Sejak kebelakangan ini, media sosial kita dibanjiri dengan video AI yang menggambarkan suasana akhirat dari seberang.

Siap ada yang tunjuk roh naik ke langit, ada yang visualkan malaikat menyambut si mati, malah ada juga yang gambarkan seksaan neraka dengan begitu terperinci.

Sebelum ni, ada juga filem dari Indonesia seperti Siksa Neraka yang kembali tular selepas ditayangkan di platform penstriman.

Persoalannya, kenapa gambaran kiamat, neraka dan alam ghaib ini begitu kerap muncul dalam budaya popular Indonesia? Dan lebih penting, bagaimana kita sebagai Muslim harus melihat fenomena ini?

Dari sudut sejarah budaya, masyarakat Nusantara termasuk Indonesia memang mempunyai tradisi panjang menggunakan kisah seram, azab kubur dan gambaran akhirat sebagai alat dakwah.

Sejak zaman kitab-kitab jawi dan cerita rakyat lagi, unsur menakutkan sering digunakan untuk mendidik masyarakat tentang dosa dan pahala.

Contohnya, komik Siksa Neraka karya M. B. Rahimsyah pada era 1980-an menjadi fenomena kerana ilustrasinya yang mengerikan tetapi sarat mesej moral. Filem adaptasinya pula hanya menyambung tradisi lama itu dalam bentuk visual moden.

Namun dalam zaman teknologi hari ini, pendekatan tersebut semakin melangkaui batas apabila kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk menghasilkan imej mangsa kemalangan atau si mati seolah-olah sedang menuju ke syurga atau menerima balasan di akhirat.

Niatnya mungkin baik untuk mengingatkan orang ramai tentang kematian, tetapi dari sudut akidah Islam, ia menimbulkan persoalan besar.

Dalam Islam, perkara ghaib seperti alam barzakh, syurga, neraka, malaikat dan hari kiamat adalah urusan Allah SWT semata-mata. Ia tidak boleh dicapai oleh pancaindera manusia dan tidak boleh dipastikan melalui imaginasi atau teknologi.

Al-Quran menegaskan bahawa orang beriman ialah mereka yang percaya kepada perkara ghaib dan hanya Allah yang mengetahui hakikat sebenar kehidupan selepas mati.

Apabila manusia cuba menggambarkan nasib seseorang di akhirat walaupun dalam bentuk ilustrasi atau filem, ia seolah-olah mendahului ketetapan Allah. Lebih membimbangkan, masyarakat awam boleh terkeliru lalu menyangka gambaran tersebut sebagai kebenaran.

Dalam jangka panjang, ini boleh menjejaskan akidah kerana kita diajar bahawa tiada siapa boleh menentukan sama ada seseorang itu ahli syurga atau neraka kecuali berdasarkan nas yang jelas.

Islam juga sangat menitikberatkan adab terhadap si mati. Maruah jenazah mesti dihormati seperti orang hidup.

Menggunakan wajah si mati dalam imej rekaan AI tanpa izin keluarga bukan sahaja melanggar adab, malah boleh dianggap eksploitasi emosi waris yang sedang berduka. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa mematahkan tulang mayat adalah seperti mematahkannya ketika dia masih hidup, satu peringatan betapa tingginya penghormatan terhadap jasad manusia walaupun selepas kematian.

Dalam konteks filem seperti Siksa Neraka, ada yang berhujah bahawa visual seksaan neraka boleh memberi keinsafan. Memang benar, sebahagian penonton mungkin tersentuh dan berubah ke arah kebaikan. Tetapi persoalan utamanya bukan pada kesan emosi semata-mata, sebaliknya pada batas yang digariskan syarak.

Gambaran keadaan neraka secara terperinci dalam bentuk visual boleh menimbulkan kekeliruan kerana hakikat sebenar azab hanya diketahui melalui Al-Quran dan hadis, bukan imaginasi manusia.

Fenomena ini juga menunjukkan perbezaan pendekatan dakwah antara masyarakat. Di Indonesia, pendekatan dramatik dan visual sering digunakan untuk menarik perhatian massa.

Di Malaysia pula, pendekatan lebih berhati-hati kerana sensitiviti akidah dan garis panduan pihak berkuasa agama yang tegas dalam hal menggambarkan perkara ghaib.

Sebagai umat Islam, kita perlu bijak membezakan antara mesej moral yang ingin disampaikan dengan batas akidah yang tidak boleh dilanggar.

Menghadapi kematian, Islam tidak mengajar kita untuk membayangkan atau melukis nasib si mati di alam akhirat. Sebaliknya, kita diajar untuk mendoakan keampunan, menyebarkan kebaikan yang pernah dilakukan dan menjaga sensitiviti keluarga yang ditinggalkan. Teknologi boleh membantu kita mengingati, tetapi ia tidak boleh menggantikan wahyu sebagai panduan.

Dalam dunia yang semakin canggih ini, cabaran sebenarnya ialah bagaimana kita menggunakannya tanpa melampaui batas yang telah ditetapkan agama. Jangan sampai niat baik untuk menyedarkan masyarakat akhirnya mengaburkan kebenaran yang sepatutnya kita pelihara.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.