyakit.
Melalui isu ini, jelaslah bahawa masih banyak pengeluar produk makanan yang tidak mengetahui mengenai peraturan-peraturan serta undang-undang yang harus dipatuhi dalam menghasilkan sesuatu produk makanan. Malah, di pihak pembeli juga, mereka seharusnya lebih peka dan mengambil tahu tentang hak-hak mereka sebagai seorang pengguna sebelum membeli dan menggunakan sesuatu produk makanan.
Apakah yang anda ketahui mengenai undang-undang yang berkaitan dengan bidang makanan ini? Tahukah anda bahawa setiap pengeluaran makanan, penghasilan makanan serta penjualan makanan itu sebenarnya dilindungi oleh undang-undang serta termaktub dalam akta yang tersendiri? Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai jenis undang-undang yang diwujudkan bagi melindungi pengeluaran dan penghasilan makanan serta hak yang dilindungi sebagai pengguna makanan. Secara umumnya, kewujudan undang-undang khusus di Malaysia yang berkaitan dengan bidang makanan ini adalah bertujuan untuk melindungi setiap pengguna makanan, mewujudkan keseragaman dalam penghasilan dan pengeluaran makanan serta memastikan kebersihan dan keselamatan setiap makanan yang dihasilkan.
Perundangan dalam bidang makanan di Malaysia
Pada dasarnya, undang-undang dan akta yang berkaitan dengan makanan dan minuman ini termasuk di dalam akta yang berkaitan dengan alam sekitar, namun jumlah undang-undang dan akta yang berkaitan dengan alam sekitar ini hanyalah sekitar 50 akta sahaja. Daripada jumlah ini, hanya sebahagian sahaja daripada akta-akta tersebut memfokuskan kepada bidang kesihatan persekitaran, termasuklah dalam bidang makanan. Ruang lingkup dan skop yang terdapat dalam bidang kesihatan persekitaran ini sangatlah luas, iaitu meliputi persekitaran kawasan tempat tinggal, bangunan, kemudahan awam, perumahan dan tempat tinggal, makanan dan minuman serta kesihatan masyarakat.
Secara khususnya, hanya sejumlah kecil sahaja akta dan undang-undang berkaitan dengan makanan yang telah diluluskan oleh parlimen dan digunapakai di Malaysia. Asas yang menjadi dasar kepada pembentukan kepada undang-undang yang berkaitan dengan makanan ini adalah semua perkara yang menyentuh mengenai kandungan dalam makanan, premis menjual makanan dan pengendali makanan. Terdapat juga perkara yang tidak disentuh secara langsung, namun termasuk di dalam perlindungan makanan, iaitu hal yang berkaitan dengan penyimpanan, pembungkusan, penghidangan dan cara mempamerkan makanan.
Akta Makanan 1983
Akta Makanan 1983 (Food Act 1983) merupakan undang-undang utama yang berfungsi untuk melindungi orang ramai terhadap bahaya yang wujud dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, dan juga mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Akta ini telah diwartakan pada 10 Mac 1983. Terdapat beberapa peraturan lain yang terkandung di dalam Akta Makanan 1983 ini, iaitu:
- Peraturan-Peraturan Makanan 1985
- Peraturan-Peraturan (Perluasan Pemakaian Akta Makanan 1983 bagi Tembakau dan Lain-lain) Makanan 1993
- Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
- Peraturan-Peraturan Makanan (Notis di Bawah Seksyen 32B) 2007
- Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009
- Peraturan-Peraturan Iradiasi Makanan 2011
Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 ini secara khususnya adalah undang-undang yang digubal bagi mengawal aktiviti berkaitan dengan pengeluaran makanan. Akta ini terbahagi kepada lima bahagian utama, iaitu yang berkaitan dengan aspek pentadbiran dan penguatkuasaan, jenis-jenis kesalahan dan keterangan, eksport, waranti dan pembelaan, serta perkara-perkara lain yang merangkumi pendakwaan, kuasa untuk mengenakan kompaun, perlindungan terhadap tindakan undang-undang, kuasa menggubal undang-undang, gantirugi dan sebagainya.
Akta Makanan 1983 ini adalah akta utama atau akta induk yang mengawalselia aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengiklanan dan perkara-perkara lain berkaitan bidang makanan dan minuman. Melalui seksyen-seksyen serta peruntukan yang terdapat di dalamnya, maka suatu standard khas telah ditetapkan berdasarkan setiap peruntukan tersebut, contohnya seperti Seksyen 15 dan 16 yang menetapkan peraturan khas bagi pelabelan makanan.
Undang-Undang Berkaitan Premis Makanan
Secara umumnya, melalui Akta Makanan 1983, terdapat satu peraturan khas yang menyentuh mengenai perjalanan dan penyelenggaraan premis makanan serta kehendak-kehendak am dan khusus sesebuah premis makanan, iaitu melalui Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Namun begitu, terdapat juga undang-undang kecil lain yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan dengan premis makanan atau kedai makan, contohnya:
- Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan
- Undang-Undang Kecil Penjaja
- Undang-Undang Kecil Kawalan dan Penyeliaan Tempat-Tempat Makan
Perkara yang diberi perhatian melalui dalam peraturan berkaitan dengan premis makanan ini ialah tapak premis makanan, lesen perniagaan bagi tapak premis, keadaan struktur premis dalam dan luar, serta pengurusan sampah sarap di dalam dan di luar persekitaran kawasan premis.
Seksyen-Seksyen Utama Berkaitan Kandungan dan Pelabelan Makanan
Dalam isu-isu yang dibangkitkan melalui media massa, kebanyakan daripada kesalahan yang dilakukan oleh para pengeluar makanan adalah berkaitan dengan kandungan makanan serta pelabelan yang digunakan pada makanan berkenaan. Akta Makanan 1983 (Akta 281) melalui Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah menetapkan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan sekiranya didapati makanan tersebut:
- mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan
- makanan yang tidak sesuai dimakan oleh manusia
- makanan yang diadukkan
Akta Makanan 1983 ada menyebutkan dua seksyen yang menyentuh mengenai kesalahan yang melibatkan pelabelan, iaitu Seksyen 15 dan Seksyen 16. Seksyen 15 ini menyentuh mengenai jika suatu standard telah ditetapkan bagi apa-apa makanan, maka standard itu hendaklah dinyatakan oleh orang yang membungkus, melabel atau mengiklankannya. Sekiranya makanan yang disediakan itu tidak menepati standard atau menyebabkan standard makanan itu dikelirukan, orang itu atau perbuatan sedemikian itu dikira telah melakukan suatu kesalahan. Manakala Seksyen 16 pula menyentuh mengenai kesalahan yang berkaitan dengan perbuatan memalsukan label atau pelabelan palsu.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, perundangan yang telah ditetapkan berkaitan dengan bidang makanan ini memberi pendedahan buat para pengguna mengenai semua isu yang menyentuh tentang makan, makanan dan pemilihan tempat makan. Undang- undang dan peraturan yang disediakan ini adalah untuk kebaikan pengguna, dan bukan untuk menimbulkan kesulitan kepada mana-mana pihak. Malah, pihak pengeluar dan syarikat penghasilan makanan juga haruslah bertanggungjawab dengan semua produk yang dihasilkan demi menjamin keselamatan dan kesihatan para pengguna.
Rujukan
Anis Shuhaiza, M. S., & Yusramizza, M. I. (2010). Pelabelan Makanan : Adakah Anda Usahawan yang Peka? Journal of Governance and Development, 6, 40–52.
Ramli, M. A. (2016). Penyalahgunaan Sunnah Nabi Dalam Pelabelan Dan Promosi Produk Halal.
Shamsuddin, S., Sakina, S. A. Y., Rahmah, I., Azimon, A. ., Muhammad Rizal, R., & Kartini, A. T. (2014). Kesihatan dan Keselamatan Makanan: Kesedaran Pengguna dan Peruntukan Perundangan. Kanun, 236–253.
Zainol, Z., Yahaya, R., Osman, J., & Omar, N. A. (2018). The Role of Nutrition Label among Malaysian Consumer : A Preliminary Review. International Journal of Academic Research in Business & Social Sciences, (July). https://doi.org/10.6007/IJARBSS/v8-i4/4143
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih