Bila cakap pasal Chornobyl, mesti kita terfikir nuklear dan kemusnahan satu masa dulu. Rupa-rupanya, kesannya boleh nampak sampai sekarang. Bukan dari keadaan tempat sahaja, malah benda hidup pun nampak lain macam.
Pertama sekali, Chornobyl ni apa?
Chornobyl merujuk kepada tapak loji kuasa nuklear di utara Ukraine, yang menjadi lokasi salah satu bencana nuklear paling dahsyat dalam sejarah dunia.
Pada 26 April 1986, reaktor ‘nombor empat’ di Loji Kuasa Nuklear Chornobyl meletup semasa satu ujian keselamatan yang gagal. Awan radiasi tersebut merebak merentasi Ukraine, Belarus, Rusia dan sebahagian besar Eropah, menyebabkan pencemaran alam sekitar berskala besar serta pendedahan radiasi kepada manusia. Ini menyebabkan sekitar 4,000 kematian dan mangsa akibat kanser daripada pendedahan radiasi.
‘Mangsa’ tersebut bukanlah hanya daripada kalangan manusia. Malah haiwan turut terjejas. Terjejas macam mana? Jom kita fahamkan apa sebenarnya dapatan saintis tentang kejadian ini.
Kajian pada tahun 2023 (empat dekad selepas kejadian), oleh penyelidik dari University of South Carolina dan National Human Genome Research Institute. Mereka menganalisis DNA daripada 302 ekor anjing bebas yang hidup di dalam dan sekitar Zon Larangan Chernobyl.
Hasilnya menunjukkan bahawa anjing yang tinggal berhampiran loji nuklear adalah berbeza secara genetik berbanding anjing yang hidup hanya kira-kira 20km jauh daripada bandar Chornobyl. Contohnya, perbezaan dalam struktur DNA mereka. Dan ia bukanlah semata-mata perbezaan saiz, warna bulu atau tingkah laku yang lain seperti kita boleh nampak. Malah, Penyelidik mendapati bahawa anjing di sekitar loji nuklear membentuk kelompok genetik tersendiri (genetic clusters), iaitu mereka lebih rapat antara satu sama lain dari segi DNA berbanding anjing bandar.
Sistem imun, pembaikan DNA, dan metabolisme tekanan sel mereka juga lain. Secara teori, gen-gen ini penting dalam persekitaran yang dipenuhi bahan radioaktif, di mana sel sering mengalami kerosakan DNA. Ini tidak bermaksud anjing-anjing tersebut “kebal radiasi”, tetapi ia membuka kemungkinan bahawa anjing yang genetiknya “lebih lemah”, tidak bertahan, manakala yang mempunyai variasi gen tertentu lebih berpeluang hidup dan membiak.
Ini juga menunjukkan bahawa populasi tersebut telah lama terasing secara pembiakan, sama ada kerana halangan fizikal, persekitaran berbahaya, atau kadar kematian yang tinggi yang mengehadkan kemasukan gen baharu dari luar. Perbezaan ini membuka kemungkinan bahawa radiasi kronik telah memainkan peranan dalam membentuk populasi tersebut.
Penemuan ini sebenarnya menyokong kajian terdahulu di zon sama, seperti katak pokok berwarna lebih gelap dan kaya melanin, yang dipercayai lebih berupaya menyerap atau menyuraikan radiasi.
Walaubagaimanapun, apa yang kita tahu pasal ‘rapid evolution’ ini telah dicabar. Pada tahun 2025, satu kajian oleh saintis dari North Carolina State University dan Columbia University meneliti genom anjing Chornobyl dengan jauh lebih terperinci. Meliputi tahap kromosom, genom keseluruhan dan nukleotida.
Kajian ini tidak menemui bukti kecacatan genetik yang boleh dikaitkan secara langsung dengan radiasi. Setelah mengesahkan bahawa anjing di bandar Chornobyl secara genetik serupa dengan populasi anjing di kawasan sekitarnya, kumpulan penyelidik tersebut menggunakan mereka sebagai kumpulan kawalan dan menyimpulkan bahawa radiasi bukan faktor utama yang membentuk corak genetik anjing-anjing tersebut. Pendek cerita, dapatan baharu ini menolak peranan radiasi sebagai penyebab utama perubahan genetik
Walaubagaimanapun, kajian awal tetap penting sebagai asas perbandingan antara populasi yang terdedah dan tidak terdedah kepada radiasi
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.