Pada 2 Ogos yang lalu, Apple telah mencipta sejarah apabila menjadi syarikat pertama di AS yang berjaya mencecah nilai $1 trillion. Ia satu pencapaian yang sangat hebat dan membuktikan produk-produk teknologi dan inovasi seperti ini mampu pergi jauh seiring dengan kedatangan revolusi industri ke-4.
Kejayaan Apple sungguh mengagumkan apabila kita melihat kembali yang ia hampir-hampir muflis apabila diambil alih semula oleh Steve Jobs pada tahun 1997. Menurut Steve Jobs, pada ketika itu beliau mengalami masalah yang sangat besar. Apple hanya mampu beroperasi untuk 90 hari sahaja lagi, dan jika ia gagal mengaut keuntungan yang jelas, Apple akan terkubur buat selamanya. Malah, Michael Dell yang merupakan pengasas syarikat Dell memberi cadangan supaya Jobs menutup sahaja Apple dan memulangkan semula hasil pelaburan kepada pemegang saham.
Ini adalah kisah bagaimana Apple, sebuah syarikat yang pada mulanya beroperasi dari sebuah garaj kereta, kini menjadi satu-satunya syarikat di dunia dengan nilai $1 trillion dollar.
Dua “Steve” di April Fool
Steve Jobs dan Steve Wozniak merupakan rakan rapat yang sudah berkenalan lama sejak di universiti lagi. Pasangan dua “Steve” ini dipertemukan oleh seorang lagi sahabat mereka, Bill Fernandez yang juga merupakan antara pekerja terawal Apple pada tahun 1971. Kedua-dua Steve ini mempunyai minat yang sama: Teknologi. Tetapi Wozniak lebih dilihat sebagai seorang dengan kepintaran teknikal, manakala Jobs pula dilihat sebagai seorang yang berwawasan.
Jobs dan Wozniak pernah bekerja bersama di Atari dan menghasilkan beberapa permainan video dan juga permainan arked. Di sepanjang perkenalan mereka, Wozniaklah orang yang bertanggungjawab untuk membina dan mereka cipta manakala Jobs pula adalah penggerak yang penuh dengan idea dan karisma. Begitulah perhubungan dinamik yang wujud di antara kedua-dua Steve ini.
Pada tahun 1976, Wozniak menyertai sebuah kelab hobi, Homebrew Computer Club. Di kelab itu, pertukaran idea dan perbincangan yang hangat berlaku di antara peminat komputer, para jurutera dan juga para pengaturcara. Ini memberikan inspirasi kepada Wozniak untuk menghasilkan komputer peribadinya sendiri, Apple I. Beliau mempersembahkan Apple I kepada ahli kelab dan ditakdirkan pada hari itu, Jobs turut bersama dalam kelompok penonton yang menyaksikan pertunjukan demo dari Wozniak.
Jobs terpegun melihat Apple I dan nampak potensi yang ada pada komputer peribadi itu. Jobs memujuk Wozniak untuk menjual Apple I bagi mengaut keuntungan. Hasil perbincangan di antara dua Steve itu membawa kepada penubuhan Apple pada 1 April 1976 dari sebuah garaj kereta milik keluarga Jobs. Pada ketika itu, mereka membawa masuk seorang lagi rakan mereka, Ronald Wayne yang juga merupakan rakan sekerja mereka di Atari. Wayne yang lebih tua dari kedua-dua Steve itu bertanggungjawab dalam hal urusan penubuhan syarikat seperti perjanjian rasmi, penciptaan logo dan penyeliaan projek.
Namun tidak sampai sebulan Wayne berada di dalam syarikat, beliau akhirnya mengundurkan diri. 10 peratus pemilikan sahamnya dalam Apple dijual dengan nilai hanya $800. Saham Wayne itu kini bernilai $100 billion.
Walaupun tanpa Wayne, Jobs tidak berputus asa. Beliau membuat perjanjian dengan sebuah pengusaha syarikat penjual komputer tempatan, Paul Terrell untuk menjual Apple I. Paul Terrell bersetuju untuk menjual 50 unit Apple I dengan bayaran $500 seunit. Dari garaj kereta itulah 50 unit Apple I dihasilkan dan dihantar ke kedai Paul Terrell. Kejayaan kecil yang dicapai mereka memberi semangat kepada Wozniak untuk menghasilkan Apple II manakala Jobs pula mahu memperkembangkan lagi Apple.
Lisa dan Macintosh
Walaupun pada asasnya, Apple I adalah satu produk yang berjaya, tetapi ia dipasarkan hanya untuk peminat komputer yang tegar. Untuk Apple II, Wozniak dan Jobs membayangkan komputer peribadi yang sesuai untuk digunakan untuk semua golongan. Dan ianya perlulah dibina dengan rekaan yang ringkas, padat dan mudah digunakan.
Menghasilkan komputer peribadi seperti itu memerlukan wang yang sangat banyak. Sedar akan keperluan kewangan yang tinggi, Jobs berusaha dengan gigih siang dan malam mencari pelabur dari seluruh pelusuk industri. Ramai juga usahawan yang menolak pelawaan Jobs, antaranya Nolan Bushell sendiri yang merupakan pengasas Atari. Beliau akhirnya berjaya membawa masuk Mike Marrkula dengan pelaburan bernilai $ 250,000.
Dengan itu, Apple secara rasminya diperbadankan pada tahun 1977. Atas nasihat Markkula, Michael Scott dilantik sebagai CEO dan Presiden pertama Apple. Menurut Markkula, Jobs masih terlalu muda untuk menjadi CEO. Pada tahun tersebut juga, Apple II berjaya dipertontonkan kepada orang awam di West Cost Computer Faire, San Fransisco.
Apple II mendapat perhatian umum kerana ia turut serta dengan perisian spreadsheet (seperti Excel) yang pertama seumpamanya, VisiCalc. VisiCalc membuka ruang untuk komputer peribadi digunakan secara meluas di dalam sektor perniagaan kerana keupayaannya untuk melakukan pengiraan rumit terutama sekali pengiraan melibatkan perakaunan. Ini membolehkan Apple II terjual laris walaupun dengan harga yang sangat mahal ($1298). Dalam masa 5 tahun sahaja, Apple berjaya mengaut keuntungan sebanyak $118 juta.
Kejayaan Apple II membolehkan mereka berpindah dari garaj kereta kepada sebuah pejabat. Dari saat itu, bermulalah era kegemilangan Apple yang menyaksikan mereka melancarkan pelbagai produk yang hebat dan merubah rupa bentuk industri komputer buat selamanya.
Pada tahun 1978, selepas melihat inovasi yang dilakukan oleh Xerox PARC terhadap tetikus komputer, ia memberi semangat kepada Jobs untuk memberi fokus pada pembangunan GUI (Graphical User Interface) ataupun grafik antaramuka pengguna. Berbekalkan inspirasi dari Xerox PARC, Jobs berjaya membangunkan Apple Lisa yang dilancarkan pada tahun 1983.
Lisa (dinamakan sempena anak perempuan Jobs) merupakan antara komputer terawal yang mempamerkan GUI yang lengkap bagi memudahkan pengendalian oleh penggunanya. Lisa juga mempamerkan antara inovasi terawal yang boleh didapati dalam komputer termasuklah perlindungan memori dan juga penggunaan hard drive.
Tetapi, malang sekali buat Apple, Lisa kurang mendapat sambutan. Ini barangkali kerana harganya yang terlalu mahal ($9,995) dan sedikit masalah yang terdapat pada perkakasan Lisa. Peristiwa ini menyebabkan reputasi Jobs, yang mengepalai projek itu tercalar. Lebih-lebih lagi apabila berlaku krisis dalaman sepanjang tempoh pembangunan Lisa. Di saat-saat akhir sebelum pelancaran Lisa, Steve Jobs ditarik dari mengepalai Lisa dan mula memberi fokus pada Macintosh, satu lagi projek daripada Apple.
Pada ketika itu, Macintosh sudahpun hampir selesai rekaan dan pembangunannya. Jobs melihat Macintosh yang dihasilkan pada kos yang rendah mempunyai nilai tarikan yang lebih tinggi berbanding Lisa. Jobs memujuk pasukan Macintosh supaya menambah tetikus dan GUI kepada Macintosh bagi memberikan ia ciri-ciri yang lebih mesra pengguna dan meningkatkan lagi kebolehgunaannya. Namun begitu, kehadiran Jobs tidak disenangi oleh ketua projek Macintosh, Jef Raskins. Dan akibat konflik itulah, Raskins meninggalkan Apple sebelum Macintosh dilancarkan.
Walaupun wujud krisis dalaman, Macintosh masih mampu dilancarkan dengan jayanya pada tahun 1984. Macintosh dilancarkan dengan kempen promosi yang agresif dari Apple melalui pengiklanan dan juga promosi diskaun. Antara strategi pengiklanan yang popular adalah iklan “1984” yang dipaparkan sewaktu perlawanan Superbowl yang menelan belanja sehingga $1.5 juta. Iklan dari Apple itu sangat popular dan memberi impak dan identiti kepada Apple sebagai syarikat dengan imej dan jenama yang unik,tersendiri dan dikenali di seluruh dunia.
Tetapi, malang sekali buat Jobs, Macintosh masih lagi tidak dapat memecah dominasi pesaing terhebat mereka ketika itu, IBM. Ini menjatuhkan sekali lagi reputasi Jobs, kerana ramai pekerja Apple sudah mula muak dengan sikap Jobs yang pentingkan diri sendiri dan tidak mahu mendengar idea dari orang lain. CEO Apple pada ketika itu,John Sculley memecat Jobs dari Apple pada tahun 1985,dengan sokongan penuh dari lembaga pengarah. Wozniak turut meninggalkan Apple sejurus selepas Jobs dipecat.
Pada mulanya, dengan ketiadaan Jobs,keadaan nampak baik dengan peluang yang cerah menanti Apple. Apple memperkenalkan PowerBook pada tahun 1991, disusuli dengan Operating System 7 yang datang dengan ciri paparan berwarna yang pertama untuk perkakasan Apple. PowerBook menjadi antara perintis kepada rekaan ergonomik komputer riba yang menjadi banyak ikutan pemain industri yang lain. Selain itu Macintosh keluaran Apple (dipendekkan sebagai Mac) akan terus berkembang menjadi satu kelompok produk yang kekal diminati oleh pengguna sehingga sekarang.
Namun begitu, bermula dari dekad 90-an, tuah Apple tidak berkekalan. Apple cuba untuk melancarkan berbagai produk, namun ia tidak menjadi dan kurang mendapat sambutan. Antara kegagalan terbesar Apple adalah Newton MessagePad. Walaupun Newton berjaya membuka pasaran untuk “personal digital assistant (PDA)” namun disebabkan keupayaan yang terhad, dan harga yang terlalu mahal ($ 700), Newton dikritik hebat oleh pemerhati dan juga pengguna menyebabkan ia gagal mengaut keuntungan yang diharapkan.
Bukan itu sahaja, banyak lagi produk-produk yang Apple cuba lancarkan akhirnya jatuh tersembam menemui kegagalan. Seperti Apple Pippin (konsol permainan video), Apple Quick Take 100 (kamera digital), Apple MacTV (televisyen dengan kemampuan komputer) dan juga Apple eMate 300 (komputer riba hybrid), kesemua produk-produk ini memberi petunjuk bahawa Apple sudah kehilangan kekuatannya sebagai sebuah syarikat teknologi. Apple tanpa Steve Jobs boleh diibaratkan sebagai sebuah syarikat tanpa identiti. Dibawah kendalian Sculley, Apple menemui banyak kegagalan dalam banyak usaha yang diceburi. Sculley akhirnya digantikan oleh Michael Spindler dan seterusnya Gil Amelio.
Lain pula ceritanya dengan Steve Jobs. Sebaik sahaja meninggalkan Apple, beliau menubuhkan syarikatnya sendiri NeXT berbekalkan modal $7 juta. Walaupun NeXT tidaklah terlalu cemerlang, namun ia masih berjaya memberikan Jobs sedikit pulangan keuntungan. Jobs juga melabur dalam industri hiburan dengan memberi dana kepada The Graphics Group, cabang dari Lucasfilm. The Graphics Group akhirnya akan mengeluarkan kartun-kartun animasi 3D lagenda yang akhirnya akan meletakkan Jobs sebagai pemegang saham terbesar Disney. The Graphics Group kini dikenali sebagai Pixar.
Kita kembali semula kepada Apple yang saban hari kian merudum. Punca kejatuhan Apple boleh dikaitkan dengan kedegilan syarikat itu untuk beralih menggunakan teknologi “architecture” dari Intel sebaliknya terus menerus menggunakan kerangka teknologi IBM/Motorola. Kerangka teknologi dari Intel boleh didapati dengan harga yang lebih murah membuatkan lebih banyak perisian ditulis untuk kerangka Intel. Manakala kerangka IBM/Motorola pula semakin ditinggalkan kerana harganya yang mahal.
Perkara ini juga melahirkan seteru terkuat Apple, Bill Gates dan Microsoft. Pada mulanya, GUI adalah teknologi eksklusif yang terdapat pada Mac, tetapi dengan pelancaran Windows 3.0, GUI sudah mampu dimiliki oleh mana-mana komputer peribadi. Windows semakin mendapat tempat dalam pasaran di mana ianya dijual untuk komputer-komputer yang murah manakala Mac pula dijual pada harga yang tinggi dan untuk pasaran eksklusif.
Di penghujung tahun 1996, Gil Amelio yang ditugaskan sebagai CEO Apple dihimpit teruk. Saham Apple jatuh merudum ke paras terendah dalam tempoh 12 tahun. Walaupun pelbagai perbincangan telah diadakan dengan berbagai syarikat untuk pengambilalihan Apple, namun tiada syarikat yang berminat. Akhirnya, Amelio membuat keputusan drastik. Amelio membeli NeXT dengan harga $429 juta dan membawa kembali Jobs kepada syarikat yang ditubuhkannya dahulu.
Kembalinya Jobs sebagai Nakhoda
Pada Julai 1997, Jobs meyakinkan lembaga pengarah Apple untuk melantiknya sebagai CEO sementara. Gil Amelio berundur beberapa minggu selepas perlantikan Jobs. Dan seperti yang anda sudah tahu, Jobs kini di dalam dilema. Beliau perlu menyelamatkan Apple dari terkubur selamanya. Mereka hanya mempunyai simpanan yang cukup untuk beroperasi selama 90 hari.
Jobs mula menyusun kembali Apple. Beliau menghapuskan produk-produk yang tidak menguntungkan seperti Newton dan juga Apple Pippin dan mahu Apple memberi fokus pada inovasi. Pada tahun itu juga Apple melancarkan kempen penjenamaan semula dan meletakkan slogan “Think Different” sebagai salah satu jenama syarikat. Tidak cukup dengan itu, Jobs juga benar-benar mengamalkan slogan baru itu dan berfikir melalui perspektif yang berbeza. Langkah pertama Jobs dalam merubah arah syarikat adalah dengan bersahabat dengan seteru utama Apple, Microsoft.
Jobs berjaya memujuk Microsoft untuk melabur $150 juta ke dalam Apple dan melancarkan rangkaian perisian produktivitinya yang popular (Microsoft Office) untuk perkakasan Macintosh. Kewujuan Microsoft Office pada ekosistem Apple merancakkan lagi hasil jualan Macintosh membolehkan Apple mula mengaut keuntungan. Microsoft Office dilancarkan juga bersama produk terbaru dari Apple iaitu iMac.
Tetapi, Jobs sedar, dengan menjual Macintosh/komputer sahaja, tidak mungkin Apple akan dapat melakukan sebarang perubahan kepada status mereka. Lebih-lebih lagi apabila industri komputer sudah semakin tepu dengan persaingan dari luar dan juga dalam. Apple perlu mencari sesuatu yang berbeza. Itulah yang mereka lakukan pada tahun 2001, apabila Apple melancarkan iPod.
iPod merupakan produk Apple yang merubah sepenuhnya lanskap industri muzik dan penjualan muzik digital. Kewujudan iPod mendominasi penjualan muzik secara digital sehinggalah sekarang dan berjaya menaikkan semula nama Apple sebagai antara jenama teknologi terulung di Amerika Syarikat.
Kisah Apple tidak terhenti di sini sahaja. Pada 9 Januari, 2007, selepas 31 tahun Steve Jobs dan Steve Wozniak menubuhkan Apple dari sebuah garaj kereta, selepas 22 tahun beliau dimalukan dan dipecat dari syarikat yang beliau sendiri bangunkan, selepas 10 tahun beliau mengambil alih semula syarikatnya dari keadaan yang hampir muflis, Steve Jobs naik ke pentas dan mengumumkan iPhone. Dan dari saat itu, sejarah akhirnya tercipta.
Rujukan:
Weinberg, Matt (Ogos, 2018), “Apple is officially a $1 trillion company — here are 32 photos of how it came to rule the world” Business Insider
Pothitos, Adam (Julai, 2017), “The History of Apple” Mobile Industry Review
Kartini,Elizabeth (Oktober,2015), “The Apple Products That Totally Failed In The Market” Technobezz
Warman,Matt (Disember, 2011), “Steve Wozniak on Breakout, Atari and Steve Jobs” The Telegraph
Nicas,Jack (Ogos, 2018), “Apple Is Worth $1,000,000,000,000. Two Decades Ago, It Was Almost Bankrupt.” The New York Times
Whigham,Nick (Ogos,2018), “The forgotten Microsoft deal that saved Apple from bankruptcy” News.com.au
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih