Bayangkan anda baru sahaja terselamat daripada kemalangan kereta yang sangat ngeri sehingga trauma seumur hidup.
Adakah anda berani untuk memandu semula kereta yang sama tetapi kali ini enjinnya jauh lebih besar dan laju?
Itulah dilema gila yang sedang dihadapi oleh negara matahari terbit, Jepun.
Dunia masih belum lupa tarikh 11 Mac 2011. Tarikh di mana loji nuklear Fukushima Daiichi meletup akibat tsunami dan memuntahkan radiasi ke udara.
Sejak hari itu, Jepun seolah-olah “bertaubat”. Mereka menutup hampir kesemua loji nuklear mereka atas faktor keselamatan.
Namun, laporan terkini mengesahkan bahawa kerajaan Jepun kini sudah berubah fikiran.
Mereka bersedia untuk menghidupkan semula loji nuklear Kashiwazaki-Kariwa yang terletak di wilayah Niigata.
Ini bukan loji biasa-biasa tau. Kashiwazaki-Kariwa adalah loji tenaga nuklear terbesar di dunia.
Ia memiliki tujuh reaktor gergasi yang mampu menjana lebih 8,200 Megawatt tenaga elektrik. Kuasanya cukup untuk menerangi seluruh bandar Tokyo!
Persoalannya, kenapa Jepun sanggup ambil risiko maut ini sedangkan parut luka Fukushima masih berdarah?
Adakah mereka tidak serik?
Jawapannya terletak pada satu realiti geopolitik yang kejam iaitu Jepun adalah sebuah negara yang “miskin”.
Walaupun mereka gergasi teknologi, Jepun tiada sumber asli. Mereka tiada minyak, tiada gas asli dan tiada arang batu.
Selama loji nuklear ini ditutup, Jepun terpaksa mengimport hampir 90 peratus keperluan tenaga mereka dari luar. Mereka membakar gas asli cecair (LNG) dan arang batu semata-mata untuk memastikan lampu di Tokyo terus menyala.
Akibatnya, ekonomi Jepun mengalami pendarahan yang agak teruk.
Setiap kali berlaku perang di Ukraine atau ketegangan di Timur Tengah, harga bahan api melambung tinggi.
Jepun terpaksa bayar harga mahal dan ini menyebabkan defisit perdagangan mereka semakin parah.
Mata wang Yen jatuh merudum sebab banyak duit keluar.
Jepun sedar mereka tidak boleh selamanya menjadi hamba kepada harga minyak dunia.
Tambahan pula, cita-cita Jepun untuk menjadi kuasa besar AI dan semikonduktor memerlukan tenaga elektrik yang stabil dan murah.
Pusat data AI “makan” elektrik macam air. Tenaga solar dan angin tidak cukup kuat untuk menampung keperluan industri masa depan ini.
Maka, Perdana Menteri Fumio Kishida tiada pilihan lain. Beliau terpaksa akur dengan desakan realiti.
Nuklear adalah satu-satunya jalan keluar untuk memastikan kelangsungan hidup atau survival ekonomi Jepun.
Tetapi, langkah ini penuh dengan kontroversi “bodoh” yang menyakitkan hati rakyatnya.
Ironinya, loji Kashiwazaki-Kariwa ini dikendalikan oleh syarikat TEPCO. Ya, syarikat sama yang gagal menguruskan bencana di Fukushima dahulu.
Malah pada tahun 2021, operasi loji ini pernah digantung bukan sebab isu teknikal yang canggih tetapi sebab isu keselamatan yang remeh.
Ada pekerja didapati menggunakan kad ID orang lain untuk masuk ke bilik kawalan utama. Kecuaian manusia sebegini yang membuatkan rakyat Jepun tidak boleh tidur malam.
Kini, larangan itu telah ditarik balik. “Raksasa Nuklear” itu sedang dipanaskan enjinnya untuk bangun daripada tidur yang panjang.
Apa Kaitannya Dengan Malaysia?
Kita di Malaysia jangan hanya gelak tengok Jepun. Kita sebenarnya sedang menuju ke jalan yang sama.
Baru-baru ini kita berbangga apabila NVIDIA dan YTL Power umum nak buat pusat data AI di Johor. Kita juga seronok bila gergasi seperti Google dan Microsoft nak melabur berbilion ringgit di sini.
Tapi kita lupa satu benda.
Pusat data AI ini adalah “binatang” yang sangat laparkan tenaga. Mereka perlukan bekalan elektrik yang stabil 24 jam sehari tanpa putus walau sesaat.
Tenaga solar tidak boleh berikan kestabilan ini sebab malam tiada matahari.
Jadi, dari mana kita nak dapat elektrik? Bakar arang batu? Itu akan memusnahkan alam sekitar. Bakar gas? Gas akan habis satu hari nanti.
Sebab itulah di sebalik tabir, wacana tentang tenaga nuklear di Malaysia mula hidup kembali.
Kita sebenarnya sudah bersedia dari segi otak dan kepakaran. Kita ada Agensi Nuklear Malaysia di Bangi yang sudah beroperasi sejak tahun 1972.
Bayangkan kita dah ada R&D Sejak tahun 1972 lagi tau, kalau aktifkan, pasti kita akan keluarkan teknologi tahun 2100 melangkaui semua teknologi sedia ada.
Kita ada reaktor penyelidikan TRIGA PUSPATI yang dikendalikan oleh anak watan sendiri dengan rekod keselamatan yang cemerlang.
Cuma kita belum ada loji jana kuasa komersial.
Langkah Jepun menghidupkan semula Kashiwazaki-Kariwa ini adalah pengajaran besar buat kita.
Antara ketakutan kepada bencana dan keperluan ekonomi untuk terus hidup, akhirnya ekonomi akan menang.
Jepun sudah buat pilihan mereka. Mereka sanggup mengambil risiko keselamatan yang besar ini semata-mata untuk menyelamatkan masa depan ekonomi negara.
Persoalannya sekarang, adakah Malaysia juga terpaksa menelan ubat pahit yang sama demi mengejar impian menjadi kuasa besar AI Asia Tenggara?
Atau kita sanggup melihat pelabur lari ke negara jiran yang berani main nuklear?
Tepuk dada, tanya TNB. Atau tanya menteri?

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.