Sebenarnya isu tujuh pemain warisan Harimau Malaya belum tamat lagi. Dalam keadaan ramai penyokong dah terima hakikat skuad kebangsaan terpaksa dibatalkan kemenangan oleh FIFA, tiba-tiba datang keputusan daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan atau Court of Arbitration for Sport (CAS).

Ringkasnya begini. CAS telah membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan atau Stay of Execution yang difailkan bagi pihak tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel. Ini bermaksud hukuman penggantungan 12 bulan yang dikenakan oleh FIFA sejak September lalu ditangguhkan buat sementara waktu.

Bahasa mudahnya, penggantungan itu ‘dibekukan’. Bukan dibatalkan, bukan juga digugurkan, tapi dihentikan sementara. Selagi rayuan penuh di CAS belum diputuskan, ketujuh-tujuh pemain ini dibenarkan untuk bermain bola seperti biasa bersama kelab masing-masing dan secara teknikalnya mungkin bersama pasukan kebangsaan jika dipanggil.

Di sinilah ramai orang mula keliru. Ada yang terus anggap FIFA dah kalah, ada yang fikir pemain ni dah ‘bersih’.

Hakikatnya tidak semudah itu. Keputusan CAS ini bukan penghakiman muktamad terhadap salah atau betul kes tersebut. Ia lebih kepada memberi ruang sementara supaya pemain tidak terus dihukum sebelum semua bukti, hujah dan proses undang-undang sukan diselesaikan sepenuhnya.

Untuk faham kenapa kes ini jadi sebesar ini, kita kena undur sikit ke belakang. Penggantungan asal oleh FIFA berpunca daripada isu dokumentasi pemain warisan iaitu isu yang menyentuh soal kewarganegaraan Malaysia serta dakwaan pemalsuan atau penipuan dokumen. Ia melibatkan integriti sistem pendaftaran pemain dan kredibiliti bola sepak negara.

Disebabkan itu, FAM menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Bebas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif. Laporan jawatankuasa ini mengenal pasti dua perkara besar iaitu persoalan bagaimana kewarganegaraan diberikan dan kemungkinan wujudnya elemen pemalsuan dokumen. Laporan polis perlu dibuat dan sistem pendaftaran pemain warisan mesti diperketatkan.

Beberapa hari lalu, PDRM telah mengenal pasti dua individu yang dipercayai menjadi dalang dalam isu pemalsuan dokumen ini. Namun setakat ini, FAM masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi terperinci tentang perkembangan siasatan tersebut. Kes jenayah berjalan di satu laluan, manakala kes sukan antarabangsa berjalan di laluan lain.

Di sinilah CAS memainkan peranan penting. Dalam sistem sukan antarabangsa, CAS berfungsi sebagai mahkamah tertinggi untuk pertikaian sukan. Keputusan mereka boleh menangguhkan, mengubah atau mengesahkan tindakan badan seperti FIFA. Jadi apabila CAS membenarkan Stay of Execution, ia memberi mesej jelas bahawa kes ini belum boleh ditutup.

Bagi Harimau Malaya, keputusan ini datang pada masa yang sensitif. Pasukan kebangsaan sedang melalui fasa pembinaan semula dan sebelum ini terpaksa beraksi tanpa tujuh pemain ini termasuk dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027. Dengan penangguhan hukuman ini, secara teori pintu masih terbuka untuk mereka kembali menyarung jersi Harimau Malaya walaupun keputusan sebenar akhirnya bergantung kepada hala tuju rayuan di CAS nanti.

Apa yang perlu difahami oleh penyokong ialah ini sekadar ‘nafas sementara’. Jika rayuan penuh gagal, hukuman penggantungan boleh dikuatkuasakan semula. Jika rayuan berjaya, barulah kes ini benar-benar berubah arah.

Keputusan muktamad CAS nanti akan menentukan sama ada ini ia akan jadi titik perubahan paling besar dalam sejarah bola sepak Malaysia moden.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.