Dalam sejarah Bani Umayyah, tidak ada nama yang lebih digeruni berbanding Al-Hajjaj bin Yusuf as-Thaqafi.
Dialah Gabenor Iraq yang digelar “Si Tangan Besi”.
Dialah lelaki yang sanggup membedil Kaabah dengan manjaniq (katapult) semata-mata untuk membunuh Abdullah bin Zubair.
Dan dialah juga yang dilaporkan telah membunuh lebih 120,000 nyawa sepanjang pemerintahannya demi mengekalkan kuasa khalifah.
Tapi sebelum kita pergi lebih jauh, kita kena faham dulu. Zaman apa ni sebenarnya sampai lahir manusia sekejam ini?
Ini adalah era kemuncak Kerajaan Bani Umayyah, khususnya di bawah pemerintahan Khalifah Abd al-Malik bin Marwan dan anaknya Al-Walid.
Zaman ini bukan zaman yang tenang. Ia adalah zaman pergolakan politik paling berdarah di mana umat Islam sedang berpecah belah.
Di Mekah, Abdullah bin Zubair telah mengisytiharkan diri sebagai Khalifah. Di Iraq pula, kumpulan Khawarij sedang mengganas dan mahu menjatuhkan kerajaan.
Demi menyelamatkan kerusi empayar Umayyah di Damsyik daripada runtuh, Khalifah memerlukan seorang “algojo” yang paling setia dan tidak mengenal erti belas kasihan.
Khalifah perlukan seseorang yang sanggup buat “kerja kotor” untuk memadamkan semua api pemberontakan ini walau dengan apa cara sekalipun.
Maka, muncullah Al-Hajjaj.
Dia bukan sekadar gabenor biasa. Dia adalah “pedang berdarah” yang diberi lesen mutlak oleh Khalifah untuk menyembelih sesiapa sahaja yang dianggap pengkhianat demi kestabilan negara.
Namun, kuasa yang besar selalunya memakan diri.
Ramai yang tertanya-tanya.
Adakah manusia sekejam ini akan terlepas begitu sahaja?
Adakah dia akan mati tua di atas katil empuk sambil dikelilingi dayang-dayang istana?
Jawapannya: Tidak.
Tuhan membayar tunai segala kezalimannya di dunia lagi.
Kejatuhan Al-Hajjaj bukanlah disebabkan oleh pedang musuh atau racun pengkhianat.
Sebaliknya, ia bermula dengan doa seorang ulama yang soleh bernama Saeed bin Jubair.
Kisah ini direkodkan dengan teliti oleh Imam Ibnu Kathir dalam mahakaryanya, Al-Bidayah wan-Nihayah (Jilid 9).
Saeed bin Jubair adalah seorang Tabi’in (generasi selepas Sahabat) yang sangat alim.
Beliau ditangkap kerana enggan tunduk kepada kezaliman Al-Hajjaj.
Apabila dibawa ke hadapan Al-Hajjaj, berlaku dialog yang cukup tajam.
Al-Hajjaj bertanya: “Apa pendapat kamu tentang aku?”
Saeed menjawab tenang: “Kamu adalah ujian Tuhan ke atas bumi ini.”
Berang dengan ketegasan Saeed, Al-Hajjaj memerintahkan supaya kepala ulama itu dipancung serta-merta.
Namun, sebelum pedang algojo memisahkan kepala dari badannya, Saeed bin Jubair sempat menadah tangan ke langit.
Beliau melafazkan satu doa laknat yang akan menghantui Al-Hajjaj sampai ke liang lahad:
“Ya Allah, janganlah Engkau izinkan Hajjaj membunuh sesiapa pun selepas aku.”
Sebaik sahaja darah Saeed tumpah ke bumi, “hijab” doa orang teraniaya itu terus terangkat.
Benar bagai dikata, Saeed bin Jubair adalah mangsa terakhir.
Hanya beberapa hari selepas pembunuhan itu (ada riwayat kata 15 hari, ada kata 40 hari), Al-Hajjaj mula diserang penyakit misteri.
Menurut catatan Ibnu Kathir, Al-Hajjaj diserang penyakit aneh yang dipanggil Al-Akilah pada perutnya.
Tabib diraja dipanggil mengadap untuk memeriksa.
Apabila tabib mengikat daging pada benang dan menjulurkannya ke dalam kerongkong Al-Hajjaj, daging itu ditarik keluar dalam keadaan dipenuhi ulat-ulat yang menjijikkan.
Badannya pula mengalami fenomena ganjil.
Walaupun Iraq ketika itu panas, Al-Hajjaj menggigil kesejukan (Zimzamah) yang luar biasa.
Dia menjerit: “Sejuk! Sejuk!”
Pengawal istana terpaksa menyalakan pendiang api penuh di sekeliling katilnya.
Malah, api itu didekatkan sehingga menyentuh kulitnya, namun Al-Hajjaj masih tidak merasakan haba, sebaliknya terus merintih kesejukan hingga ke tulang hitam.
Sakit fizikal itu satu hal. Sakit dalaman dia lebih ngeri.
Ibnu Kathir turut merekodkan bahawa Al-Hajjaj mengalami gangguan mental yang dasyat.
Setiap kali dia cuba melelapkan mata, dia akan terjaga sambil menjerit histeria.
Dia meracau-racau dalam ketakutan seolah-olah sedang dicekik.
Pengawal istana menceritakan bahawa Al-Hajjaj sering dilihat menepis-nepis udara sambil menjerit ayat yang sama berulang kali:
“Mali wa li Saeed? Mali wa li Saeed?”
(Apa urusan aku dengan Saeed? Kenapa dia kacau aku?)
Gabenor yang dahulunya garang macam singa, yang pernah memancung ribuan kepala tanpa berkelip mata, akhirnya menjadi seperti orang gila yang takutkan bayang-bayang sendiri.
Akhirnya, pada bulan Ramadan tahun 95 Hijrah, di bandar Wasit, Iraq, Al-Hajjaj menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang sangat menyiksakan.
Tetapi, di sinilah wujud satu plot twist yang membuatkan para ulama pening kepala untuk menentukan statusnya.
Adakah dia ahli Neraka atau ada harapan Syurga?
Di saat-saat akhir nyawanya, Al-Hajjaj tidak mati dalam keadaan kufur atau memaki hamun Tuhan.
Sebaliknya, dia sempat bertaubat.
Diriwayatkan bahawa doa terakhir yang keluar dari mulut “Si Tangan Besi” ini sangat menyentuh hati:
“Ya Allah, ampunkanlah aku. Sesungguhnya manusia menyangka Engkau tidak akan mengampunkan aku (sebab dosa aku terlalu banyak), tapi sesungguhnya Rahmat-Mu lebih luas daripada dosa-dosaku.”
Apabila berita kematian dan doa terakhir ini sampai ke telinga ulama besar, Hasan Al-Basri, beliau terkejut.
Hasan Al-Basri berkata: “Adakah dia benar-benar berkata begitu? Jika benar, mungkin Allah akan mengampuninya (kerana sangkaan baiknya pada Allah).”
Manakala Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula, apabila mendengar berita kematian Al-Hajjaj, beliau terus sujud syukur kerana umat Islam terselamat dari kezalimannya.
Di mana kuburnya sekarang?
Tiada siapa tahu.
Sebelum mati, Al-Hajjaj sedar bahawa rakyat terlalu membencinya.
Dia mewasiatkan supaya kuburnya digali di tempat tersembunyi, kemudian tanahnya diratakan dan dialirkan air sungai di atasnya.
Dia takut jika rakyat tahu lokasi kuburnya, mayatnya akan digali semula, dibakar dan diludah oleh orang ramai yang berdendam.
Begitulah pengakhiran seorang diktator.
Hidupnya ditakuti oleh kawan dan lawan, tetapi matinya dalam keadaan hina, ketakutan dan terpaksa disorokkan dari muka bumi.
Kisah Al-Hajjaj ini mengajar kita satu realiti tentang Realpolitik Islam zaman dahulu.
Walaupun dia zalim, dia jugalah yang berjasa menyatukan mushaf Al-Quran dengan tanda baris (fatah, kasrah, dhommah) yang kita baca hari ini.
Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Imam Ad-Dzahabi mengambil jalan tengah yang adil:
Kita membenci kezalimannya. Kita melaknat pembunuhannya.
Tetapi kita tidak mengkafirkannya selagi dia mati melafazkan syahadah.
Urusan sama ada dia disiksa di Neraka atau diampunkan di Syurga, itu hak mutlak Allah yang Maha Mengetahui.
Kita ambil iktibar, jangan sesekali menganiaya orang, kerana doa mereka tiada hijab di sisi Tuhan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




