Saidina Ali Bin Abi Talib, satu nama yang tidak asing lagi buat kita umat Islam. Satu nama besar sirah agama kita. Baginda merupakan seorang sahabat dan juga menantu kepada Junjungan Besar kita, Rasulullah SAW.
Baginda merupakan antara orang terawal yang memilih untuk memeluk akidah dan pegangan agama Islam, iaitu semenjak di peringkat usia kanak-kanaknya lagi. Baginda daripada peringkat awal penyebaran ajaran Islam itu, setia berada di samping Rasulullah SAW.
Baginda juga turut dikenali dengan kehebatannya di medan tempur, dengan pedangnya yang bergelar Zulfaqar yang sering kali digunakannya untuk bertempur. Seorang pahlawan yang handal bertempur, yang mana keberaniannya itu telah diakui dalam sejarah.
Terdapat satu peristiwa melibatkan baginda yang kisahnya ini diangkat sebagai bukti keadilan dalam agama Islam itu, tiada mengenal kaum dan warna kulit. Tiada juga menaikkan yang berkuasa mahupun yang kaya.
Semuanya diadili menurut kepada soal yang hak tanpa mengira status orang yang diadili itu.
Kisah ini berlaku sewaktu Saidina Ali sudahpun menjawat jawatan Khalifah Islam. Dalam kisah ini diceritakan bahawa baginda telah kehilangan zirah besi yang sering digunakannya di medan tempur. Zirah besi itu juga dianggap baginda sebagai satu harta bendanya yang paling disayangi.
Baginda pun mencari akan zirahnya itu yang hilang. Dalam usaha pencariannya itu, terlihat dek baginda akan seorang Yahudi yang sedang mengenakan sepasang zirah besi yang rupanya persis zirah besi miliknya yang hilang tadi. Bahkan, baginda yakin sekali bahawa zirah besi itu adalah kepunyaannya.
Maka, baginda pun pergi kepada sang pemakai itu dan menuntutnya untuk mengembalikan zirah itu kepadanya.
Lelaki Yahudi itu menafikan dakwaan baginda dan dengan tegas menyatakan bahawa zirah itu kini miliknya.
Lantas perbalahan itu diangkat dan dihadapkan di hadapan seorang Qadi yang bertindak sebagai hakim.
Bayangkan, baginda boleh sahaja menggunakan kuasa yang dimilikinya untuk merampas sahaja zirah itu daripada lelaki Yahudi tersebut. Tetapi, baginda memilih untuk mendapatkan pengadilan daripada jalan yang sepatutnya.
Di hadapan Qadi, baginda membawa kedua-dua puteranya, Hasan dan Husain sebagai saksi untuk mengukuhkan hujahnya bahawa zirah itu sememangnya adalah milik mutlak dirinya. Namun Qadi menolak kerana menurut pengadilan Islam, saksi daripada kalangan kaum kerabat adalah tidak dibenarkan.
Jadinya, dengan itu juga tuntutan baginda itu telah ditolak oleh Qadi yang menyatakan bahawa baginda tidak mampu untuk membuktikan bahawa zirah besi yang dipegang oleh lelaki Yahudi itu sebenar-benarnya adalah miliknya.
Bagaimanapun di akhir cerita ini, lelaki Yahudi itu tadi kagum dan takjub akan pengadilan yang dibuat oleh Qadi tadi, di samping sikap Saidina Ali yang begitu merendah diri, di mana baginda lebih memilih untuk menuntut zirah itu menerusi muka pengadilan berbanding merampasnya sahaja daripada dirinya.
Dek kagumnya itu menyebabkan dirinya melakukan pengakuan bahawa zirah itu sememangnya adalah milik Saidina Ali. Dia telah bertindak memulangkannya semula kepada pemiliknya yang sah, iaitu Saidina Ali, sebelum pada akhirnya telah mengambil inisiatif untuk memeluk agama Islam.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




