Apabila tersebar berita bahawa Somaliland sedang berkira-kira untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Isbiol, rata-rata netizen di media sosial mula melompat marah.

Kita mudah menjatuhkan hukum.

Ada yang kata mereka pengkhianat.

Ada yang kata mereka tidak ada iman.

Ada yang menuduh mereka gila kuasa dan sanggup menggadaikan nasib saudara di P dan G demi kepentingan duniawi.

Itu adalah respon paling mudah dan simplistik yang boleh kita berikan sebagai orang luar yang duduk selesa di rumah.

Kita respon secara pukul rata tanpa melihat peta luka sejarah yang masih berdarah di tubuh rakyat Somaliland.

Sebenarnya isu ini jauh lebih mendalam daripada sekadar soal iman atau kufur.

Jika kita duduk sejenak dan kaji sejarah geopolitik Tanduk Afrika dengan mata hati yang terbuka, kita akan faham satu realiti pahit.

Realitinya adalah survival itu kejam.

Untuk memahami kenapa Somaliland sanggup “bersalaman dengan syaitan”, kita tidak boleh melihat keadaan hari ini sahaja.

Kita kena patah balik ke tahun 1988.

Pada waktu itu, Somalia diperintah oleh seorang diktator yang sangat kejam bernama Siad Barre.

Siad Barre ini bukan orang asing atau penjajah kulit putih.

Dia adalah orang Somalia sendiri. Dia seagama dan sebangsa dengan rakyat Somaliland.

Tetapi apa yang dia lakukan kepada rakyatnya sendiri di utara adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Dia melancarkan operasi pembersihan etnik atau genocide ke atas klan Isaaq yang merupakan penduduk majoriti di Somaliland.

Arahan yang dikeluar oleh Siad Barre sangat mudah dan ngeri.

Beliau mahu membunuh semua orang di situ sampaikan yang tinggal hanyalah burung gagak yang memakan bangkai.

Bandar Hargeisa yang kini menjadi ibu kota Somaliland telah dibom dari udara tanpa henti.

Apa yang paling tragis adalah pesawat pejuang Somalia itu berlepas dari lapangan terbang Hargeisa sendiri.

Mereka naik ke udara, pusing balik dan menjatuhkan bom ke atas rumah rakyat mereka sendiri yang tinggal bersebelahan dengan lapangan terbang itu.

Bandar itu rata menjadi padang jarak padang tekukur dan digelar sebagai “Dresden of Africa” oleh pemerhati luar.

Puluhan ribu rakyat Somaliland disembelih dan dirogol.

Mayat mereka ditanam dalam kubur-kubur besar oleh “saudara seagama” mereka sendiri iaitu tentera Somalia.

Trauma berdarah inilah yang membentuk DNA dan mentaliti rakyat Somaliland pada hari ini.

Bagi mereka, musuh sebenar bukanlah Isbiol yang berada jauh beribu batu di Timur Tengah.

Tetapi musuh sebenar adalah “abang kandung” di sebelah rumah iaitu Somalia yang pernah cuba menghapuskan keturunan mereka dari muka bumi.

Sejak tahun 1991, Somaliland telah bangkit dari debu perang dengan usaha mereka sendiri.

Mereka mengisytiharkan kemerdekaan sepihak dan mula membina negara dari kosong.

Hasilnya sangat menakjubkan.
Hari ini Somaliland mempunyai sistem kerajaan yang berfungsi dengan baik.

Mereka ada pilihan raya yang demokratik dan pertukaran pemimpin yang aman.

Mereka ada pasport sendiri, mata wang sendiri, polis sendiri dan tentera sendiri.

Paling penting adalah negara mereka aman damai
tanpa gangguan lanun atau keganasan kumpulan militan yang gila.

Keadaan ini sangat berbeza dengan Somalia di Mogadishu.

Sehingga hari ini Somalia masih dikategorikan sebagai Failed State atau negara gagal.

Negara itu huru-hara, dikuasai oleh warlord, penuh dengan rasuah dan sentiasa berperang sesama sendiri.

Tetapi apa yang dunia lakukan kepada dua negara yang berbeza nasib ini?

Dunia termasuk negara-negara Islam masih mengiktiraf Somalia yang hancur itu sebagai kerajaan yang sah.

Manakala Somaliland yang aman, stabil dan demokratik dipulaukan sepenuhnya.

Di mata PBB dan Kesatuan Afrika, Somaliland dianggap “tidak wujud” dan masih sebahagian daripada Somalia.

Bayangkan perasaan rakyat Somaliland.

Sudah lebih 30 tahun mereka merdeka dan menguruskan negara dengan baik tetapi satu dunia buat-buat tidak nampak.

Mereka tidak boleh memohon bantuan kewangan daripada IMF atau Bank Dunia untuk bangunkan negara.

Mereka susah untuk berdagang dengan negara luar sebab status negara tak diiktiraf.

Pasport mereka tidak laku di kebanyakan lapangan terbang dunia.

Mereka ibarat anak yang rajin dan pandai tetapi dibuang keluarga dan dibiarkan hidup merempat di tepi jalan.

Manakala anak yang jadi penagih dadah dan bermasalah iaitu Somalia pula yang disanjung, diberi bantuan dan diiktiraf sebagai pewaris sah.

Dalam keadaan tersepit, terpinggir dan dikelilingi musuh, Somaliland kini sedang lemas.

Ekonomi mereka perlukan pelaburan dan keselamatan mereka perlukan jaminan daripada pencerobohan semula Somalia.

Prinsip orang yang sedang lemas sangat mudah.

Mereka akan capai apa sahaja tali yang ada di depan mata asalkan mereka tidak mati. Siapa yang pernah selamatkan orang yang sedang lemas, tahulah situasi itu.

Apabila Isbiol datang menghulurkan tangan menawarkan pengiktirafan dan bantuan ketenteraan, Somaliland tidak melihat itu sebagai satu dosa besar.

Mereka tidak melihat itu sebagai pengkhianatan kepada agama.

Sebaliknya mereka melihat itu sebagai satu-satunya talian hayat untuk memastikan sejarah penyembelihan Siad Barre tidak berulang lagi kepada anak cucu mereka.

Situasinya sama seperti satu analogi mudah ini.

Jika satu hari nanti negara kita diserang oleh kuasa besar dan hampir musnah sepenuhnya.

Adakah kita akan menolak bantuan senjata daripada musuh semata-mata sebab prinsip moral?

Atau kita akan ambil apa sahaja senjata yang ada demi memastikan anak bini kita tidak mati dibunuh?

Begitulah naratif survival yang sedang dilalui oleh Somaliland.

Langkah mereka mendekati Isbiol memang salah di sisi moral solidariti ummah dan kita berhak untuk marah.

Tetapi dari sudut Realpolitik dan Survival, ia adalah langkah terdesak sebuah negara kecil yang dikhianati oleh saudaranya sendiri dan dilupakan oleh dunia Islam.

Dan sebenarnya kita pun salah, kan? Sebab biarkan mereka terkontang-kanting sendirian tanpa penyelesaian yang tuntas.

Kadang-kadang kebenaran itu memang pahit untuk ditelan.

Dalam dunia geopolitik yang kejam ini, tiada kawan atau lawan yang kekal selamanya.

Yang ada cumalah kepentingan untuk terus hidup dan bernafas pada keesokan hari.

Somaliland memilih untuk hidup walaupun terpaksa menari dengan serigala.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.