Tahukah kita, ada seorang sahabat Nabi yang sendiri bertentang mata dengan Dajjal?
Nama dia Tamim al-Dari.
Ini kisah seorang paderi Kristian dari Palestin yang akhirnya memeluk Islam, menjadi sahabat Rasulullah SAW dan membawa satu berita yang buat para sahabat terdiam.
Tamim bin Aws al-Dari berasal dari kabilah Lakhm dan hidup di bawah pemerintahan Byzantine di Palestin.
Sebelum masuk Islam, dia seorang paderi Kristian. Tahun 628 Masihi, dia datang ke Madinah bersama delegasi kaumnya untuk bertemu Rasulullah SAW. Pada asalnya urusan mereka berkait soal pembahagian hasil wilayah selepas kemenangan Islam di Khaybar. Tapi pertemuan itu mengubah hidup Tamim. Dia memeluk Islam, berbai‘ah kepada Nabi dan menetap di Madinah.
Selepas itu, Tamim menjadi antara penasihat Rasulullah SAW khususnya dalam hal ibadah umum. Dialah yang mencadangkan penggunaan pelita minyak untuk menerangi masjid. Dalam dunia periwayatan pula, Tamim dikenali sebagai antara orang terawal yang menyampaikan kisah-kisah berkaitan akhir zaman. Sebab itu sebahagian ulama menggelarnya pengembara berani atau the intrepid traveler.
Tapi apa yang benar-benar mengangkat nama Tamim dalam sejarah Islam ialah satu kisah yang diriwayatkan sendiri oleh Rasulullah SAW.
Suatu hari, Nabi SAW mengumpulkan para sahabat. Baginda bersabda bahawa baginda tidak menghimpunkan mereka kerana berita gembira atau berita menakutkan. Tetapi kerana Tamim al-Dari, seorang lelaki Nasrani yang telah masuk Islam menceritakan satu kisah yang bertepatan dengan apa yang Baginda sendiri pernah sampaikan tentang al-Masih al-Dajjal.
Kisah itu begini.
Sebelum memeluk Islam, Tamim belayar bersama tiga puluh lelaki dari kabilah Lakhm dan Judzam. Ombak memukul kapal mereka selama sebulan penuh. Bayangkan sebulan terumbang-ambing di laut. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau di arah matahari terbenam.
Apabila mereka masuk ke pulau itu, mereka bertemu satu makhluk pelik berbulu lebat sampai tak nampak mana depan mana belakang.
Mereka tanya, “Makhluk apa ini?” Dia menjawab, “Aku al-Jassasah.” Makhluk itu menyuruh mereka pergi ke sebuah biara di pulau tersebut.
Di dalam biara itu, mereka melihat seorang lelaki yang sangat besar tubuhnya. Tangannya terikat ke leher, antara lutut dan buku lalinya dirantai besi. Lelaki itu bertanya dengan penuh minat tentang dunia luar. Dia tanya tentang kebun kurma di Baisan, tentang Tasik Thabariyyah, tentang mata air Zughar adakah masih berair atau sudah kering. Tamim dan rombongannya menjawab bahawa semuanya masih ada, masih subur.
Lelaki itu berkata suatu hari nanti semuanya akan berubah dan kering.
Kemudian dia bertanya tentang Nabi yang ummi di tanah Arab. Tamim menjawab bahawa Nabi itu telah keluar dari Makkah dan kini tinggal di Yatsrib (Madinah). Orang Arab dahulu memeranginya, tetapi kini ramai yang mentaatinya.
Lelaki itu berkata, “Jika benar begitu, itu lebih baik bagi mereka.”
Kemudian dia mengisytiharkan sesuatu yang mengejutkan.
“Aku adalah al-Masih al-Dajjal. Tidak lama lagi aku akan diizinkan keluar. Aku akan mengelilingi bumi selama empat puluh malam. Tiada satu negeri pun yang aku tidak masuk kecuali Makkah dan Thaibah (Madinah) kerana kedua-duanya diharamkan ke atasku.”
Apabila Tamim menceritakan semua ini kepada Rasulullah SAW, Baginda menghentakkan tongkat di mimbar dan bersabda, “Inilah Thaibah!” Baginda menegaskan bahawa kisah Tamim itu benar dan ia bertepatan dengan wahyu yang telah Baginda terima tentang Dajjal.
Hadis ini direkodkan dalam Sahih Muslim dan dikenali sebagai Hadis al-Jassasah. Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini merupakan satu kelebihan besar buat Tamim kerana Rasulullah SAW meriwayatkan kisah daripada sahabatnya sendiri, sesuatu yang jarang berlaku.
Kisah ini juga menjelaskan bahawa Dajjal akan muncul dari arah timur. Sebahagian riwayat menyebut Khurasan atau Asfahan dan dia akan diikuti oleh puluhan ribu orang termasuk 70,000 Yahudi dari Asfahan. Dia akan bergerak ke Iraq dan Syam, menyebarkan fitnah paling dahsyat dalam sejarah manusia.
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa fitnah Dajjal adalah ujian terbesar sejak Nabi Adam diciptakan. Dia akan bergerak sepantas awan ditiup angin, menjelajah bumi kecuali Makkah dan Madinah yang dijaga malaikat. Apabila dia sampai di luar Madinah, kota itu akan bergegar tiga kali sehingga semua orang munafik keluar daripadanya. Hari itu dinamakan al-Khalash atau hari penapisan.
Nabi SAW juga memberi amaran, jika Dajjal muncul ketika Baginda masih hidup, Baginda sendiri akan membela umatnya. Tetapi jika ia muncul selepas kewafatan Baginda, maka setiap Muslim mesti mempertahankan dirinya.
Antara benteng utama ialah membaca ayat-ayat awal Surah al-Kahfi.
Itulah kisah Tamim al-Dari. Seorang lelaki Palestin, bekas paderi Kristian yang mengembara di laut, terdampar di pulau misteri, bertentang mata dengan Dajjal dan kemudian masuk Islam serta menyampaikan kisah itu kepada Rasulullah SAW.
Tamim meninggal dunia sekitar tahun 661 Masihi di Palestin, dan dikebumikan di Bayt Jibrin, berhampiran Hebron. Sebelum wafat, dia pernah diberi hak pemilikan wilayah di Hebron dan sekitarnya.
Soalnya sekarang, kalau ujian itu benar-benar tiba, adakah kita sudah bersedia?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




