Bayangkan satu transaksi bernilai RM1.1 bilion berlaku di depan mata kita.
Ia melibatkan pembelian pegangan dalam salah satu pusat beli-belah paling ikonik di Malaysia masa kini iaitu The Exchange TRX.
Biasanya apabila melibatkan angka sebesar ini, kita akan membayangkan pembelinya mestilah sebuah bank gergasi antarabangsa.
Ataupun mungkin syarikat berkaitan kerajaan seperti GLC yang mempunyai dana berbilion ringgit.
Paling tidak pun, mestilah hartawan yang wajahnya sering menghiasi muka hadapan majalah Forbes.
Tetapi sangkaan itu meleset sama sekali.
Pembeli misteri ini adalah sebuah syarikat keluarga Malaysia yang bernama Valiram.
Nama Valiram ini mungkin kedengaran asing bagi sesetengah orang awam yang jarang mengambil tahu hal korporat.
Tetapi realitinya hampir mustahil untuk kita tidak pernah melangkah masuk ke kedai mereka atau membeli produk yang diuruskan oleh tangan mereka.
Daripada butik mewah, jam tangan, wangian, sehinggalah kepada kafe premium yang sentiasa penuh dengan pelanggan.
Valiram sebenarnya sudah lama wujud secara senyap dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Ramai yang terkejut apabila mengetahui bahawa keluarga Valiram ini rupa-rupanya syarikat tempatan yang mampu membuat pelaburan gergasi dalam The Exchange TRX.
Valiram Group sebenarnya bukanlah pemain baharu dalam industri ini kerana sejarah mereka bermula sejak tahun 1935 lagi di Kuala Lumpur.
Pada asalnya, mereka hanyalah pedagang kain dan tekstil sama seperti perniagaan lama lain di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Persoalannya, bagaimana penjual kain boleh berubah menjadi gergasi jenama mewah?
Titik tolak perubahan ini berlaku apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIA dibuka pada tahun 1998.
Generasi pelapis Valiram ketika itu melihat peluang gila untuk membawa perniagaan tekstil masuk ke dalam lapangan terbang.
Walaupun idea menjual kain di lapangan terbang kedengaran pelik pada waktu itu, percaturan mereka membuahkan hasil lumayan.
Dari kejayaan itulah mereka mula mendapat kepercayaan untuk menceburi dunia peruncitan bebas cukai dan mula berani membawa masuk jenama luar.
Perniagaan mereka berevolusi mengikut peredaran zaman daripada sekadar menjual kain pasang sehinggalah menjadi operator utama jenama global di seluruh Asia Pasifik.
Hari ini Valiram berdiri megah sebagai antara peruncit gaya hidup dan barangan mewah terbesar di rantau ini.
Mereka bertanggungjawab membawa masuk serta menguruskan ratusan jenama antarabangsa yang merangkumi fesyen, aksesori, kosmetik dan makanan premium.
Jenama yang sering kita lihat seperti Bath & Body Works, Victoria’s Secret, Michael Kors, TUMI, Bacha Coffee, Godiva, dan Tory Burch rata-ratanya beroperasi di bawah tangan mereka
Model bisnes mereka selalunya adalah master franchise atau konsesi yang bermakna Valiram memegang operasi penuh dari segi pembukaan kedai, pengurusan kakitangan dan pemilihan lokasi strategik.
Skala operasi mereka juga sangat besar kerana Valiram tidak hanya beroperasi di Malaysia.
Empayar mereka melebar sehingga ke Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Hong Kong, Macau, Australia dan New Zealand.
Perniagaan ini kini diterajui oleh generasi ketiga iaitu Sharan, Ashvin dan Mukesh Valiram yang dilihat sangat agresif dalam mengembangkan portfolio syarikat.
Mereka mula mempelbagaikan pelaburan daripada sekadar peruncitan kepada pemilikan aset hartanah bernilai tinggi.
Tindakan mereka membeli 40 peratus pegangan dalam The Exchange TRX Mall dan 60 peratus pegangan dalam bangunan pejabat TRX Campus adalah satu langkah yang sangat bijak.
Ini selari dengan trend global di mana keluarga kaya dan pejabat keluarga atau family office tidak lagi menyimpan kekayaan dalam bentuk tunai semata-mata.
Sebaliknya mereka memilih untuk “memarkir” kekayaan tersebut ke dalam aset strategik jangka panjang seperti pusat beli-belah utama, pejabat premium dan hotel di lokasi ikonik bandar raya.
Sebelum ini pun Valiram Family Office telah membeli Hotel Impiana KLCC yang membuktikan bahawa mereka sedang serius membina portfolio hartanah bernilai tinggi.
Pembelian pegangan dalam TRX Mall ini ibarat bermain di padang sendiri bagi Valiram kerana mereka sangat arif tentang selok-belok industri peruncitan.
Mereka faham jenis jenama yang laku keras dan tahu aliran trafik pelanggan serta kuasa beli golongan urban.
Pendek kata mereka tidak bertindak sebagai pelabur luar yang hanya tahu membuat spekulasi.
Sebaliknya mereka adalah operator peruncitan yang tahu benar cara untuk menjana keuntungan maksimum daripada sebuah pusat beli-belah premium.
Valiram adalah contoh klasik syarikat keluarga Malaysia yang bermula dari bawah dengan menjual kain dan kini senyap-senyap menjadi gergasi yang disegani.
Keupayaan mereka memeterai perjanjian bernilai RM1.1 bilion ini tidak sepatutnya dianggap pelik.
Apa yang pelik hanyalah satu perkara iaitu masih ramai rakyat Malaysia yang baru tersedar bahawa Valiram ini adalah syarikat anak watan kebanggaan kita semua.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




