Di zaman pramoden atau pertengahan itu, perebutan takhta kerajaan adalah satu hal yang merupakan norma dalam sesuatu pemerintahan. Baik di Timur mahupun di Barat, pasti akan berlakunya perebutan takhta, pertelingkahan dan ketegangan dalam kalangan mereka yang berada dalam istana kerajaan itu.
Hal yang samalah jua berlaku nun di utara Bumi, iaitu di Empayar Rusia dalam satu kisah menyayat hati yang berlaku pada sekitar pertengahan abad ke-18.
Tsar Ivan VI adalah hanya seorang bayi yang dilahirkan tanpa mengetahui aka napa-apa hal yang melingkari dirinya di Istana Rusia itu. Baginda dinamakan sebagai pewaris kepada takhta yang dipegang oleh Maharani Anna yang tidak memiliki sebarang zuriat untuk diwariskan takhtanya itu.
Jadi, statusnya sebagai anak saudara lelaki kepada Maharani menjadikannya calon yang dirasakan paling sesuai untuk diwariskan takhta itu.
Maka, genap usianya enam bulan, Ivan VI telah dinamakan sebagai pewaris takhta yang menyaksikan dirinya menaiki takhta hanya beberapa bulan setelah itu. Kerana usianya yang masih bayi, bondanya, Anna Leopoldovna diangkat sebagai Pemangku kepada takhta yang kini dinaiki anakandanya itu.
Ayahandanya pula, Anthony Ulrich adalah seorang pemerintah feudal di Jerman yang mana dirinya adalah Duke kepada wilayah Brunswick di sana. Hal ini kemudiannya telah membangkitkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang-orang penting di istana.
Kata mereka, istana Rusia kini berada di bawah pengaruh orang-orang Jerman disebabkan ayahanda kepada Tsar kini adalah seorang pemimpin dari Jerman yang amat berpengaruh sekali.
Oleh itu, satu gerakan penentangan telah dilancarkan menentang Ivan VI dan keluarganya. Gerakan ini telah dipelopori oleh seorang Puteri Rusia, iaitu Elizabeth Petrovna yang merupakan anakanda kepada Tsar pertama Rusia, Tsar Peter I.
Makanya gerakan pun dijalankan dan Ivan VI pun diturunkan daripada takhta Imperial Rusia pada bulan Disember tahun berikutnya, 1741. Baginda telah ditangkap dan ditahan bersama-sama dengan keluarganya di Istana Dunamunde.
Pada usia baginda mencecah 4 tahun pula, baginda telah dipisahkan daripada kedua orang tuanya dan dipindahkan ke sebuah penjara di daerah Kholmogry. Di sanalah baginda menjalani sisa hidupnya.
Baginda menjalani usianya daripada bayi dengan menjadi seorang tahanan politik hanya dek perebutan kuasa dan takhta yang berlaku. Sedangkan, dirinya tidak mengetahui bahkan memahami akan politik istana yang melanda.
Di usianya yang mencecah 24 tahun, atau pada tahun 1764, berlakunya satu usaha untuk menyelamatkan dirinya daripada terus ditahan oleh Elizabeth Petrovna. Namun, usaha itu menemui kegagalan.
Para pengawal yang mengawal baginda telah dititahkan oleh Elizabeth untuk membunuh barang siapa yang cuba untuk membebaskan baginda. Dan hal itulah yang berlaku. Dalam pergelutan sewaktu usaha penyelamatannya itu, baginda telah terbunuh dek tikaman pengawal yang sedang bergelut dengan para penyelamat.
Maka, tamatlah riwayat seorang Tsar Rusia yang dikurung sepanjang hayatnya akibat pergelutan politik istana yang berlaku. Baginda mangkat tanpa sebarang pengetahuan akan dunia luar mahupun akan apakah yang dimaksudkan dengan kehidupan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




