Segala-galanya bermula pada tahun 1987 di wilayah Henan, China. Waktu itu sekumpulan pekerja pembinaan sedang sibuk menggali tanah untuk projek empangan air di kawasan bernama Xishuipo.

Sedang mereka mencangkul dan jentera meratah tanah, tiba-tiba kerja mereka terhenti. Mereka terlanggar sesuatu yang aneh. Bukan emas, bukan tembikar, tetapi satu lapisan tanah yang dipenuhi dengan ribuan kulit kerang berwarna putih.

Bila tanah itu dikuis perlahan-lahan, para pekerja tergamam. Kulit kerang itu bukan ditabur secara rawak. Ia disusun dengan sangat teliti membentuk corak haiwan gergasi yang sedang merayap.

Pihak berkuasa dipanggil dan kawasan itu serta-merta diisytiharkan sebagai zon larangan. Ahli arkeologi yang turun padang mengesahkan bahawa ini bukan kubur biasa. Ia adalah tapak perkuburan dari Budaya Yangshao yang berusia 6,500 tahun.

Di tapak penggalian Xishuipo ini, pasukan arkeologi sebenarnya menemui banyak tinggalan sejarah termasuk berpuluh-puluh kubur lain dan sisa penempatan purba. Kebanyakan kubur yang ditemui adalah ringkas dan tidak mempunyai sebarang tanda istimewa.

​Tetapi, tumpuan seluruh pasukan itu tiba-tiba terarah kepada satu lubang khusus yang kemudiannya diberi kod ‘M45’. Kubur ini berbeza sama sekali daripada yang lain.

Di tengah-tengah lubang kubur tersebut, terbaring rangka seorang lelaki dewasa. Apa yang pelik adalah saiz fizikalnya. Rangka ini mempunyai ketinggian sekitar 1.84 meter.

Korang kena faham konteks zaman purba. Pada zaman Neolitik di mana nutrisi makanan tidak seimbang, manusia purata biasanya rendah dan kecil. Kehadiran seorang lelaki setinggi 1.84 meter pada waktu itu adalah satu fenomena luar biasa.

Dia ibarat “gergasi” dalam kalangan kerdil.

Statusnya sebagai orang kenamaan disahkan lagi dengan apa yang ada di sekeliling mayatnya.

Di sebelah kiri mayat (arah Timur), tersusun ribuan kulit kerang putih yang membentuk imej seekor Naga.

Manakala di sebelah kanan mayat (arah Barat), tersusun pula imej seekor Harimau.

Penemuan ini meletupkan minda pengkaji sejarah. Selama ini kita ingat konsep Naga dan Harimau dalam budaya Cina datang kemudian. Rupa-rupanya nenek moyang mereka sudah menggunakan simbol ini sejak 6,500 tahun dulu lagi.

Malah, susunan ini bukan hiasan kosong. Ia adalah bukti sains astronomi yang sangat genius.

Ahli paleo-astronomi mengesahkan bahawa Naga dan Harimau di dalam kubur M45 itu sebenarnya adalah peta bintang di langit. Naga mewakili buruj yang kita kenal hari ini sebagai Scorpio (di Timur), manakala Harimau mewakili buruj Orion (di Barat).

Ini bermakna, lelaki “gergasi” yang mati itu bukan calang-calang orang. Dia mungkin seorang “Raja” atau boleh jadi Dukun Besar yang memegang kunci rahsia langit dan bumi. Dia dikebumikan dengan posisi kepala di Selatan dan kaki di Utara, selari dengan paksi bumi.

Tapi, di sebalik kekaguman kita pada kebijaksanaan orang purba ini, kubur M45 menyimpan satu rahsia gelap yang sangat sadis.

Cuba korang perhatikan betul-betul rajah kubur tersebut. Si Gergasi itu tidak “tidur” bersendirian.

Di dalam lubang yang sama, terdapat tiga lagi rangka manusia lain. Tetapi saiz mereka jauh lebih kecil. Analisis tulang mengesahkan bahawa mereka adalah kanak-kanak remaja yang berusia antara 12 hingga 16 tahun.

Kenapa ada budak-budak dalam kubur orang kenamaan?

Jawapannya mudah dan menyakitkan hati.

Pengorbanan Manusia.

Kedudukan mayat budak-budak ini sangat mencurigakan. Mereka tidak dibaringkan dengan hormat seperti tuan mereka. Ada yang diletakkan dalam posisi terlipat, ada yang diletakkan di bahagian kaki, seolah-olah taraf mereka hanyalah hamba abdi yang dipaksa ikut untuk menemani si mati.

Pemeriksaan forensik pada tulang mereka menemui tanda-tanda kematian yang tidak wajar. Ada kemungkinan besar mereka dibunuh sejurus sebelum pengebumian atau lebih ngeri lagi, ditanam hidup-hidup bersama mayat gergasi tersebut.

Bayangkan ketakutan tiga remaja ini. Mereka mungkin dipilih bukan sebab mereka bersalah, tetapi semata-mata sebab tuan mereka perlukan “teman” atau “pengawal” untuk perjalanan ke alam barzakh.

Darah muda mereka menjadi galang ganti kepada kepercayaan mistik seorang pemimpin.

Penemuan Xishuipo ini mengajar kita dua sisi manusia yang kontras.

Satu sisi menunjukkan betapa hebatnya akal manusia purba. 6,500 tahun dulu, bila bangsa lain masih duduk dalam gua, orang di Xishuipo dah pandai tengok bintang, kenal buruj dan susun falsafah Feng Shui (Naga Timur, Harimau Barat).

Tapi sisi satu lagi menunjukkan betapa kejamnya hati manusia bila berpegang pada kuasa dan takhayul. Nyawa budak-budak yang tidak berdosa dianggap tidak berharga, sekadar “aksesori” tambahan untuk melengkapkan ritual kematian seorang bangsawan.

Hari ini, tapak Xishuipo diiktiraf sebagai tempat lahirnya “The First Dragon of China”. Ia menjadi kebanggaan negara Tembok Besar itu.

Namun bagi kita yang melihat dengan mata hati, kubur M45 adalah saksi bisu kepada tragedi tiga nyawa muda yang diragut secara paksa. Mereka terkubur di situ, di celah-celah kulit kerang naga dan harimau, senyap seribu bahasa di tebing Sungai Kuning.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.