Seruan kembali kepada Qur’an dan Sunnah seringkali menjadi satu polemik yang berlaku dalam kalangan umat Islam.
Ada yang setuju, ada yang berdiam diri dan bahkan ada juga yang menuduh ia hanyalah propaganda untuk kepentingan kumpulan sendiri.
Tetapi, tahukah korang bahawa gerakan ini sudah ada sejak zaman Uthmaniyyah lagi?
Gerakan Kadızadeliler muncul dalam sejarah Uthmaniyyah sebagai satu gelombang kebangkitan agama yang tegas dan penuh semangat, khususnya pada abad ke-17.
Ia lahir dalam suasana empayar yang sedang berdepan kemerosotan moral, ketidakstabilan politik, serta amalan agama yang semakin bercampur dengan adat dan kepercayaan tempatan.
Mereka dilihat tampil membawa seruan kembali kepada al-Quran dan Sunnah seperti yang difahami oleh generasi awal Islam.
Nama gerakan ini diambil daripada tokoh utamanya, Kadızade Mehmed Efendi, seorang ulama dan pendakwah yang terkenal dengan khutbahnya yang lantang di masjid-masjid Istanbul.
Beliau banyak dipengaruhi oleh pemikiran Ibn Taymiyyah, terutamanya dalam menolak bid‘ah dan amalan yang dianggap tidak bersumberkan nas yang sahih.
Bagi Kadızade, agama perlu dibersihkan daripada unsur yang dianggap mencemarkan tauhid dan akidah umat.
Gerakan ini berkembang pesat kerana ia disokong oleh sebahagian masyarakat bandar, termasuk golongan tentera Janissari dan birokrat tertentu.
Mereka melihat Kadızadeliler sebagai suara pembaharuan yang berani menegur kemewahan ulama istana dan amalan tasawuf yang dianggap melampau.
Dalam suasana sosial yang tidak stabil, seruan kembali kepada disiplin agama kelihatan seperti jalan keluar yang meyakinkan.
Namun, pendekatan Kadızadeliler tidak bersifat lembut atau bertahap.
Mereka sering menggunakan khutbah dan tekanan sosial untuk menyerang amalan seperti zikir berjemaah, tarian sufi, sambutan Maulid, malah minum kopi dan merokok yang dianggap bid‘ah.
Bagi mereka, menjaga kesucian agama lebih utama daripada menjaga keharmonian sosial, walaupun tindakan itu mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
Golongan yang paling terkesan dengan kebangkitan ini ialah para sufi, khususnya tarekat yang sudah lama berakar dalam kehidupan rohani Uthmaniyyah.
Pertembungan antara Kadızadeliler dan golongan sufi bukan sahaja dari segi perbezaan pandangan, tetapi menjadi konflik terbuka yang kadangkala membawa kepada rusuhan. Masjid, mimbar dan ruang awam bertukar menjadi medan perebutan pengaruh agama.
Menariknya, pihak istana sendiri tidak konsisten dalam menangani gerakan ini. Ada sultan yang menyokong Kadızadeliler kerana melihat mereka sebagai alat untuk mengawal moral rakyat, namun ada juga yang menentang mereka kerana mencetuskan ketidakstabilan.
Keadaan ini menjadikan gerakan tersebut naik turun mengikut perubahan politik dan kehendak penguasa.
Walaupun sering dilabel sebagai ekstrem atau keras, Kadızadeliler sebenarnya mencerminkan keresahan umat terhadap perubahan zaman.
Mereka lahir daripada keinginan untuk kembali kepada kesederhanaan Islam awal, walaupun tafsiran mereka bersifat dikatakan dan dianggap sempit dan literal.
Dalam banyak hal, mereka mewakili konflik klasik antara teks dan tradisi, antara idealisme agama dan realiti masyarakat.
Lambat-laun, pengaruh Kadızadeliler akhirnya semakin pudar menjelang akhir abad ke-17, tetapi kesannya tetap terasa dalam sejarah pemikiran Islam Uthmaniyyah.
Gerakan ini menjadi contoh bagaimana semangat reformasi boleh berubah menjadi ketegangan sosial apabila tidak disertai hikmah dan kebijaksanaan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




