CERITA anak derhaka yang disumpah menjadi batu seperti cerita Malim Kundang dan Si Tanggang sememangnya antara sastera rakyat yang amat terkenal seanterio nusantara. Ianya juga turut memberi pengajaran kepada generasi muda agar jangan sama sekali melupakan kedua orangtua tatkala sudah disimbahi dengan kesenangan. Sentiasa ada maksud yang tersirat disebalik yang tersurat buat pedoman kita semua.
Dan bercerita dari aspek cerita anak derhaka ini tanpa kita sedari sebagai rakyat Malaysia ada satu penceritaan yang hampir sama cuma mungkin wataknya berbeza iaitu yang dikatakan mempunyai perkaitan dengan kewujudan sebuah pulau yang terletak nun di Pitas, Sabah. Pulau itu dinamakan Pulau Supirak yang mana merupakan kawasan tarikan pelancong di kawasan tersebut kerana rupabentuknya seperti sebuah kapal.
Al-sahibul hikayat diceritakan suatu waktu dahulu di sebuah perkampungan yang dinamakan Kampung Kougun tinggal sepasang suami isteri. Oleh kerana perkampungan mereka terletak di tepi laut maka sudah menjadi lumrah dahulukala mata pencarian utama mereka adalah sebagai nelayan. Pada suatu hari, si suami yang keluar ke laut telah hilang. Si isteri yang bernama Supirak pula yang sedang berbadan dua tetap sabar menunggu suami di tepian pantai setiap hari. Hari berganti bulan dan seterusnya genaplah sembilan bulan kandungan Supirak dan apalah nasibnya terpaksa mengharungi penghidupan tanpa suami.
Menempuhi penghidupan ala kadar, Supirak membesarkan cahayamatanya yang dinamakan Ragam sendirian dan ternyata kegigihan serta berkat tunjuk ajar dari ibu yang baik menjadikan Ragam tampil sebagai pemuda yang kuat bekerja dan sentiasa mendahulukan ibunya Supirak di dalam serba serbi. Dari hanya pondok buruk tempat berteduh dari panas mentari dan hujan, Ragam mampu membina dengan tulang empat keratnya sebuah rumah yang sederhana di kawasan yang dinamakan Torong Puteh.
Dek kerana fobia dengan dunia lautan kerana suaminya “hilang” begitu sahaja ditelan air laut membuatkan Supirak, si ibu tidak pernah membenarkan anak tunggalnya menjadi nelayan. Akur dengan permintaan ibunya maka dikatakan Ragam hanya bekerja kampung sahaja seperti mencari kayu api, membina rumah dan sebagainya. Namun jauh disudut hati Ragam sebenarnya masih lagi diulit untuk menjelajah dunia lautan seperti ayahnya tetapi disimpan niat tersebut bagi menjaga hati ibunya, Supirak.
Pada suatu hari dikatakan ada sebuah bahtera yang cukup besar datang berlabuh di Torong Puteh. Kedatangan bahtera itu adalah untuk mengisi bekalan bagi pelayaran yang seterusnya. Ragam seperti selalunya yang bekerja kampung akan mengayuh perahunya menjual apa sahaja barangan yang mampu dijual kepada kapal-kapal yang singgah. Kagum dengan bahtera tersebut yang ada serba-serbi menyebabkan Ragam mempunyai niat untuk memohon pekerjaan sebagai anak kapal di bahtera tersebut.
Tatkala pulang ke rumah pada hari itu setelah habis bekerja, Ragam duduk termenung di tangga rumahnya yang menghadap laut. Keadaan anak tunggalnya yang nampak sedih telah menyebabkan ibunya si Supirak mengetahui ada sesuatu yang tidak kena. Dan setelah disoal berulangkali akhirnya Ragam meluahkan isihatinya iaitu memohon keizinan daripada ibunya untuk beliau bekerja menjadi anak kapal. Walau pada mulanya Supirak membantah namun melihat kesungguhan Ragam akhirnya beliau mengalah dan membenarkan anak tunggalnya untuk bekerja jauh dan meninggalkan dirinya seorang diri di Torong Puteh.
Keesokan harinya, Ragam mendatangi bahtera besar tersebut dan kerana kepetahan beliau berbicara ditambahlagi susuk badannya yang sasa akhirnya beliau diterima bekerja sebagai anak kapal oleh nakhoda bahtera tersebut. Tiba waktunya Ragam hendak berangkat ke negara orang, ibunya si Supirak turut menghantar beliau dengan berperahu ke bahtera besar itu. Setelah naik ke bahtera itulah, dikatakan Ragam berjanji dengan ibunya bahawa beliau akan pulang jua suatu hari nanti membawa kekayaan untuk ibunya agar tidak lagi melalui kesusahan hidup. Ibunya si Supirak pula merelakan pemergian anak tunggalnya dengan linangan airmata dan sebagai bukti ikatan janji pada ibunya, Ragam telah memberikan mencabut sehelai rambutnya untuk disimpan ibunya.
Hendak dijadikan cerita ketika di dalam pelayaran, Ragam merupakan kelasi yang cukup rajin dan berdedikasi sehingga menjadi orang harapan kepada nakhoda bahtera tersebut. Dan apabila nakhoda bahtera bersara akhirnya Ragam diangkat untuk mengambilalih tugasnya sebagai nakhoda dan sejak itulah nama Nakhoda Ragam begitu gah sekali.
Suatu hari bahtera Nakhoda Ragam singgah untuk berniaga di sebuah pulau yang bernama Pulau Intan. Disitulah Nakhoda Ragam bersua dengan seorang gadis yang elok rupa parasnya lantas jatuh cinta pandang pertama. Gadis ini bernama Dayang Dundunai dan merupakan puteri kepada pemerintah Pulau Intan. Dek kerana hati sudah bersatu akhirnya Nakhoda Ragam memberanikan diri untuk bertandang ke istana Bahkiah bagi menemui sendiri ayahanda gadis tersebut. Atas sifat Nakhoda Ragam yang beradat itu membuatkan pinangan beliau langsung diterima oleh ayahanda Dayang Dundunai dan majlis perkahwinan mereka diadakan dengan gilang gemilang sekali.
Setelah lama di Pulau Intan akhirnya Nakhoda Ragam memohon keizinan daripada ayahanda mertuanya untuk membawa isterinya Puteri Dayang Dundunai belayar dan berjumpa dengan keluarganya di Torong Puteh. Bermulalah episod pelayaran pertama Nakhoda Ragam bersama isterinya membelah lautan menuju ke destinasi kampung halamannya. Tatkala sebuah bahtera besar melabuhkan sauh di sebuah kawasan pantai yang terpencil sudah tentu akan menjadi bualan penduduk kampung dan perkhabaran seorang anak Torong Puteh sudah menjadi seorang nakhoda yang kaya raya akhirnya sampai ke telinga ibunya iaitu Supirak.
Dengan hati yang gembira dan bangga, si ibu Supirak tanpa membuang masa telah berdayung menuju ke bahtera Nakhoda Ragam. Ketika sudah berada dekat di bahtera Nakhoda Ragam itulah Supirak memohon keizinan daripada anak kapal untuk beliau naik menemui anak lelaki kesayangannya. Namun sayangnya dek kerana beliau kelihatan miskin dengan baju yang lusuh dan compang camping menyebabkan beliau dilarang untuk berbuat demikian. Mendengar keriuhan itu menyebabkan Nakhoda Ragam meninjau apa yang berlaku dan dek kerana malu lebih-lebih lagi isterinya Puteri Dayang Dundunai ada disebelah beliau menyebabkan beliau sendiri turut memaki hamun dan menghina ibu kandungnya.
Kerana dimalukan dan dihalau, akhirnya Supirak kembali ke pondok buruknya dengan perasaan yang cukup kesal dan kecewa. Anak yang dikandungnya sembilan bulan sembilan hari dan dibesarkan umpama menatang minyak yang penuh malu mengaku dirinya sebagai ibu kandung dek kerana kemiskinan. Remuk hatinya diperlakukan sedemikian rupa sehinggalah si Supirak yang kecewa mengeluarkan helaian rambut yang diberikan Nakhoda Ragam awal dahulu lantas menyumpah seluruh bahtera dan isinya menjadi batu.
Tatkala itulah juga diceritakan laut yang tenang bertukar bergelora, cuaca yang redup berubah menjadi gelap dan hujan lebat jatuh ke bumi. Pada ketika itulah, bahtera Nakhoda Ragam sudah terombang ambing dipukul gelora. Di dalam keadaan yang hingar bingar itulah Nakhoda Ragam sedar bahawa dirinya telah membuat dosa yang amat besar ke atas ibunya. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya kerana hati ibunya sudah remuk berkecai atas kelakuannya yang biadap. Akhirnya bahtera besar Nakhoda Ragam bertukar menjadi batu yang dinamakan Pulau Supirak oleh masyarakat tempatan di Pitas, Sabah.
Begitulah cerita legenda versi Sabah yang mempunyai persamaan dengan cerita si Tanggang ataupun Malim Kundang. Nama seperti Nakhoda Ragam mungkin sesuatu yang amat menarik untuk kita teliti kerana ianya bersamaan dengan nama seorang pemerintah Brunei yang turut terkenal ceritanya mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain di Pulau Borneo. Kalau sudah namanya sepulau mesti ada perkaitannya biarpun cerita legenda itu adalah berdasarkan cerita benar dan kemudiannya ditokok tambah oleh penglipurlara untuk pengindahan cerita.
Tidak kenal maka tidak cinta.
-HB-
Rujukan:
- http://www.mysabah.com/wordpress/supirak-island-pitas/
- https://www.facebook.com/bumipitas/posts/admin-ingin-kongsikan-sedikit-asal-usul-pulau-supirakthe-malubang-legendmungkin-/1666916750198062/
- http://kgbongkol.pi1m.my/index.php/warga-pi1m/sosio-ekonomi/pelancongan
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih