Sejak beberapa bulan ni, kita terpinga-pinga dan tertanya-tanya kenapa Donald Trump tiba-tiba obses nak Greenland? Sampai tahap ugut lagi. Kalau tak boleh cara baik, cara keras pun boleh dipertimbangkan.
Greenland ni merupakan pulau terbesar di dunia yang bukan benua, penuh ais, gunung dan fjord dengan penduduk sekitar 56,000 orang, majoritinya Inuit. Secara politik, Greenland ialah wilayah autonomi di bawah Denmark. Ada kerajaan sendiri, tapi hal luar negara, pertahanan dan mata wang masih dipegang Copenhagen.
Dan di sinilah masalah bermula.
Bagi Trump, Greenland bukan isu budaya, bukan isu sejarah penjajahan Denmark, apatah lagi isu hak menentukan nasib sendiri orang Inuit. Bagi Trump, Greenland ialah titik strategik untuk aset ketenteraan.
Kalau tengok peta dunia dengan mata tentera, Greenland terletak betul-betul di tengah laluan antara Amerika Utara dan Eropah dalam zon yang dipanggil GIUK Gap terdiri daripada Greenland, Iceland, United Kingdom. Laluan ni kritikal untuk kawal pergerakan kapal selam dan kapal perang dari Artik ke Lautan Atlantik. Dalam bahasa mudah, siapa kawal Greenland, dia boleh “intai” separuh dunia Barat.
Sebab tu Amerika Syarikat dah lama ada tapak tentera di sana. Sejak Perang Dunia Kedua lagi. Pangkalan yang kini dikenali sebagai Pituffik Space Base (dulu Thule Air Base) digunakan untuk sistem amaran awal peluru berpandu. Zaman Perang Dingin, tapak ni jadi mata dan telinga Amerika kalau Soviet lancarkan serangan nuklear.
Masalahnya, dunia hari ini bukan lagi dunia 1990-an. Ais Artik makin cair. Laluan kapal baru mula terbuka. Dan di bawah ais Greenland, tersimpan harta yang buat semua kuasa besar berair liur seperti logam nadir bumi, uranium, besi, mungkin minyak dan gas. Semua benda ni kritikal untuk kereta elektrik, senjata moden, teknologi hijau, dan industri pertahanan.
Trump cakap dia tak kisah mineral. Katanya Greenland diperlukan atas sebab keselamatan negara. Tapi orang dalam pentadbiran dia sendiri pernah mengaku, isu sumber semula jadi memang antara sebab utama. Dan kalau jujur, dua-dua ni saling berkait. Tak ada keselamatan tanpa sumber dan tak ada sumber tanpa kuasa ketenteraan.
Bila Amerika baru-baru ni menunjukkan kekuatan ketenteraan dengan tindakan keras di Venezuela, nada Trump terhadap Greenland terus berubah. Dari “kita patut beli” kepada “kita perlu miliki”. Denmark dan Greenland mula sedar ini merupakan tekanan terbuka.
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen terus beri amaran kalau Amerika sanggup guna kekerasan terhadap wilayah sekutu sendiri, itu boleh jadi penamat kepada NATO.
Reaksi orang Greenland pula lebih keras dari yang Trump sangka. Ramai anggap idea “ambil alih” itu sebagai penghinaan. Greenland bukan tanah kosong untuk dijual beli macam hartanah Manhattan. Di sana pun, tanah tak boleh dimiliki individu, ia tanah milik bersama rakyat. Sebab tu bila Trump bercakap seolah-olah Greenland cuma sekeping real estate, ramai orang Inuit rasa maruah mereka dipijak.
Politik dalaman Greenland memang rumit. Hampir semua parti politik bercita-cita nak merdeka sepenuhnya dari Denmark satu hari nanti. Tapi merdeka tak bermakna nak tukar tuan. Kebanyakan rakyat Greenland jelas tak nak tukar bendera Denmark dengan bendera Amerika.
Trump pula tak kisah sentimen halus ni. Dari sudut dia, dunia ialah papan catur. Rusia ada wilayah Artik yang besar. China pula dah isytihar diri sebagai “near-Arctic state” dan bercita-cita bina Laluan Sutera Kutub. Kalau Amerika lambat, Trump percaya musuh akan ambil peluang.
Itu sebabnya isu Greenland buat Eropah panik. Kalau Trump betul-betul berkeras, secara realistik Denmark memang tak mampu lawan Amerika. Pertahanan Greenland kecil. Tentera Denmark di sana terhad. Amerika pula sudah pun ada ratusan anggota dan infrastruktur sedia ada.
Sebab tu sekarang kita nampak diplomasi “pusing badan” Eropah. Mereka cuba yakinkan Trump. Tak perlu rampas, NATO boleh perkuatkan kehadiran ketenteraan bersama. Tambah latihan, tambah pangkalan, tambah pelaburan. Bagi Trump rasa menang, tanpa runtuhkan pakatan Atlantik.
Akhirnya, isu Greenland ni tentang dunia yang sedang berubah. Dunia di mana ais cair membuka laluan baru.
Dunia di mana kuasa besar semakin berani guna tekanan, ugutan, dan kuasa ketenteraan untuk lindungi kepentingan sendiri.
Sama ada Trump akan benar-benar bertindak atau sekadar menekan untuk dapat konsesi besar, Greenland kini jadi simbol persoalan besar abad ke-21 sejauh mana kuasa besar sanggup pergi dan sejauh mana negara kecil mampu bertahan, bila dunia kembali kepada logik “yang kuat, dia dapat”.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




