Mesti korang dah biasa dengar yang keturunan Syed dan Syarifah ni datang dari susur galur Ahlul Bait. Tapi korang tau tak macam mana keturunan ni sampai di Alam Melayu?
Macam mana nak kenal golongan Syed?
Golongan Syed ni dapat dibezakan dengan penggunaan nama keluarga di belakang nama seperti al-Attas, al-Juneid, al-Jufri, al-Aidid, al- Shahabuddin, al-Kaff, al-Sagoff, al-Jamalullail, al-Habsyi dan al-Idrus.
Golongan Syed ni berpindah ke Alam Melayu secara berperingkat-peringkat dalam sejarah. Golongan Syed di Malaysia rata-ratanya keturunan diorang datang dari Hadramaut, Yaman.
Daerah Tarim di Hadramaut yang mana kebanyakan keturunan golongan Syed di Malaysia berasal merupakan pusat pengajian Islam yang mahsyur dan pusat kegiatan dakwah sahabat-sahabat Rasulullah SAW seperti Sayyidina Ali, Mu’az bin Jabal, Abu Musa al-Ash’ari dan Khalid al-Walid.
Golongan Syed Hadrami juga digelar Ba ‘Alawi merujuk kepada keturunan ‘Ali bin ‘Alawi yang berhijrah ke Tarim pada 1127M.
Susur galur ‘Ali bin ‘Alawi datang dari Ahmad bin ‘Isa al-Muhajir yang merupakan keturunan kesepuluh dari Rasulullah SAW daripada cucu baginda, Sayyidina Hussain.
Ahmad bin Isa berpindah ke Hadramaut pada 929M dari Basra. Beliau berlindung dari pemburuan ke atas keturunan Sayyidina Ali di zaman khilafah Abbasiyah.
Proses penghijrahan ni sedikit-sebanyak mengaburkan salasilah anak cucunya, sehinggalah dakwaan golongan Syed Alawiyyah ni terbukti dalam peristiwa pengesahan nasab yang berlangsung di Mekah.
Ianya merupakan hasil kajian yang dilakukan oleh alim ulama Hadrami dan diperakukan ulama sezaman dan jemaah haji.
Semenjak penghijrahan kelompok Ba ‘Alawi ke Tarim, pemeliharaan salasilah dianggap penting oleh golongan Syed Alawiyyah.
Macam mana diorang datang ke Alam Melayu?
Hubungan orang benua Arab dengan Alam Melayu sebenarnya dah terjalin sebelum daripada gelombang penghijrahan golongan Syed Hadrami.
Kepulauan Melayu merupakan tempat persinggahan yang popular untuk pedagang Arab dalam pelayaran mereka ke China.
Menurut Syed Naquib al-Attas, ramai pendakwah awal yang datang ke Alam Melayu sememangnya adalah golongan Syed yang datang langsung dari Hadramaut.
Ulama yang dikatakan berasal dari benua India pun pada hakikatnya adalah berdarah Arab atau Parsi yang karya-karya diorang membawa ciri-ciri Arab atau Parsi.
Disinilah diorang berasimilasi dengan masyarakat tempatan antaranya dengan cara perkahwinan campur.
Golongan Syed Hadrami menembusi kesultanan-kesultanan di Tanah Melayu menerusi aktiviti dakwah dan rundingan kepada keluarga raja yang juga lazimnya diikat dengan perkahwinan kedua-dua pihak.
Lepastu Raja Perlis tu macam mana boleh datang daripada keluarga Syed jugak?
Perlis asalnya merupakan wilayah Kesultanan Kedah. Asal usul Kesultanan Kedah berkait rapat dengan Ahlul Bait Rasulullah iaitu Syeikh Abdullah al-Qumairy dari Yaman.
Kerajaan Perlis pun memiliki akar yang berkait dengan Ahlul Bait Rasulullah. Kerajaan Perlis diasaskan oleh para Habib jurai Jamalullail berasal dari Tarim, Hadhramawt, Yaman dengan latar belakang mazhab Syafie dan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Jurai Jamalullail ni ialah keturunan dari Habib Muhammad al-Jamalullail bin Hassan al-Muallim bin Muhammad Asadullah bin Hassan al-Turabi bin Ali bin Muhammad al-Faqih Muqaddam bin Ali BaAlawi bin Muhammad Sahib Mirbath bin Ali Khali Qassam bin Alwi bin Muhammad Sahib Sumaah bin Alwi bin Ubaidillah bin Ahmad bin Isa al-Muhajir bin Muhammad bin Ali al-Uraidhi bin Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainul Abidin bin Hussein bin Ali bin Abi Talib dan Fatimah az-Zahra binti Muhammad Rasulullah.
Gelaran “Jamalullail” diberikan kepada Habib Muhammad al-Jamalullail kerana kecintaan beliau melakukan ibadah tahajjud di malam hari.
Pada tahun 1735, Salah seorang keturunan Habib Muhammad al-Jamalullail, iaitu Syed Ahmad bin Hussein Jamalullail berhijrah dari Yaman ke Kedah.
Putranya, Syed Harun Jamalullail berhijrah ke Chenak kemudian akibat tekanan Raja Siam, beliau pulang ke Kedah mendirikan sebuah penempatan di Arau, Kedah.
Sultan Kedah, Sultan Dhiauddin Mukarram Syah II memuliakan Ahlul Bait dan menikahkan puterinya dengan Syed Harun Jamalullail dan melantiknya sebagai penghulu pertama Mukim Arau.
Apabila Siam menawan Kedah dalam siri Perang Musuh Bisik. Siam pisahkan wilayah Kedah jadi empat wilayah berasingan yang dipanggil “Mueang”.
Wilayah tersebut ialah Mueang Saiburi (Kedah), Mueang Kupangpasu (Darul Qiyam), Mueang Satun (Setul) dan Mueang Polit (Perlis).
Sewaktu perang berlangsung, Syed Harun Jamalullail meninggal dunia. Syed Hussein Jamalullail mewarisi jawatan ayahnya sebagai penghulu Mukim Arau yang kedua pada tahun 1825.
Syed Hussein Jamalullail bersama kerabat Kesultanan Kedah iaitu Tunku Anum dan ramai lagi bangsawan lain melancarkan kempen Jihad melawan Siam.
Pada tahun 1839, Raja Siam lantik Syed Hussein Jamalullail jadi Timbalan Gabenor bagi Mueang Polit dam kemudiannya jadi Gabenor Mueang Polit.
Pada tahun 1842, setelah Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin setuju dengan syarat-syarat Raja Siam, wilayah Kedah dipulangkan semula dari tawanan Siam.
Namun, wilayah Perlis diasingkan dan tak dipulangkan, Perlis diletakkan terus dibawah pentadbiran Raja Siam di Bangkok. Syed Hussein Jamalullail dilantik sebagai Phrya Polit (Raja Perlis) yang pertama pada 1843.
Tradisi Raja-Raja Perlis mengirim ufti berbentuk bunga emas dan perak kepada Raja Siam dimulai pada 1845.
Negeri Perlis dikenal sebagai Perlis Indera Kayangan, dengan pemerintahan yang menggunakan gelar “Raja” sebagai tak seperti “Sultan” yang digunakan di Kedah.
Keturunan Syed Hussein Jamalullail terus memerintah Perlis sampai sekarang. Banyak dari mereka berkahwin dengan keluarga bangsawan tempatan atau masyarakat umum.
Tradisi ziarah ulama Habaib dari Yaman ke Alam Melayu masih berlangsung hingga kini, memperkuat hubungan antara Ahlul Bait dan pemerintah Melayu.
Sebahagian istana Raja-Raja Melayu seperti Kerajaan Johor, Perak, Terengganu, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan masih mengekalkan hubungan akrab dengan para ulama Ahlul Bait sehingga kini.
Ianya dah jadi tradisi sejak zaman dahulu bahawa ulama Ahlul Bait jadi Mursyid atau penasihat peribadi kepada para Sultan Melayu terutama ketika zaman menentang penjajah.
Tidak dipastikan sejauh mana keakraban pihak Istana Kedah, Perlis dan Kelantan dengan para ulama Habaib kerana keterbatasan maklumat.
Jadi betul ke keturunan Ahlul Bait ni automatik masuk syurga walaupun tak solat, buat jahat, langgar hukum agama?
Jawapannya tidak.
Darah keturunan Nabi SAW bukan tiket kebal neraka. Kalau tak solat, tak ikut perintah agama, buat maksiat sesuka hati, hukuman tetap berjalan. Akhirat tak pilih ikut warna kulit, pangkat atau susur galur. Yang Allah nilai ialah iman dan ketaatan.
Dalam masa yang sama, berbangga dengan keturunan itu dibenarkan. Bangga jadi Syed, bangga jadi Tengku, bangga dengan asal-usul keluarga itu tak salah. Yang haram, bila rasa diri lebih mulia lalu rendahkan keturunan orang lain.
Keturunan yang mulia sepatutnya melahirkan akhlak yang lebih mulia, bukan rasa selamat palsu. Sebab akhirnya, di hadapan Tuhan, yang membezakan manusia bukan darah, tetapi agama dan amal.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




