Pada 15 September 2009 di Putrajaya, Datuk Seri Najib Razak membuat satu pengumuman yang pada waktu itu kedengaran sangat gah. Katanya, Malaysia akan menyertai Formula One sebagai sebuah pasukan sendiri bermula musim 2010.

Bukan sebagai penaja, bukan sebagai rakan teknikal, tetapi sebagai pasukan penuh yang membawa nama negara.

Nama yang dipilih juga bukan sembarangan.

1Malaysia F1 Team.

Pengumuman itu dibalut dengan naratif nasional yang kuat. Kereta Formula One ini akan direka di Sepang International Circuit, dibina di Sepang, diuji di Sepang. Pit crew akan terdiri daripada rakyat Malaysia.

Pasukan ini akan mengenal pasti pemandu tempatan. Proton dan Lotus digandingkan sebagai tonggak automotif, AirAsia dan Naza sebagai rakan korporat, universiti tempatan dan institusi penyelidikan dilibatkan sebagai sokongan teknikal.

Formula One dijual kepada rakyat sebagai alat pemasaran negara, pemangkin industri automotif dan bukti bahawa Malaysia sudah cukup matang untuk berdiri setaraf kuasa besar dunia.

Masalahnya, seperti banyak projek berprofil tinggi lain, pengumuman ini bukanlah titik mula sebenar. Ia sebenarnya datang selepas banyak perkara penting sudah pun berlaku jauh dari Putrajaya, jauh dari Sepang dan jauh dari imaginasi “pasukan nasional” yang dibina dalam sidang media tersebut.

Untuk memahami kekusutan yang menyusul selepas itu, kita perlu berundur ke awal 2009, ketika Formula One sendiri sedang berada dalam keadaan tidak stabil. Krisis kewangan global 2008 telah menghentam sukan ini dengan kuat. Honda sudah keluar secara mengejut pada hujung 2008. BMW Sauber mengumumkan pengunduran pada pertengahan 2009.

Toyota dan Renault pula berada dalam keadaan terumbang-ambing. FIA bimbang grid Formula One semakin kecil dan kehilangan kredibiliti, membuka permohonan untuk pasukan baharu bagi musim 2010 kononnya dengan janji cost cap yang akhirnya tidak pernah benar-benar dilaksanakan.

Dalam suasana inilah muncul satu permohonan daripada sebuah pasukan kecil British Formula 3 bernama Litespeed. Litespeed diasaskan oleh Steve Kenchington, bekas jurutera Lotus dan beroperasi di peringkat

Formula 3 nasional menggunakan casis sedia ada.

Mereka bukan pasukan yang kaya. Mereka tidak pernah membina kereta Formula One. Dari sudut logik, lompat dari Formula 3 terus ke Formula One adalah sesuatu yang hampir mustahil. Dan FIA juga melihatnya begitu.

Permohonan Litespeed ditolak kerana struktur kewangan dan teknikal yang tidak meyakinkan.
Secara normal, cerita sepatutnya tamat di situ. Tetapi 2009 bukan tahun biasa untuk Formula One. Apabila BMW Sauber menarik diri, satu slot tambahan tiba-tiba terbuka. FIA panik. Mereka bimbang lebih banyak pasukan akan tumbang saat akhir.

Untuk mengelakkan grid yang terlalu kecil, FIA menghubungi semula beberapa pemohon yang gagal dan meminta mereka bersedia sebagai pelan sandaran. Litespeed termasuk dalam senarai itu. Projek yang hampir mati ini diberi nafas kedua kerana Formula One ketika itu terdesak.

Di sinilah Malaysia masuk ke dalam cerita dan penting untuk ditegaskan. Tony Fernandes bersama rakan-rakan korporatnya masuk sebagai penyuntik dana dan penstruktur semula projek. Dengan sokongan kewangan baharu, projek ini kelihatan lebih stabil di atas kertas.

FIA akhirnya meluluskan penyertaan projek ini ke dalam Formula One musim 2010. Kelulusan ini berlaku sebelum Najib berdiri di Putrajaya membuat pengumuman. Apa yang diumumkan kepada rakyat Malaysia sebenarnya ialah penjenamaan semula sebuah projek yang telah pun diluluskan, bukan projek yang dibina dari kosong oleh negara.

Tidak lama selepas pengumuman 1Malaysia F1 Team, nama 1Malaysia semakin hilang daripada komunikasi rasmi. Pasukan ini mula dikenali sebagai Lotus Racing. Lesen penggunaan nama Lotus diperoleh daripada Group Lotus yang ketika itu dimiliki oleh Proton.

Warna hijau dan kuning klasik digunakan dan naratif baharu dibina. Pasukan ini kini dipersembahkan bukan sekadar sebagai pasukan Malaysia tetapi sebagai kesinambungan legasi Lotus dalam Formula One, satu nama besar yang dikaitkan dengan Colin Chapman dan era kegemilangan sukan itu.

Kereta pertama pasukan ini dinamakan Lotus T127. Penggunaan nombor “Type” memberi isyarat simbolik bahawa ini sebuah Lotus tulen. Namun realitinya jauh lebih kompleks. T127 dibina dalam tekanan masa yang hampir tidak masuk akal. Pasukan mempunyai kurang daripada lima bulan untuk menyiapkan sebuah kereta Formula One yang patuh peraturan baharu.

Reka bentuk awal dilakukan di Eropah oleh pasukan kecil jurutera yang diketuai Mike Gascoyne. Pembangunan aerodinamik dibuat menggunakan terowong angin di Itali termasuk kemudahan yang sebelum itu digunakan oleh Force India. Chassis pula dibina di Jerman dan England. Janji bahawa kereta ini akan direka, dibina dan diuji di Sepang kekal sebagai janji.

Untuk pemandu, pasukan ini bermula dengan satu figura penting dari sudut simbol nasional. Fairuz Fauzy, bekas pemandu A1GP Malaysia dilantik sebagai pemandu ujian dan simpanan. Fairuz menjadi wajah Malaysia dalam projek ini, bukti bahawa naratif “pasukan nasional” masih cuba dikekalkan.

Namun sejak awal, jelas bahawa peranan beliau lebih bersifat simbolik. Beliau melakukan shakedown dan ujian awal, tetapi tidak pernah benar-benar berada dalam perancangan sebagai pemandu perlumbaan tetap.

Bagi perlumbaan sebenar, Lotus Racing memilih dua pemandu berpengalaman. Jarno Trulli, pemenang Grand Prix Monaco 2004 yang terkenal dengan kebolehannya di litar teknikal dibawa masuk bersama Heikki Kovalainen, bekas pemandu McLaren dan pemenang Grand Prix Hungary 2008.

Dari luar, pemilihan ini memberi gambaran bahawa pasukan ini serius. Dari dalam, ia lebih kepada keperluan untuk memastikan kereta baharu ini selamat dibawa ke garisan penamat.

Musim 2010 berjalan seperti yang dijangka. Lotus T127 perlahan, tetapi boleh diharap. Mereka sering berada di belakang grid, namun berjaya menamatkan perlumbaan. Berbanding dua pasukan baharu lain, HRT dan Virgin Racing, Lotus kelihatan paling tersusun. Mereka menamatkan musim di hadapan dua pesaing itu dan memperoleh kedudukan kesepuluh keseluruhan, satu pencapaian yang membawa bersama hadiah wang FOM.

Dari sudut kelangsungan hidup, musim pertama ini boleh dianggap berjaya.

Namun kontroversi besar tidak datang dari litar. Ia datang dari meja mahkamah. Beberapa elemen aerodinamik Lotus T127 didapati mempunyai persamaan ketara dengan Force India VJM02. Kes ini berlarutan sehingga Mahkamah Tinggi England.

Mahkamah memutuskan bahawa terdapat penggunaan elemen reka bentuk Force India tanpa kebenaran oleh pihak pembekal aerodinamik yang terlibat dalam pembangunan T127, walaupun tidak dianggap sebagai peniruan sistematik keseluruhan kereta.

Keputusan itu mencalarkan reputasi pasukan yang masih muda dan menguatkan persepsi bahawa projek ini dibina secara tergesa-gesa.

Dalam masa yang sama, konflik yang jauh lebih besar sedang membara, bukan tentang reka bentuk kereta, tetapi tentang identiti dan warisan. Tony Fernandes memperoleh hak ke atas nama Team Lotus, entiti sejarah yang berasingan daripada Lotus Cars.

Group Lotus pula di bawah Proton mahu menggunakan Formula One sebagai platform penjenamaan semula Lotus Cars dan memilih untuk masuk F1 melalui kerjasama dengan Renault. Musim 2011 menyaksikan satu situasi yang sangat janggal dengan dua pasukan berlumba serentak di grid Formula One menggunakan nama

Lotus dalam bentuk berbeza.

Satu sebagai Team Lotus, satu lagi sebagai Lotus Renault GP.

Kekeliruan ini akhirnya dibawa ke mahkamah. Keputusan mahkamah memihak kepada Group Lotus untuk penggunaan eksklusif nama “Lotus” dalam Formula One, manakala Tony Fernandes dibenarkan menggunakan nama Team Lotus tetapi tanpa dakwaan kesinambungan rasmi Lotus Cars.

Dari sudut undang-undang, keputusan ini kemas. Dari sudut imej dan strategi, ia satu tamparan. Pasukan Tony Fernandes kini terperangkap dalam identiti separuh jalan dan konflik ini menyedut masa, tenaga dan wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan teknikal.

Akhirnya, bagi menamatkan kekeliruan yang berpanjangan, pasukan ini menukar nama kepada Caterham bermula musim 2012, selari dengan pemilikan Tony Fernandes terhadap Caterham Cars.

Nama Lotus ditinggalkan sepenuhnya. Namun pertukaran nama tidak mengubah nasib. Caterham kekal sebagai pasukan belakang grid, bergelut dengan kekangan kewangan yang semakin meruncing terutamanya selepas pengenalan era enjin turbo hibrid pada 2014.

Pada pertengahan 2014, Tony Fernandes menarik diri sepenuhnya daripada operasi pasukan. Caterham dijual kepada konsortium pelabur dan tidak lama kemudian diletakkan di bawah pentadbiran. Gaji tertunggak. Operasi terganggu. Masa depan pasukan hampir pasti gelap.

Kemuncak ironi berlaku di penghujung musim 2014. Caterham tidak mempunyai wang untuk menghadiri beberapa perlumbaan terakhir dan terpaksa menarik diri dari Grand Prix Amerika Syarikat dan Brazil. Untuk satu perlumbaan terakhir di Abu Dhabi, satu kempen crowdfunding dilancarkan. Sebuah pasukan Formula One, dalam sukan paling mahal di dunia terpaksa meminta derma orang ramai untuk membolehkan mereka berlumba buat kali terakhir.

Mereka hadir di Abu Dhabi. Mereka berlumba. Mereka menamatkan perlumbaan. Dan selepas itu, Caterham F1 Team lenyap dari Formula One.

Dalam Formula One, semangat dan slogan cuma sedap untuk sidang media. Nama besar boleh dipinjam, sejarah boleh ditunggang, tapi bila masuk litar, yang bercakap cuma duit, masa dan persediaan.

Dan pasukan ini menjadi contoh jelas bagaimana cita-cita besar boleh tumbang apabila berdepan dengan realiti yang jauh lebih keras.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.