Dah lah, aku dah penat nak hadap pseudosejarah macam ni lagi. Sebelum ni prof tu, harini cikgu ni pulak. Esok lusa ahli politik pula kot.

Tiba-tiba muncul satu dakwaan kononnya bahtera Nabi Nuh a.s terdampar di Tanah Melayu. Siap disebut “di gunung tertentu”, siap diselit ayat kononnya “sebelum ada Melayu, sebelum ada Perak, Kelantan, sudah ada binaan misteri, piramid, tinggalan purba dan akhirnya… bahtera Nabi Nuh.”

Masalahnya satu je. Bunyi macam hebat, tapi kosong isi.

Mari kita luruskan cerita ni pelan-pelan supaya orang awam pun boleh faham mana fakta, mana imaginasi alam sebalik mata.

Pertama sekali, kisah Nabi Nuh dan bahtera baginda memang bukan mitos. Dalam Islam, al-Quran menyebut dengan jelas peristiwa banjir besar sebagai azab terhadap kaum yang kufur dan bahtera sebagai alat keselamatan bagi Nabi Nuh dan pengikutnya yang beriman. Itu tidak dipertikaikan. Kristian dan Yahudi pun ada kisah yang sama dalam kitab mereka. Jadi dari sudut agama, peristiwa banjir besar itu diterima sebagai sejarah keimanan.

Yang jadi masalah bila orang mula tambah lokasi sesuka hati.

Dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan bahtera Nabi Nuh mendarat di Bukit Judi. Itu disebut secara jelas dalam Surah Hud ayat 44. Bukit Judi pula bukan satu tempat rawak yang boleh kita letak ikut selera. Dalam tafsir-tafsir terdahulu seperti Tafsir Ibnu Kathir dan al-Tabari, Bukit Judi diletakkan di wilayah Al-Jazirah, kawasan Mesopotamia sekitar Iraq–Turki hari ini. Bukan di Asia Tenggara, bukan di Nusantara dan bukan di Tanah Melayu.

Kalau ikut Bible pula, Kitab Kejadian menyebut “pergunungan Ararat”. Sebab itu sejak ratusan tahun, ekspedisi pencarian bahtera tertumpu di kawasan Turki, Armenia, Iran dan sekitarnya. Ada yang mendakwa jumpa struktur kayu, ada yang dakwa rakaman satelit, ada yang buat ujian karbon. Tapi sehingga hari ini, satu pun tidak diiktiraf secara muktamad oleh komuniti arkeologi antarabangsa.

Maknanya apa? Maknanya lokasi bahtera Nabi Nuh masih misteri, tapi misteri yang berlegar dalam satu kawasan geografi yang sama iaitu di Timur Tengah dan Asia Barat.

Masalah besar timbul bila tiba-tiba ada orang lompat beribu kilometer ke Asia Tenggara dan kata, “Bahtera Nabi

Nuh ada di Tanah Melayu.”

Soalan mudah saja, sandar pada apa?

Tak ada ayat al-Quran.
Tak ada hadis sahih.
Tak ada tafsir muktabar.
Tak ada manuskrip lama Alam Melayu.
Tak ada rekod arkeologi.
Tak ada kajian akademik.

Yang ada cuma ayat “ada dakwaan”, “pernah tak terfikir”, “kalau dibuka nanti orang kata kita banyak tahu”.

Itu bukan hujah. Itu teknik bersembang kacip. Tak lama lagi boleh naik sampai bulan.

Mengaitkan tamadun tempatan dengan kisah Nabi Nuh tanpa bukti bukan mengangkat sejarah, tapi merosakkan kefahaman orang awam.

Lagi satu perkara penting yang selalu orang terlepas pandang, kisah Nabi Nuh berlaku ribuan tahun sebelum kemunculan mana-mana tamadun Austronesia. Kajian linguistik, arkeologi dan genetik menunjukkan penghijrahan awal ke Alam Melayu berlaku jauh kemudian. Jadi dari sudut kronologi pun, dakwaan bahtera Nabi Nuh “terdampar di gunung-gunung Tanah Melayu” memang tak masuk akal.

Dan jangan lupa yang banjir Nabi Nuh ni bukan macam banjir kat Kelantan tu. Al-Quran menggambarkan ombak seperti gunung-ganang. Itu sebab kawasan pendaratan bahtera mesti kawasan pergunungan besar yang relevan dengan pergerakan geologi Asia Barat, bukan gunung tropika Asia Tenggara yang terbentuk dalam konteks geologi berbeza.

Malah bukan Melayu je ada masalah overclaim macam ni. Barat pun sama naik. Masuk tahun 2026, cerita sama diulang lagi.

Pada Januari 2026, beberapa media Barat heboh melaporkan penemuan serpihan seramik berhampiran formasi berbentuk kapal di Durupinar, timur Turki. Tajuk-tajuk sensasi mula keluar kononnya “penemuan arkeologi boleh membuktikan kewujudan bahtera Nabi Nuh”. Ada yang siap tulis “finally found”.

Tapi realitinya jauh berbeza.

Profesor geografi Turki sendiri, Faruk Kaya dari Ağrı İbrahim Çeçen University tampil menenangkan keadaan. Beliau menegaskan bahawa serpihan seramik itu hanya menunjukkan kemungkinan aktiviti manusia di kawasan tersebut sejak Zaman Chalcolithic sekitar 5500 hingga 3000 Sebelum Masihi. Itu sahaja. Bukan bukti bahtera Nabi Nuh.

Kata beliau, setakat kajian dilakukan, tiada maklumat atau bukti yang memuaskan untuk mengaitkan tapak itu dengan bahtera Nabi Nuh. Formasi Durupinar memang berbentuk seperti kapal dan terletak berhampiran Gunung Ararat, sebab itu ia menarik perhatian. Tetapi bentuk semata-mata tak cukup. Untuk diiktiraf sebagai bahtera, ia perlu data arkeologi, dokumentasi saintifik dan bukti struktur binaan manusia dan semua itu masih belum wujud.

Masalah sebenar bukan kekurangan bukti. Masalahnya ialah budaya suka sensasi. Cerita dibesar-besarkan sampai orang awam sangka misteri ribuan tahun sudah selesai.

Hakikatnya, belum.

Masalah sebenar dengan podcast dan dakwaan mengarut macam ni pulak bukan sekadar salah fakta. Masalahnya ia mencampur adukkan agama, sejarah, mistik dan nasionalisme kosong untuk nampak “hebat”. Akhirnya orang awam jadi keliru, agama nampak seperti cerita dongeng dan sejarah pula jadi bahan sensasi.

Nak bangga dengan Tanah Melayu, banggalah dengan benda betul. Bangga dengan sejarah pelayaran, perdagangan, jaringan maritim, kerajaan awal, ilmu perubatan tradisional, seni bina, manuskrip lama. Tak perlu reka bahtera Nabi Nuh singgah di gunung kita.

Kalau tak ada bukti, lebih baik diam daripada bercakap benda yang akhirnya memalukan diri sendiri.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.