Jam dinding baru sahaja menunjukkan angka 4.30 pagi.
Di saat orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi atau baru berkira-kira hendak bangun sahur, suasana di satu sudut dewan Maahad Tahfiz Al-Fateh, Batang Kali sudah mula hidup.
Seorang anak muda tingkatan empat kelihatan bersila dengan penuh tertib di hadapan gurunya.
Nafas ditarik dalam. Bibirnya mula melafazkan ayat suci Al-Quran bermula dari Surah Al-Fatihah.
Semuanya dilafazkan dari ingatan tanpa melihat naskhah di tangan.
Anak muda yang sedang menjadi tumpuan ini bernama Haryz Irfan bin Wan Azrizul Azad.
Apa yang sedang dilakukannya ini bukanlah sekadar latihan hafalan biasa.
Sebaliknya, ini adalah medan tempur terakhir untuk mendapatkan pengiktirafan tertinggi bagi seorang penghafal
Al-Quran yang dipanggil Syahadah Ula.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya, “Susah sangat ke ujian ni sampai orang kata ia kemuncak impian setiap huffaz?”
Jawapannya adalah ya. Ia mencabar had mental manusia biasa.
Syarat utamanya cukup luar biasa. Pelajar wajib memperdengarkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran sepenuhnya dalam satu majlis atau sekali duduk tanpa henti.
Proses untuk sampai ke tahap “Grand Final” ini tidak berlaku dengan mudah. Haryz perlu melepasi dua peringkat saringan yang sangat sukar sebelum ini.
Pertama, beliau perlu melepasi tahap Syahadah Thalisa yang mewajibkan khatam Al-Quran dalam masa tiga hari dengan bacaan 10 juzuk sehari.
Kedua, beliau perlu melepasi tahap Syahadah Thaniah yang memerlukan khatam Al-Quran dalam masa sehari suntuk dengan bacaan 15 juzuk selama dua hari berturut.
Hanya selepas lulus kedua-dua tembok besar ini, barulah beliau dibenarkan duduk untuk ujian Syahadah Ula bagi membaca keseluruhan 30 juzuk dari pagi sampai malam.
Bayangkan beban mental dan fizikal yang ditanggung oleh anak muda ini sepanjang tempoh tersebut.
Matahari mula terbit, dia masih membaca.
Sebelum muncul golongan ‘Bingai Ibn Bangang’ yang bertanya soalan bukan-bukan di ruangan komen, suka untuk saya jelaskan bahawa kewajipan utama tidak sesekali diabaikan.
Haryz tetap berhenti seketika apabila masuk waktu untuk menunaikan solat fardu, namun rehatnya sangat minima sebelum terus kembali bersila menyambung bacaan tanpa membuang masa.
Apabila orang lain berhenti makan tengah hari, dia hanya berhenti sebentar untuk solat serta meneguk air sebelum menyambung bacaan.
Walaupun matahari sudah terbenam dan suaranya mungkin sudah serak, tekaknya kering, serta kakinya kebas kerana duduk bersila hampir seharian, dia tetap tidak berganjak.
Fokusnya hanya satu iaitu menghabiskan kalam Tuhan yang telah dipahat kemas di dalam dadanya.
Akhirnya tepat jam 10.20 malam, segalanya selesai.
Hampir 18 jam dia berjuang dengan ingatan dan keletihan fizikal.
Keputusan rasmi mencatatkan beliau berjaya memperoleh pangkat Jayyid Jiddan dengan markah cemerlang 93.28 peratus.
Saat ayat terakhir dibacakan, suasana yang tegang tadi serta-merta bertukar menjadi hiba.
Haryz yang gagah menahan lelah seharian itu akhirnya tewas dengan air mata kesyukuran.
Beliau dilihat tertunduk menekup wajahnya di penyandar kerusi, seolah-olah melepaskan segala lelah dan sebak yang terbuku di dada tanda selesai melunaskan amanah yang berat ini.
Kejayaan Haryz ini sebenarnya bukan sahaja hadiah untuk dirinya sendiri, tetapi merupakan saham akhirat paling besar buat kedua ibu bapanya.
Lihatlah janji Nabi SAW mengenai ganjaran buat ibu bapa para huffaz ini:
Daripada Muadz bin Anas Al-Juhani r.a., Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, maka kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya lebih terang daripada cahaya matahari sekiranya matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1453. Status: Hasan)
Hari ini, Haryz bukan sahaja membanggakan keluarganya di dunia, tetapi sedang menempah tiket istimewa buat mereka di akhirat kelak.
Di saat anak muda lain sibuk mengejar populariti di media sosial atau hanyut dengan hiburan dunia, pelajar
Maahad Tahfiz Al-Fateh ini memilih jalan sunyi untuk memartabatkan agama.
Tahniah wahai pejuang Al-Quran.
Tangisanmu di penghujung majlis itu adalah tangisan paling mahal yang dicemburui oleh para malaikat di langit.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




