Baru-baru ini telah tular sepasang gambar daripada fungsi Live Instagram oleh seorang insan bernama Shila. Dia menyatakan rasa kesal kerana tidak faham tulisan dalam senarai barang yang ditulis oleh makcik yang ingin dibantu itu. Tulisan yang dipaparkan ialah tulisan Lontara.

Sebelum ini aku ada menulis rencana yang membandingkan sistem Abugida Kawi, Abjad Jawi serta Alphabet Rumi yang telah digunakan sepanjang perkembangan Bahasa Melayu. Tulisan Lontara adalah keturunan tulisan Kawi, maka Lontara juga sejenis dengannya iaitu Abugida. Malah, bahasa-bahasa Rumpun Melayu ditulis dalam tulisan-tulisan Abugida seperti tulisan Baybayin, Hanacaraka, Rencong, dan Batak! Tulisan-tulisan ini adalah keturunan Kawi.

Eloklah juga kisah ini tular. Aku pun ada rancang untuk memperkenalkan sistem tulisan Abugida dalam satu rencana. Rencana sebelum ini tidak memerihalkannya dengan lengkap; hanya sekadar ringkasan. Maka, moleklah jika aku gunakan peluang ini.

Sistem Abugida ini berada di antara sistem Sukuan dan Alphabet. Disebabkan ciri separuh-separuh ini, aksarawan memberikan nama jolokan Alif-Sukuan [Alphasyllabary]. Sistem Sukuan memberikan lambang untuk setiap suku kata yang wujud dalam bahasanya. /ka/ itu langsung berbeza tulisannya daripada /ki/ atau /ku/. Contoh mudah untuk sistem ini ialah tulisan Hiragana dan Katakana untuk Bahasa Jepun.

Sistem Alphabet pula mengasingkan satu suku kata itu kepada dua unsur: iaitu unsur konsonan serta unsur vokal. Gabungan beberapa lambang bunyi ini menjadikan satu suku kata, /k/ + /a/ = /ka/, /k/ + /i/ = /ki/. Bahasa-bahasa di Eropah menggunakan sistem ini. Kedua-dua sistem ini sangat berbeza, maka bagaimana Abugida mempunyai kedua-dua ciri ini?

Abugida masih lagi berasaskan suku kata, tapi mereka sedar suku-suku kata itu ada bunyi yang sama. Misalnya, bunyi /ma/ itu berbeza dengan /so/ dan /ne/ tapi hampir dengan /mi/ dan /mu/. Maka, mengapa pula /ma/, /mi/ dan /mu/ diberikan lambang yang berbeza? Bukanlah lebih mudah jika /mi/ dan /mu/ itu diterbitkan daripada lambang yang sama untuk bunyi /ma/?

Gambaran yang hampir dengan sistem Abugida ialah sistem Abjad Jawi dan tanda baca yang ditulis dalam Al-Quran. Lambang untuk /ma/, /mi/ dan /mu/ itu hampir sama. Yang membezakan ketiga-tiga bunyi itu ialah abjad [ م ] itu dipasangkan sama ada dengan baris atas, baris bawah atau baris depan. Oleh sebab itulah aku berkata tulisan dalam Al-Quran itu “seolah-olah Abugida” dalam rencana lepas.

Di sini kita boleh lihat Abugida ada konsep yang seakan-akan sama dengan konsonan-vokal dalam Alphabet tapi masih lagi menggunakan konsep satu lambang untuk satu suku kata dalam Sukuan. Tambah sahaja sesuatu tanda untuk mengubah /ma/ menjadi /mi/ atau /mu/. Hal ini juga bermakna, mempelajari Abugida ini semudah mempelajari Alphabet.

 

Rajah 1. Abugida Lontara.

Perhatikan bagaimana lambang untuk /ka/ itu diterbitkan untuk membunyikan /ki/, /ke/, /ko/, dan /ku/. Perhatikan juga bagaimana unsur terbitan untuk sesuatu vokal itu teratur untuk semua konsonan. /ki/, /mi/ dan /ni/ itu semuanya datang dari /ka/, /ma/ dan /na/ tambah satu tanda kecil di atas. Kaedah yang sama digunakan untuk tulisan Batak, dan Baybayin.

Rajah 2. Abugida Batak
Rajah 3. Abugida Baybayin

Namun, siapa kata unsur terbitan dalam Abugida itu perlu dilakukan dengan menambah tanda? Tulisan untuk bahasa Inuktitut di Kanada menggunakan pendekatan yang berbeza dalam sistem Abugidanya. Suku kata dalam Inuktitut diterbitkan dengan membolak-balikkan suku kata yang asal. Suku kata /a/ ditulis dalam satu arah. Suku kata /i/ pula menghadap arah yang lain. Tom Scott di saluran YouTubenya ada mengulas tentang tulisan ini:

Cubalah bandingkan sistem Abugida dengan sistem Sukuan seperti Hiragana dan Katakana. Seperti yang sudah aku nyatakan, /ka/ itu langsung berbeza daripada /ki/ walaupun kita tahu dua bunyi ini datang dari konsonan yang sama.
Rajah 4 menunjukkan tulisan Hiragana.

Bagi mereka yang sudah cuba membaca tapi masih tak faham apa yang nenek itu mahukan, jangan risau. Pengguna Twitter @piecookies sudah menerjemahkan senarainya untuk kita. Menurut beliau, neneknya yang tolong terjemahkan tulisan ini. Ucaplah terima kasih pada neneknya. Hah!

Gambar 1. Senarai pembelian makcik itu
Gambar 2. Terjemahan senarai pembelian nenek itu.

Gambar dan Rajah:

Gambar Utama: Dipetik dari pengguna Twitter @amalinaherman (2018, 28 Jul) , pautan: https://twitter.com/amalinaherman/status/1023414855225696257

Gambar 1: Sama dengan “Gambar Utama”

Gambar 2: Ditangkap melalui laman sosial Twitter: https://twitter.com/piocookies/status/1023504175064207361

Rajah 1: Dipetik dari Achmad Alqadri melalui laman blognya, Sekilas Sulawesi Selatan:
http://sesultan.blogspot.com/p/huruf-lontara.html

Rajah 2: Dipetik dari Jon Piter Rajagukguk melalui laman blognya, Muara Nauli Blog: https://jtonang.wordpress.com/aksara-batak/

Rajah 3: Dipetik dari Indio:Bravo// melalui laman blognya, Indio:Bravo// – Blog of Filipino History: http://indiohistorian.tumblr.com/post/13097309564/baybayin-the-lost-filipino-script-part-1-the

Rajah 4: Dipetik dari Omniglot: https://www.omniglot.com/writing/japanese_hiragana.htm

Daftar Pustaka:


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Menyambung pengajian sarjana muda Fizik di UKM (2017-2021). Minat menulis sejak tahun 2011 dan mula berkecimpung dalam penulisan akademik sejak tahun 2014. Berazam untuk menjadi pensyarah dan untuk terus menulis ilmu dalam Bahasa Melayu. Gagasan aku mudah sahaja: jika ingin diajarkan ilmu kepada sesuatu bangsa maka ajarkanlah dalam lidah bangsa tersebut.

Comments are closed.