Sekarang ni tengah viral satu aplikasi navigasi bernama AMap. Ramai yang promote katanya lebih “smart” daripada Waze dan Google Map. Dia bukan setakat tunjuk jalan, siap bagitahu kena duduk lorong mana, traffic light dan siap bagitahu ada tol lagi. Ringkas cerita, nampak canggih dan menggoda untuk dicuba.
Tapi bila orang mula betul-betul belek, ramai yang baru perasan. Dalam peta AMap tu, dengan jelas dipaparkan garisan tuntutan China yang dikenali sebagai Nine-Dash Line, malah dalam versi peta terkini China, ia sudah berkembang menjadi Ten-Dash Line. Benda ni bermain dengan isu kedaulatan negara.
Untuk yang belum biasa, AMap ialah aplikasi peta dari China yang dibangunkan oleh Alibaba Group melalui platform Gaode Map. Di China, aplikasi Barat macam Google Maps dan Waze memang tak berfungsi dengan baik akibat sekatan Great Firewall. Jadi AMap dicipta khusus untuk kegunaan domestik China dan dari segi ketepatan dalam negara mereka, ramai akui ia memang sangat tepat.
Masalahnya, bila aplikasi yang sama digunakan di luar China, peta yang dipaparkan tetap ikut Peta Piawai China edisi 2023. Dan dalam peta piawai inilah, tuntutan wilayah China dilukis seolah-olah ia satu “fakta” yang normal dan diterima dunia.
Dalam peta AMap, sebahagian besar Laut China Selatan masih ditandakan sebagai wilayah China. Beting Serupai yang kita kenal sebagai James Shoal dan terletak berhampiran Sarawak diletakkan sebagai wilayah paling selatan China dan dinamakan Zengmu Ansha. Kepulauan Spratly pula dipanggil Nansha Qundao. Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum turut dimasukkan ke dalam peta wilayah China. Semua ini bukan silap teknikal. Ia disengajakan kerana itulah naratif rasmi yang China mahu dunia lihat.
Bayangkan berjuta pengguna di Malaysia, Filipina, Vietnam dan Indonesia guna aplikasi yang sama setiap hari. Tanpa sedar, peta itulah yang mereka hadam. Dua puluh atau tiga puluh tahun akan datang, generasi yang malas baca sejarah mungkin akan anggap tuntutan itu sah sebab “dari dulu map tunjuk macam tu”.
“Ala bro, peta je pun. Relax la.”
Tak. Peta ni lah alat politik paling halus. Sejak zaman penjajahan lagi, kuasa besar guna peta untuk mengabsahkan tuntutan mereka. Bila sesuatu wilayah dilukis berulang kali sebagai “milik” sesebuah negara, lama-lama ia jadi normal dalam kepala orang ramai. Itulah yang dipanggil territorial claims establishment. Bina tuntutan melalui pengulangan, bukan melalui senjata. Ingat lagi kenapa wilayah Selatan Thai seperti Patani dan Kepulauan Riau terpisah daripada Tanah Melayu sebab British lukis peta sesuka hati?
Yang buat keadaan ni lagi sensitif, AMap bukan setakat tunjuk tuntutan di Laut China Selatan. Dalam peta piawai China yang sama, wilayah Arunachal Pradesh dan Aksai Chin di India turut dimasukkan sebagai wilayah China.
Kawasan Doklam di Bhutan pun sama. Malah Pulau Bolshoy Ussuriysky di Sungai Amur yang sebahagiannya sudah diselesaikan antara Rusia dan China pada 2008, turut dilukis sepenuhnya sebagai milik China. Punyalah tamak haloba.
Di Malaysia, isu ni jadi lebih panas bila beberapa halaman besar media sosial dilihat mempromosikan AMap tanpa sebarang konteks geopolitik. Sekadar puji visual cantik dan fungsi mudah. Hakikatnya, dari sudut penggunaan harian, ramai pengguna sendiri mengaku AMap taklah jauh lebih hebat daripada Waze atau Google Maps bila digunakan di luar China. Ketepatannya pun dipersoalkan.
Jadi persoalannya mudah. Kalau fungsinya tak jauh beza, tapi kandungannya secara jelas mencabar kedaulatan negara, kenapa kita perlu sokong?
Tiada siapa kata AMap haram digunakan terus. Kalau melancong ke China, gunalah. Memang itu antara aplikasi paling tepat di sana. Tapi bila dah balik Malaysia, bila kita berada di negara berdaulat yang wilayah perairannya turut dituntut secara tidak sah oleh China, pilihan paling selamat dan bermaruah ialah nyahpasang sahaja.
Kesetiaan kepada negara bukan diukur melalui slogan besar. Kadang-kadang ia bermula dengan keputusan kecil di telefon kita sendiri.
Sebab tu ramai berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil tegas dan menilai semula kewujudan aplikasi ini di Malaysia. Isunya jelas. Ini bukan soal teknologi. Ini soal kedaulatan.
Benda yang nampak cantik, belum tentu baik.
Dan benda yang nampak kecil, kadang-kadang itulah yang paling bahaya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




