Tuan-puan,
Pernahkah Tuan-puan terfikir, apakah benda pertama yang orang paling kaya di dunia akan beli apabila mereka sudah memiliki segala-galanya?
Mereka sudah ada banglo mewah sebesar istana yang mustahil untuk dihuni semua ruangnya serentak. Mereka ada jet peribadi yang sedia menunggu di landasan. Kereta sport berderet di dalam garaj.
Duit sudah tiada nilai pada pandangan mata mereka.
Tetapi ada satu perkara yang duit berbilion dolar mereka masih gagal beli setakat hari ini.
Jawapannya adalah masa.
Hari ini saya mahu kongsikan satu kisah benar yang sedang berlaku di Amerika Syarikat. Kisah ini kedengaran seperti skrip filem seram, tetapi ia adalah sebuah realiti.
Kenalkan, Bryan Johnson.
Dia adalah seorang jutawan teknologi dari Lembah Silikon. Umurnya sekarang menghampiri 49 tahun.
Selepas menjual syarikat teknologinya dengan harga ratusan juta dolar, dia mendapati hidupnya kosong.
Badannya mula sakit-sakit, kulitnya mula berkedut dan dia mula menyedari satu hakikat yang sangat menakutkan.
Dia semakin hampir dengan pintu kematian.
Oleh sebab ketakutan yang melampau terhadap maut, Bryan telah memulakan satu eksperimen gila ke atas tubuh badannya sendiri yang dinamakan “Project Blueprint”.
Matlamat utamanya cuma satu. Dia mahu memutar kembali jam biologi badannya menjadi remaja belasan tahun.
Untuk mencapai tahap itu, dia telah membelanjakan sebanyak 2 juta dolar (kira-kira 9.5 juta Ringgit) setiap tahun.
Rutin harian jutawan ini lebih ketat daripada tentera komando.
Dia akan bangun tidur tepat pada pukul 4:30 pagi setiap hari tanpa gagal. Dia memakan semua hidangannya dalam tempoh enam jam sahaja dan makan malam terakhirnya adalah pada pukul 11 pagi.
Bayangkan Tuan-puan, tengah hari buta kita baru hendak pekena nasi kandar, dia sudah selesai makan malam.
Setiap hari, dia wajib menelan 111 biji pil suplemen.
Dia mengupah 30 orang doktor pakar semata-mata untuk mengawasi setiap pergerakan organ dalam badannya.
Tetapi Tuan-puan, bahagian yang paling menakutkan adalah apabila dia bertukar menjadi “pontianak” moden.
Demi mendapatkan keremajaan mutlak, Bryan telah membawa anak kandungnya yang baru berusia 17 tahun ke sebuah klinik swasta.
Di sana, pakar perubatan telah menyedut keluar seliter darah daripada lengan anaknya itu.
Darah muda itu kemudiannya dimasukkan ke dalam mesin emparan untuk mengasingkan plasma.
Plasma darah anaknya itu kemudian disuntik terus ke dalam urat saraf Bryan sendiri.
Dia berharap sel-sel muda daripada anaknya itu mampu memperbaharui sel tubuhnya yang semakin menua.
Adakah projek gila ini berjaya?
Baru-baru ini, Bryan sendiri mengaku bahawa dia terpaksa menghentikan rawatan pindahan plasma darah tersebut. Data perubatan menunjukkan tiada sebarang kesan positif yang ketara pada tubuh badannya melalui kaedah itu.
Namun begitu, rutin ketat yang lain masih diteruskan.
Pasukan doktornya mendakwa eksperimen ini menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
Mereka mendakwa Bryan kini memiliki jantung lelaki berusia 37 tahun, kulit pemuda 28 tahun dan kapasiti
paru-paru remaja 18 tahun.
Tuan-puan,
Kisah jutawan ini sebenarnya membuka satu lembaran falsafah yang sangat mendalam tentang jiwa manusia.
Di sinilah letaknya kelemahan dan ketakutan paling besar bagi golongan yang terlalu cintakan dunia.
Mereka sangat takut kepada kematian.
Sebanyak mana pun wang dibelanjakan, secanggih mana pun sains perubatan, manusia sama sekali tidak akan mampu menipu fitrah alam yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
Kematian itu adalah satu kepastian.
Dalam perbincangan ilmuwan agama kita, kematian sering disebut sebagai “Kiamat Kecil” atau Kiamat Sughra.
Apabila nyawa berpisah dari badan, maka bermulalah hari kiamat peribadi bagi setiap individu tersebut. Segala amalan dunia terputus, dan bermulalah fasa pengadilan di alam barzakh.
Malaikat maut langsung tidak akan bertanya berapa juta dolar yang ada di dalam akaun bank kita.
Malaikat maut juga tidak akan kisah jika jantung kita berdegup laju dan sihat persis remaja belasan tahun.
Apabila tiba masa yang telah tertulis di Luh Mahfuz, ajal itu waima sesaat pun tidak akan dapat dilambatkan atau dicepatkan.
Jutawan teknologi ini mungkin boleh melambatkan proses kedutan pada kulit wajahnya.
Dia mungkin boleh menipu mesin pengimbas kesihatan di hospital.
Tetapi dia sama sekali tidak boleh menghentikan detik jam pasir yang membawanya semakin hampir ke liang lahad setiap hari.
Kita jadikan kisah gila dari Lembah Silikon ini sebagai sempadan dan pengajaran bersama.
Menjaga kesihatan tubuh badan dan mencari penawar penyakit itu memang satu tuntutan yang sangat digalakkan dalam agama kita.
Tetapi obsesi yang melampau untuk hidup abadi di dunia yang fana ini hanyalah satu angan-angan kosong yang pasti akan menemui kegagalan mutlak.
Dunia ini hanya tempat persinggahan untuk kita bercucuk tanam amalan kebaikan. Akhirat jua tempat yang kekal abadi selamanya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




