Selama hampir 2,000 tahun, siling di dewan gergasi Kuil Esna, Mesir kelihatan seperti sebuah gua yang mati.
Gelap, hitam legam, dan kusam.
Pelancong yang datang sebelum ini hanya mampu melihat batu-batu berdebu yang diselaputi lapisan jelaga tebal, kotoran minyak dan sisa najis burung merpati.
Tiada siapa menyangka bahawa di sebalik kekotoran yang menjijikkan itu, sebenarnya tersembunyi satu “harta karun” astronomi yang tidak ternilai harganya.
Malah ramai sejarawan sebelum ini menganggap Kuil Esna hanyalah runtuhan biasa yang “tiada apa-apa” untuk dilihat pada bahagian silingnya.
Namun, persepsi itu berubah sepenuhnya apabila satu projek pemulihan mega dijalankan baru-baru ini.
Ia berjaya membongkar rahsia sebenar kuil ini, sekaligus mengubah buku teks sejarah dunia mengenai bagaimana rupa sebenar tamadun Mesir Purba.
Untuk memahami betapa epiknya penemuan ini, kita perlu menyelusuri kembali sejarah bila kuil ini dibina.
Ia bukanlah dibina pada zaman Firaun terkenal seperti Ramses II atau Tutankhamun.
Sebaliknya ia siap dibina pada era yang jauh lebih lewat iaitu Zaman Rom sekitar abad ke-1 Masihi.
Nama-nama “Firaun” yang terukir di dinding kuil ini sebenarnya merujuk kepada Maharaja Rom seperti
Maharaja Claudius dan Marcus Aurelius.
Mereka sengaja berpakaian seperti Firaun semata-mata untuk memenangi hati rakyat tempatan.
Kuil ini pula didedikasikan khas untuk Dewa Khnum, iaitu dewa berkepala kambing yang dipercayai membentuk manusia daripada tanah liat di atas roda pembuat tembikar.
Malangnya, selepas agama purba Mesir semakin dilupakan dan empayar bertukar tangan, kuil yang agung ini tidak lagi dijaga rapi.
Selama berabad-abad lamanya, penduduk tempatan menjadikan dewan besar kuil ini sebagai tempat berteduh.
Di sinilah mereka memasak, menyalakan unggun api, dan membakar pelita di dalamnya.
Asap tebal dari aktiviti harian inilah yang perlahan-lahan naik ke atas dan melekat pada siling.
Lama-kelamaan, ia membentuk lapisan jelaga hitam yang keras sehingga “menutup” terus seni bina asal kuil tersebut daripada pandangan mata manusia selama dua alaf.
Dunia arkeologi kemudiannya digemparkan dengan kejayaan pasukan penyelidik dari Universiti Tübingen, Jerman dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir.
Bermula tahun 2018, mereka memulakan misi “cuci rumah” paling teliti di dunia.
Misi ini dianggap mustahil kerana mereka perlu membersihkan jelaga tebal tersebut tanpa merosakkan lukisan rapuh di bawahnya.
Maka, mereka tidak menggunakan laser berkuasa tinggi atau bahan kimia keras yang boleh menghakis batu.
Sebaliknya, pasukan ini hanya menggunakan alkohol tulen, air suling dan beribu-ribu batang kapas.
Mereka mengelap lapisan kotoran itu inci demi inci dengan penuh kesabaran dan kelembutan yang memakan masa bertahun-tahun.
Hasil kesabaran mereka akhirnya membuahkan hasil yang sangat mengejutkan.
Didapati lapisan jelaga hitam yang hodoh itu rupa-rupanya telah bertindak sebagai “pelindung” semula jadi atau natural sealant.
Ia memelihara cat dan pigmen warna asal lukisan tersebut daripada dimakan zaman, cahaya matahari dan udara.
Apabila jelaga itu ditanggalkan, apa yang terpancar bukanlah batu coklat yang kusam.
Sebaliknya, muncul warna-warna kuning terang, merah menyala dan biru firus atau turquoise yang masih nampak segar bugar.
Seolah-olah ia baru sahaja dilukis semalam oleh pelukis purba di hadapan mata Maharaja Claudius sendiri.
Apa yang mereka temui di sebalik jelaga itu adalah set lengkap Zodiak yang sangat jarang dijumpai di mana-mana kuil Mesir.
Ini membuktikan pengaruh astronomi Babylon dan Yunani yang sangat kuat dibawa masuk ke dalam budaya Mesir pada zaman itu.
Biasanya, zodiak seperti Sagittarius, Scorpio dan Virgo hanya dilukis di dalam makam peribadi Firaun yang tertutup.
Tetapi di Kuil Esna, ia dipaparkan secara megah di siling awam untuk tontonan semua.
Lebih mengagumkan, mereka menemui lukisan planet-planet dalam sistem suria kita.
Planet Musytari (Jupiter), Zuhal (Saturn) dan Marikh (Mars) dilukis dengan sangat terperinci,
lengkap dengan simbol dewa yang mewakilinya.
Penemuan paling epik yang membuatkan ahli arkeologi tergamam adalah kemunculan buruj-buruj “misteri”.
Ia adalah buruj yang selama ini hanya wujud dalam teks kuno tetapi tidak pernah dilihat rupanya, antaranya adalah buruj “Angsa Ra” (The Geese of Ra) dan “Tujuh Anak Panah” Dewi Sekhmet.
Sebelum ini, ahli arkeologi hanya membaca nama-nama ini dalam tulisan hieroglif tanpa tahu bagaimana rupa bentuknya.
Namun kini buat pertama kalinya dalam 2,000 tahun, kita dapat melihat apa yang orang Mesir purba lihat di langit malam.
Mereka juga menemui lukisan buruj Big Dipper yang digambarkan sebagai Kaki Lembu Jantan atau Mesekhtiu, satu simbol penting dalam kepercayaan kematian dan kelahiran semula masyarakat ketika itu.
Penemuan di Kuil Esna ini membuktikan satu fakta penting.
Bahawa dunia Mesir Purba bukanlah dunia yang kusam, pudar dan berwarna coklat seperti yang sering digambarkan dalam filem-filem Hollywood.
Sebaliknya, kuil mereka adalah sebuah galeri seni yang penuh dengan warna-warni kehidupan, nuansa yang terang dan imaginasi yang luar biasa.
Setiap inci tiang dan siling dipenuhi dengan cat yang meriah.
Kuil Esna kini bukan lagi sekadar runtuhan sejarah yang mati.
Tetapi ia adalah bukti bahawa kadang-kadang, untuk melihat keindahan yang sebenar, kita perlu “membersihkan” dahulu kotoran sejarah yang menutupinya.
Agar siling itu kembali bernafas dan menceritakan kisah langit yang pernah disembah suatu masa dahulu.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




